Dondang Sayang cetus minat

Penyanyi veteran, Andre Goh ketika 7

TERLALU banyak pengalaman yang dilalui penyanyi lagu Melayu asli, Datuk Andre Goh atau Goh Eng Boon, 69, ketika melalui zaman kecilnya di Kampung Sialang, Tangkak, Johor.

Ini kerana di situlah Andre membentuk jiwa yang sentiasa peka dengan keadaan sekeliling, seorang insan yang memperjuangkan akar budi masyarakat tempatan.

Sebagai anak yang dilahirkan dalam keluarga peranakan Baba dan Nyonya Melaka, Andre diterapkan semangat cintakan adat dan budaya yang disanjung orang Melayu.

Mendiang ibu bapa, Baba Goh T. Leong dan Nyonya W. T. Neo adalah individu yang banyak menyuntik minatnya untuk mendalami keindahan budaya orang Melayu.

“Minat mereka dalam bidang seni juga mendorong saya untuk turut sama mempelajari keindahan susun galur keindahan budaya secara tidak langsung.

“Setiap kenangan yang diukir bersama-sama mereka sudah pastilah tidak akan dilupakan,” kata anak jati Pantai Belimbing, Durian Tunggal Melayu ini mengimbas memori silam.

Sewaktu Andre berusia tiga tahun, dia sekeluarga berpindah dari Pantai Belimbing ke Kampung Sialang yang bersempadan dengan Melaka dan Johor.

Ketika itu, Kampung Sialang dihuni kira-kira 100 orang penduduk yang rata-ratanya terdiri daripada orang Melayu.

Mendiang bapa membuka sebuah kedai kopi untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga. Biarpun kehidupan mereka serba sederhana namun Andre dan adik beradiknya hidup bahagia.

Adat berjiran, apabila ada penduduk kampung yang mengadakan acara keramaian, pasti jiran sama-sama meraikan.

Pada waktu itulah berkumandang lagu dondang sayang antara penduduk kampung yang mahir berpantun. Yang paling menarik perhatian Andre adalah cara mereka bertukar pantun secara spontan.

Pelbagai gaya yang meriangkan dan kadangkala melucukan berlangsung ketika proses jual beli pantun. Tidak kira pantun budi, kasih atau komedi, selalunya dondang sayang berpanjangan hingga ke awal pagi.

“Orang tua saya memang kaki dondang sayang. Mereka boleh berdondang sayang dari pukul 7 pagi hingga 8 malam. Mendiang bapa pernah ‘layan’ dondang sayang sampai awal pagi.

“Selalunya saya sangat teruja melihat kemampuan mendiang ibu yang boleh berpantun secara spontan. Bahasa yang digunakan juga indah setiap kali dia menjual atau membeli pantun.

“Setiap kali dia berpantun pasti disambut sorakan orang kampung,” ujarnya yang gemar memerhati cara pemain alat muzik biola, rebana dan tawak ketika berdondang sayang.

Band Sendiri

Minat Andre dalam bidang muzik bukan sahaja tercetus kerana dondang sayang tetapi juga apabila mendiang bapanya membeli gramofon.

Kesemua judul lagu Melayu Asli yang termuat dalam piring hitam milik mendiang bapa ‘meresap’ dalam jiwa Andre.

Minat Andre dengan muzik Inggeris tercetus ketika dia memasuki alam persekolahan dan bersekolah di National English School, Tangkak (kini dikenali Sekolah Kebangsaan Ledang).

“Mendiang bapa mahu saya diberi asas pendidikan Inggeris dan sebab itu saya dimasukkan ke National English School apabila kami sekeluarga berpindah ke Pekan Tangkak dari Kampung Sialang.

“Ini kerana tinggal di kampung tiada kemudahan sekolah Inggeris. Lagipun di kampung mana ada kemudahan elektrik, berbeza ddengan pekan yang sekurang-kurangnya ada generator dan air paip,” kata anak keenam daripada 10 beradik ini lagi.

