Pelakon teater P. Ramlee The Musical itu dihadapkan ke mahkamah di republik tersebut pada 31 Mac 2016 dan didakwa memiliki dadah terkawal Kelas A bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

Laporan berita menyebut pelakon itu dipercayai memiliki satu peket mengandungi tidak kurang daripada 4.56 gram bahan sayuran yang telah dianalisis dan didapati mengandungi kesan ganja.

Dia didakwa memiliki dadah itu di balai ketibaan bas Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Tuas, Singapura pada 12 Mac tahun sama.

Tony yang dikenakan penjara lapan bulan bermula 21 April dan dibebaskan pada 1 Oktober 2016 selepas menjalani hukuman hanya selama lima bulan 10 hari. Pembebasan lebih awal itu diberikan kerana berkelakuan baik.

Pada awal pembebasan, Tony atau Anthony Joseph Anak Hermas Rajiman menyangka kerjayanya sebagai anak seni akan berakhir akibat kontroversi tersebut.

Namun perkara sebaliknya berlaku. Dia bukan sahaja menerima sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan terdekat, tetapi juga diberi peluang oleh syarikat produksi untuk meneruskan kerja lakonannya.

Dengan sokongan dan dorongan yang tidak berbelah bahagi daripada orang sekeliling, Tony akui kehidupannya kini semakin tenang dan bahagia.

Walaupun peristiwa lalu tidak mungkin dilupakan, namun dia enggan menoleh ke belakang malah menjadikannya sebagai pengajaran terbesar dalam hidup.

“Pada awalnya, saya memang menyangka bahawa kerjaya saya akan berakhir. Dengan apa yang saya lakukan, saya sangka tiada lagi stesen televisyen dan syarikat produksi yang akan menawarkan saya kerja.

“Ketika itu, saya tetapkan dalam hati agar tidak menyalahkan sesiapa sekiranya perkara tersebut berlaku kerana itu adalah akibat perbuatan saya sendiri.

“Ternyata sangkaan saya meleset. Dari hari pertama saya bebas dan kembali ke Kuala Lumpur, saya telah menerima sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan.

“Sementara tawaran berlakon pula lebih banyak berbanding sebelum kes tersebut.

“Jadi, sepanjang dua tahun selepas dibebaskan, saya lebih fokus kepada pekerjaan dan perniagaan makanan yang saya usahakan. Semua itu menjadikan hati saya lebih tenang dan bahagia.

“Oleh itu, saya berjanji tidak akan mensia-siakan rezeki dan peluang yang diberikan oleh semua pihak kerana saya sedar kesalahan diri dan amat menyintai bidang lakonan,” katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran drama dalam talian, Projek Dapat Baby oleh Najwa Medispa baru-baru ini.

Drama bersiri lapan episod lakonan Tony itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Rita Rudaini, Azhar Sulaiman, Louisa Chong, Aida Khaleeda dan Fikry Ibrahim.

Sejak dibebaskan, Tony tidak pernah lokek berkongsi kisah dan pengalamannya ketika menerima hukuman lalu.

Ditanya mengenai perkara tersebut, Tony menjelaskan bahawa dia selesa dan terbuka untuk bercakap tentang kontroversi itu.

Baginya, tiada yang perlu diselindungkan mengenai kejadian memalukan itu memandangkan semua orang sudah tahu cerita tersebut.

Bukan itu sahaja, Tony juga ingin berlaku jujur terutama kepada peminat yang selama ini menyokong kariernya.

“Menipu mengenai kejadian itu pastinya tidak membawa sebarang kebaikan. Jika saya menipu atau cuba berselindung, pasti memberi kesan buruk kepada saya juga.

“Justeru, lebih baik saya berterus terang dan berkongsi kisah sebenar bukan sahaja untuk kebaikan saya malah dapat menjadi pengajaran kepada orang lain juga,” ujarnya.

Belum sampai jodoh

LARI daripada topik kontroversi, Tony ditanya mengenai perancangan masa depannya terutama tentang perkahwinan.

Menurut anak kelahiran Kuching, Sarawak ini, soal jodoh dan rumah tangga masih belum menjadi keutamaan dalam hidupnya.

Meskipun sudah berusia 41 tahun, baginya itu bukan faktor yang merisaukan terutama untuk memikirkan soal tersebut.

Bagi pelakon filem Sindiket ini, fokus kini adalah kepada kerjaya seni serta perniagaan yang sedang diusahakan.

“Buat masa sekarang, soal jodoh belum menjadi perkara utama yang perlu saya fikirkan. Tambahan pula, keluarga saya juga tidak pernah mendesak untuk saya mengakhiri zaman bujang jadi tidak menjadi isu besar buat saya.

“Kini saya sibuk dengan jadual lakonan serta gerai jualan hotdog membuatkan saya tidak terfikirkan tentang jodoh.

“Perniagaan saya amat penting kerana saya memang minat berniaga makanan sejak dahulu lagi. Sasaran saya adalah untuk membuka restoran memandangkan perniagaan sekarang dilakukan secara kecil-kecilan kerana saya belum mempunyai modal yang cukup,” jelasnya.