Jika dihitung kejayaan yang dipahat oleh Datuk Siti Nurhaliza, pastinya setiap sudut kotak fikiran kita akan terimbau kenangan manis menyaksikan penyanyi ini menjulang trofi sepanjang kerjayanya.

Apa lagi yang perlu diperkatakan, bagaikan tiada titik noktah untuk kita merungkai setiap satu kisah hebat anak kelahiran Pahang ini yang bukan sahaja bergema di dalam negara malah, masyarakat seluruh dunia juga turut sama menyanjungi insan berhati mulia ini.

Melihatkan kelangsungan kerjaya yang penuh dengan ombak cabarannya sendiri, pelayaran seni penyanyi yang dilahirkan daripada program Bintang HMI 1995 ini sebenarnya punya nilai cerita untuk ditafsirkan.

Menyaksikan sendiri persembahan agung sempena 20 tahun penglibatannya dalam industri seni suara tanah air bersama lebih 7,000 peminat tegar penyanyi ini, Konsert Datuk Siti Nurhaliza and Friends yang berlangsung malam Sabtu lalu mencetus perasaan bangga yang memenuhi setiap rongga penonton yang hadir.

Membuka tirai dengan lagu yang memercik warna namanya di negara seberang, Aku Cinta Padamu, Siti ternyata mula mempamerkan kehebatannya yang jika dinilai, mungkin tiada lagi yang dapat menandingi.

Gemersik suara emasnya terus bergema dengan paduan lagu Percayalah, Jaga Dia Untukku dan Terbaik Bagiku yang disampaikan secara akustik bagaikan memaku setiap mata dan telinga yang hadir menyaksikan sejarah diukir.

Keindahan malam itu diteruskan dengan kelantangan vokal penyanyi ini menerusi lagu Ku Mahu dan Ku Milikmu yang disampaikan dengan cukup bersahaja, namun punya kepaduan dan kekuatan yang tidak dimiliki oleh kebanyakan penyanyi lain di kala ini.

Kemunculan Joe Flizzow dan SonaOne yang bersama melantunkan lagu Destinasi Cinta, turut mengajak peminat turut sama menari dan bergerak mengikut alunan irama lagu yang pernah memasuki Anugerah Juara Lagu ke 22 itu.

Meneruskan kehebatan, Siti yang tampil indah dengan busana Rizman Ruzaini ternyata membuatkan seluruh Stadium Negara bergema dengan sorakan apabila menjemput penyanyi seberang, Anggun untuk menyanyikan dua lagu bersamanya.

Mempersembahkan lagu Snow On Sahara dan Bukan Cinta Biasa, keunggulan paduan vokal kedua-dua penyanyi ini sekali lagi mengukir sejarah tersendiri kerana buat pertama kalinya, mereka berkongsi pentas yang sama.

Bukan namanya Siti Nurhaliza jika tiada lagu tradisional dalam senarai persembahan. Memilih Cindai sebagai pelengkap segmen bersama band The Gotham All Stars, Siti mencipta magis dengan mempersembahkan lagu itu dengan elemen yang lebih moden.

Terus menerus membawa penonton menyelusuri pelayaran indah, Siti sekali lagi mengukir sejarah apabila mempersembahkan lagu Memories yang dinyanyikan dengan begitu unik bersama mendiang Whitney Houston.

Lagu yang bakal menjadi single baharu Siti ini juga merupakan kolaborasi ulungnya secara digital bersama penyanyi pujaan dunia tersebut. Menariknya, Memories merupakan lagu yang belum pernah di diterbitkan sebelum ini walaupun telah dirakamkan pada 1982.

Meneruskan persembahan dengan lagu Jerat Percintaan, Siti ternyata sebak apabila menceritakan kenangan bekerjasama dengan komposer dan pemuzik unggul, Allahyarham Adnan Abu Hassan yang telah menghembuskan nafas terakhirnya 18 Mac lalu.

Tampil berduet bersama Hafiz Suip (Muara Hati), Cakra Khan (Seluruh Cinta), Faizal Tahir (Bagaikan Sakti) dan juga Afgan (Biarlah Rahsia), Siti bagaikan menceritakan pahit maung kisah seninya menerusi lagu-lagu yang pernah mencipta fenomena tersendiri.

Melengkapi irama cinta, Siti tampil menyanyikan lagu Kau Ilhamku bersama semua rakan penyanyi yang hadir menyokong konsertnya. Malah, kemunculan Jaclyn Victor secara mengejut juga mengundang sorakan penuh penonton.

Tiada yang lebih indah dan bermakna daripada melihat dengan mata dan mendengar dengan telinga sendiri konsert yang menjadi saksi keunggulan Siti sebagai penyanyi nombor satu negara selama dua dekad.

Mengungkap kata-kata Anggun, Siti Nurhaliza bukan sekadar insan seni yang indah tercipta dari luarannya, malah isi hati serta keperibadian yang cukup disenangi juga menjadi bukti namanya kekal di dalam kanvas seni muzik dalam dan luar negara.-Gambar ABDUL RAZAK LATIF