Namun sebagai pengarah filem Dukun Doktor Dani pastinya Sabri Yunus tahu percaturan yang dibuat ini bukan kerja yang sia-sia.

Ada sesuatu yang menarik bila melihatkan perwatakan sebenar penyanyi yang berasal dari Singapura itu dan eksperimen Sabri ternyata menjadi sebaik sahaja menamatkan penggambaran dua bulan yang lalu.

“Memang pada peringkat awal ada yang bertanya mengapa saya memilih Taufik sebagai pelakon utama. Dia bukan datang dari kalangan pelakon dan pastinya akan memberikan sedikit kesukaran kepada seluruh produksi.

MENDENGARKAN tajuk Dukun Doktor Dani sahaja, pasti ramai yang menganggap buah tangan terbaharu Sabri merupakan sebuah filem seram yang berkisahkan mistik semata-mata.

Namun telahan itu awal-awal ditolak oleh Sabri dan menyatakan filem ini bukan seperti yang digambarkan oleh kebanyakan pihak.

“Sebenarnya saya mahu menjadikan filem ini sebagai sebuah filem komedi tanpa perlu menggunakan khidmat pelakon komedi yang membuat lawak.

“Kita mahu plot naskhah ini bergerak secara jenaka dan bukannya dibuat-buat oleh orang lain. Itu kelainan yang cuba kita tampilkan kali ini.

“Walaupun Yus (Jambu) terlibat sama, tapi dia membawakan watak serius dan bukan komedi seperti yang kita sering kali lihat di kaca televisyen,” katanya lagi.

Dukun Doktor Dani mengisahkan tentang Dr. Dani, seorang doktor muda yang baru sahaja mendapat kerja di sebuah hospital. Dia yang menjalani pembedahan pesakit pertamanya teruja dengan pengalaman tersebut.

Tapi malangnya pembedahan tersebut gagal dan pesakit meninggal dunia. Dia memutuskan untuk berhenti kerja dan tidak mahu lagi menjadi seorang doktor. Tegasnya dia tak mahu jadi pembunuh dan meletakkan jawatan.

Dani pulang ke kampung halamannya dan keputusan tersebut benar-benar mengecewakan ibunya, Mak Siti yang berhabis duit membiayai pembelajarannya dahulu.

Dani akhirnya ke rumah Dukun Sudin dan melihat sendiri kehidupan dukun yang tidak terurus. Mereka sepakat untuk bekerjasama selepas itu.

Dia akhirnya berniaga di hadapan rumah Dukun Sudin menjual barang-barang yang diperlukan pesakit yang datang ke rumah tersebut. Menariknya, khidmat dukun tersebut semakin laris dan mendapat ramai pelanggan.

Keadaan mula berubah apabila Dukun Sudin tiba-tiba meninggal dunia. Dani terpaksa mengambil alih kerja dukun. Mak Siti pula jatuh sakit. Sebagai doktor, Dani tahu sakit yang dideritai ibunya.

Dia tidak akan menggunakan cara dukun Dani membawa ibunya ke Kuala Lumpur. Selepas pemeriksaan doktor. Nyatalah ibu Dani menderita sakit yang sama seperti pesakit yang meninggal dunia di tangannya dahulu.

Dani berperang dengan dilema dan akhirnya dia bersetuju untuk melakukan pembedahan kepada ibunya sendiri.

 

“Saya yakin mampu membentuk Taufik melalui Dukun Doktor Dani dan akhirnya dia membuktikannya potensi diri,” ungkap Sabri lagi.

Selain Taufik pelakon lain yang turut terlibat dalam filem Dukun Doktor Dani terdiri daripada Fasha Sandha (Dr. Lily), Khatijah Tan (Mak Siti), Amirul Affendi (Lepat), Yus Edoo (Chot), Raisha Rizrose (Fikha), Sabri Yunus (Dukun Sudin) dan Sani Sudin (Penghulu)

Pun begitu Sabri tidak menafikan pada peringkat awal penglibatan Taufik memberikan cabaran besar kepadanya sebagai pengarah.

Berbanding dengan pelakon lain yang sudah berpengalaman, Taufik perlu memahami perjalanan produksi secara keseluruhan dan membina karektor watak Dr. Dani yang dibawanya.

“Dalam sebuah naskhah apa yang paling penting tidak ada watak yang terlalu menonjol dan watak yang tenggelam.

“Nampaknya lakonan Taufik tidak terlalu tenggelam kerana dia berjaya menonjolkan dirinya juga. Itu yang membuatkan filem ini menjadi lebih istimewa,” tambah Sabri lagi.

Dukun Doktor Dani yang diterbitkan oleh Balang Rimbun Produksi Sdn. Bhd. dan Astro Shaw menjalani penggambaran di Kampung Nenasi, Pekan, Pahang dan Kuala Lumpur selama 22 hari.

Kita mahu plot naskhah ini bergerak secara jenaka dan bukannya dibuat-buat oleh orang lain. Itu kelainan yang cuba kita tampilkan kali ini.