Azam itu dibawa dengan penuh harapan. Harapan untuk menggenggam secebis kejayaan dalam merubah hidup keluarga. Tetapi maaf, kalau ditanya mengenai rahsia kesedihan keluarganya itu dengan lebih lanjut Firman memberitahu bahawa dia belum bersedia untuk berkongsi segala-galanya dengan peminat.

Cuma janji Firman, akan sampai masanya pada suatu hari nanti dia ke depan dan berkongsi kisah sedih itu dengan orang lain sebagai pengajaran.

“Saya akan cerita, tapi bukan sekarang. Biarlah saya sendiri pendam kisah sedih itu sehingga sampai masa saya bersedia, saya akan kongsi dengan awak, dengan peminat,” katanya kepada Mega.

Biarlah, itu mungkin kisah peribadinya yang hendak disimpan sendiri. Satu sahaja, lelaki ini tidak lokek bercerita tentang nasib dirinya sebelum bergelar bintang Akademi Fantasia 2014 (AF2014). Ya, itu yang hendak dibawa kepada semua. Kisah hidupnya sendiri tanpa bercerita tentang keluarga.

Dilahirkan di Tawau, Sabah, Firman atau nama sebenar Mhd. Firman Bansir memang seorang pemuda yang melalui susah dan senang dalam kehidupan.

Selepas menamatkan pengajian dalam bidang kewangan, di Universiti Teknologi Mara (UiTM), kampus Kota Kinabalu, dia tidak mempunyai pekerjaan.

Katanya, pusat siber kafe adalah tempat perlindungan dirinya setelah meninggalkan kampung halaman.

“Tidur, makan saya semuanya di siber kafe. Dua tahun juga saya tidak balik kampung. Siber kafe itu milik kawan saya. Saya hanya membantu menjaganya. Yalah, saya tiada pekerjaan. Nak tak nak, situlah rumah saya.

“Jaga siber kafe itu juga saya tidak meminta gaji. Cukup kalau kawan sudah bagi makan dan tempat tinggal,” kata Firman dalam nada sedikit sedih.

Ditanya kenapa meninggalkan rumah dan tidak pulang, kata Firman dia sudah tidak tahan dengan pandangan serong penduduk kampungnya.

“Itulah, bila kita susah, tak ada duit memang orang tak suka. Lagi-lagi saya ini, lepasan universiti tetapi tiada pekerjaan. Lagilah orang akan mengata.

“Tapi, biasalah mulut orang, memang susah untuk kita tutup. Daripada saya terus menjadi beban keluarga, saya nekad keluar rumah.

“Malah, kata-kata orang juga tidak diambil peduli oleh saya. Sebab itu, kalau lepas jadi penyanyi pun ada orang yang masih hendak kutuk-kutuk, menghina saya sudah tak kisah,” jelasnya.

 

Mahu atau tidak, kita perlu mengakui bahawa bukan semua juara produk AF berjaya mencatat kejayaan dalam bidang nyanyian. Hanya seorang dua yang mampu mengekalkan fenomenanya.

Baru bergelar juara pada 9 November lalu, Firman hakikatnya tidak mempunyai sebarang pengalaman berada di atas pentas nyanyian sebelum menyertai pertandingan tersebut.

Berbekalkan bakat dan suara serak-serak basah, Firman memang sudah mampu memikat seluruh peminatnya. Cuma yang dirisaukan adalah nasib dan masa depan Firman dalam bidang ini selepas ini.

Memang dalam masa tiga bulan, nama menjadi bualan, wajah menjadi intipan dan dia pasti akan dikejar orang media, promoter dan mungkin produser filem untuk tumpang sekaki.

Perjalanan hidupnya selepas ini kata Firman, biarlah ditentukan oleh pihak pengurusan, Astro. Dia tidak mahu urusan kerjayanya dikendalikan oleh keluarga, kerana tahu mereka tidak berkemampuan dalam soal pengurusan kerjayanya.

Impiannya setelah bergelar bintang, Firman akan meneruskan perjuangannya dalam bidang nyanyian di Kuala Lumpur kerana merasakan itu adalah pilihan terbaik untuk terus melangkah dalam bidang seni suara selepas ini.

Setakat ini, dia sudah ada lagu baharu berjudul Di Pintumu dan video klipnya juga sudah siap dirakam.

Sekelip mata menjadi bintang. Tidak mahu tersadung dibuai populariti, awal-awal lagi Firman sudah menanam prinsip sendiri.

Ini sebagai benteng pertahanan diri sebelum dilambung ombak populariti sebagai bintang. Dia mohon pada semua orang untuk mendoakan dirinya supaya tidak berubah.

“Saya masih Firman yang lama,” jujur saja kata-kata yang terbit dari bibir manisnya.

Janji untuk tidak berubah sampai bila-bila sekali lagi ditutur oleh Firman. Memang ikhlas orangnya. Inilah wira baharu dalam dunia hiburan dan merupakan kesinambungan daripada juara-juara AF sebelum ini. Auranya juga berbeza sama sekali.

Malah, ada yang kata, Firman budak baik sebab itu hari ini dia disayangi oleh banyak orang.

Ketika dia menerima sanjungan dan kata-kata pujian, dedah Firman, dia berjanji kepada diri sendiri untuk tidak mudah lupa diri.

Kejayaan di gelanggang nyanyian itu memang membuka jalan kepada Firman untuk meraih populariti. Firman tidak perlu lagi merayu belas dan ihsan orang ramai demi sesuap nasi.

Sekalipun akan hidup mewah selepas ini, Firman tidak akan sama sekali melupakan dari mana asal usulnya sambil berusaha dan berdoa karier seninya hari ini akan bertahan lama bagi membolehkan dia terus membela nasib diri serta keluarganya.