Malah jelitawan yang pernah menjadi wajah eksklusif produk Pantene dan Lux itu semakin melebarkan sayap seninya ke negara seberang, menerobos pasaran Indonesia, perlahan-lahan cuba memahat kukuh namanya di sana menerusi pembabitan dalam beberapa buah filem seperti Warkop, Rafathar dan Bulan Terbelah di Langit Amerika.

Ternyata, semua itu belum lagi mampu menoktahkan keinginan Fazura untuk terus meneroka lapangan hiburan yang disifatkan begitu luas skopnya walaupun mata umum tidak mempunyai pandangan serupa.

Sekian lama bergerak sendirian tanpa pernah memeterai ikatan dengan sebarang syarikat pengurusan, akhirnya Fazura beralih angin, mengorak langkah baharu dalam karier seninya apabila menandatangani kontrak selama tiga tahun dengan Universal Music, sepadan dengan kemegahan jenamanya.

Dalam misinya mencapai taraf artis antarabangsa, Fazura yang ditemui usai menyempurnakan majlis persefahaman (MoU) antara dirinya dan pihak Universal Music baru-baru ini sangat optimis dalam menyusun kata berbicara mengenai lembaran baharu dunia seninya.

Tentang faktor utama yang mendorong persetujuannya bernaung bawah syarikat gergasi berkenaan, anak kelahiran Raub, Pahang itu menjawab bahawa hubungan yang bermula sejak pembikinan single Hancur Aku dengan kumpulan Extranged sedikit sebanyak telah membuka pintu hatinya untuk berkolaborasi.

“Ketika bekerja dengan Extranged dalam menghasilkan lagu tersebut, Universal Music bertindak selaku pengedar dan label. Bagaimanapun masa itu saya belum lagi bernaung bawah mereka.

“Dalam tempoh tersebut, saya dapat rasakan jalinan mesra yang tercetus antara kami lalu mewujudkan rasa selesa. Selepas siri promosi Hancur Aku berjalan dengan lancar maka barulah saya ditawarkan kontrak ini,” katanya menceritakan sebab utama pemilihan syarikat itu.

Tawaran pakej Pengurusan 360 yang diusulkan kepadanya juga membuatkan Fazura tambah tertarik memandangkan pihak Universal Music bersedia menguruskan keseluruhan kerjaya seninya tanpa perlu mengasingkan antara bidang nyanyian, lakonan mahupun pengacaraan. Menurutnya, kebelakangan ini memang ada syarikat lain menawarkan peluang untuk bernaung bawah pengurusan mereka namun hanya fokus terhadap karier nyanyian sahaja.

“Sebab itulah saya bersetuju kerana kontrak kerjasama yang dibentangkan Universal Music mempunyai banyak kelebihan selain platform yang disediakan juga begitu luas sesuai dengan statusnya selaku syarikat pengurusan antarabangsa,” jelasnya.