Kata Bront, isu utama bukanlah terarah kepada niatnya untuk berangan bagus. Tetapi lebih kepada langkah untuk tidak dilabel sebagai seorang pelakon 'kaki propa'.

Dia yang membintangi drama bersiri terbaru terbitan HBO Asia berjudul Halfworlds di bawah telunjuk pengarah dari seberang, Joko Anwar mengaku, ketika pertama kali ditawarkan watak dalam drama itu, dia terpaksa menahan diri untuk tidak terlalu ketara kelihatan teruja membuka kata.

“Bukan soal saya nak perasan bagus. Tetapi saya perlu ingatkan diri sendiri bahawa ada banyak benda boleh berlaku dalam sesebuah proses pembikinan filem atau drama terutama yang membabitkan produksi luar.

“Kita tak mahu terlalu cepat membuatkan masyarakat turut sama teruja dengan projek baharu kita dengan produksi luar, kalau boleh profesional mengikut garis panduan syarikat tersebut.

“Saya tak naklah nanti, bila kita buka cerita awal-awal, andai kata sesuatu berlaku di pertengahan proses pembikinan, saya pula dicop sebagai pelakon 'propa'.

“Saya ambil pengajaran daripada beberapa orang pelakon kita yang sebelum ini pernah mengalami keadaan apabila mereka ghairah bercerita lebih awal, akhir proses drama atau filem itu rupa-rupanya tidaklah hebat mana,” katanya.

Serius dalam soal lakonan, kata Bront, dia lebih senang andai mengikut prosedur yang ditetapkan oleh sesebuah produksi sama ada dalam atau luar supaya tidak menganggu sebarang urusan di pertengahan jalan.

Bercakap mengenai kerjasama dengan produksi luar, dia yang sebelum ini pernah terlibat dengan produksi luar lain bagaimanapun menyifatkan kerjasama dengan HBO Asia, pengarah dan barisan pelakon untuk siri Halfworlds memberikan satu pengalaman yang bermakna buat dirinya.

Menganggap kerjasama itu sebagai sebuah jambatan antara negara terlibat, Bront percaya itu mampu membuka lebih banyak peluang dan rezeki lain untuk memajukan industri masing-masing di bawah elemen serumpun.

“Selalu kita dimomokkan dengan tanggapan bahawa kalau nak tembus ke negara seberang itu sukar kerana ada sekatan dan sebagainya.

“Sebenarnya kita kena lihat situasi ini. Filem mereka di sana juga begitu banyak menerima persaingan sesama sendiri, jadi bagaimana mereka mahu menerima produk atau orang luar untuk masuk ke dalam?

“Sekurang-kurangnya filem kita di sini ada wajib tayang, mereka di sana pula terpaksa bersaing dan saya difahamkan keadaan sangat sukar.

“Namun saya berharap kerjasama seperti ini terus dikekalkan dan dikembangkan kerana manfaatnya saya percaya sangat banyak untuk kemajuan industri,” katanya.

Perlu ada kesungguhan

Dalam pada itu, Bront juga melahirkan pandangan tersendiri tatkala menyentuh mengenai cara kerja orang luar berbanding tenaga tempatan.

Tiada niat untuk memburukkan tenaga kerja dan kreativiti anak tempatan, Bront berpendapat, ada bagusnya andai kata kita mampu menyerap segala yang baik dan berkualiti daripada produksi luar untuk dipraktikkan dalam produksi tempatan.

Menyifatkan orang luar mempunyai elemen kesungguhan yang sangat tinggi dalam melaksanakan sesuatu projek filem atau drama seperti Halfworlds, kata Bront, dia percaya anak tempatan juga mampu menghasilkan produk dengan kualiti yang serupa.

“Tetapi semua itu perlukan kesungguhan. Sebab kalau cakap saja, semua orang boleh bercakap. Tetapi perlaksanaannya bagaimana? Sanggup atau tidak? Bagi saya kesanggupan dan usaha itu yang kita tak ada berbanding mereka,” katanya.

Menurut Bront lagi, kebanyakan tenaga produksi luar, mereka meraih sebanyak mungkin pengalaman dan kemahiran ketika bekerja dengan produksi lain dan membawa masuk cara kerja itu dalam produksi mengikut konteks lokal.

“Tetapi kebanyakan kita yang berpeluang bekerja dengan produksi luar, mereka tak mahu lagi bantu tenaga tempatan. Sedangkan saya fikir, alangkah baiknya kalau kemahiran itu digunakan untuk membantu menaikkan dan memajukan produksi kita sendiri agar setanding dengan produk luar.

“Ini tidak, balik-balik hadir dengan alasan 'ini bukan Hollywood, bro’. Kalau macam itu punya fikiran, bila kita nak sama taraf dengan produksi luar?” katanya sinis.