Andre juga memberitahu ketika berpindah di pekan Tangkak itulah mendiang bapanya membelikan sebuah radio. Siaran Radio Malaya menjadi penghubung lelaki itu untuk mengetahui perkembangan lagu Melayu terkini.

Menariknya, radio yang sama itu turut menjadi rebutan dua abangnya iaitu Chuan dan Huat yang ketika itu sangat memuja lagu-lagu Inggeris terutama dendangan Cliff Richard, Elvis Presley dan The Shadows.

Secara tidak langsung minat kedua-dua abangnya itu turut mempengaruhi Andre malah memenangi pertandingan nyanyian sejak berusia 11 tahun.

Ketika menjejakkan kaki ke sekolah menengah dia sudah menubuhkan kugiran (kumpulan gitar rancak) The Flamming Benus ketika berada di tingkatan tiga.

Kumpulan tersebut dianggotai Majid Harun sebagai gitar utama, Nasir Aziz (dram), arwah Acun (gitar) dan Andre bermain bass serta menyanyi.

Bagaimanapun The Flamming Benus hanya bertahan tiga tahun saja apabila ahli-ahlinya membuat haluan masing-masing selepas tamat peperiksaan Malaysian Certificate of Education (MCE).

Gemuruh

SELEPAS MCE, Andre ke Johor Bharu, Johor selepas diterima bekerja sebagai penyelia kontraktor selama tiga tahun sebelum mendapat kerja sebagai kerani Jabatan Telekom Malaysia (Telekom) di Brickfields, Kuala Lumpur pada 1969.

Ketika tinggal di ibu kota Andre mencuba nasib untuk menyertai uji bakat pertandingan Bakat TV yang berlangsung di Angkasapuri pada 1971.

Atas dorongan rakan sebilik, Michael Leong yang bekerja sebagai jurugambar di Jabatan Penerangan, Andre mencuba nasib menyertai pertandingan itu walaupun dia tak berapa yakin.

Maklumlah Andre berdarah gemuruh. Dan lucunya dia hanya sempat menyanyikan empat bait lagu saja ketika uji bakat itu sebelum diminta pulang oleh juri. Namun penyertaan Andre itu berjaya membawa dirinya ke peringkat akhir biarpun gagal merangkul gelaran juara.

Pada pertandingan itu Andre menyanyikan lagu Melayu Asli buat kali pertama di pentas pertandingan. Nyata strategi itu membuatkan namanya dikenali malah selepas pertandingan itu, dia ditawarkan mengendali program nyanyiannya sendiri berjudul Andre Goh di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Saya bukan penyanyi sepenuh masa. Menyanyi adalah hobi dan pendapatan sampingan kerana saya memerlukan pekerjaan tetap untuk jaminan masa depan.

“Mendiang ibu juga tidak membenarkan saya berhenti kerja walaupun waktu itu Telekom diswastakan menjadi Telekom Malaysia Berhad,” katanya yang berkhidmat selama 28 tahun dengan syarikat tersebut.

Andre merakamkan tujuh album sepanjang bergelar penyanyi. Antaranya Halimun Malam, Harapan Kecewa dan Samudera Sunyi dengan dua label syarikat penerbitan, Great Union Organisation dan Swiss Records sejak 1973.

Mengakui diri seorang yang cerewet dalam kerjaya, Andre juga kadangkala berdepan dengan tekanan apabila berlaku kesilapan. Ini kerana menurut Andre, sebagai penyanyi malar segar, seboleh-bolehnya dia mahu mengelakkan kekhilafan yang mampu menggugat kredibiliti dirinya.

Solo

MENYENTUH soal jodoh, Andre mengakui sikapnya yang terlalu cerewet menyebabkan dia sukar untuk mencari pengganti yang sesuai selepas kematian bekas isteri, Palmela Cha tiga tahun lalu.

Meskipun dia dan Palmela sudah berpisah ketika itu tapi hubungan mereka masih baik demi kebajikan anak, mendiang Jefrey Goh yang meninggal dunia tahun lepas.

“Dua orang yang penting dalam hidup saya sudah meninggalkan saya. Sudah pastilah saya kecewa tapi tidak bolehlah terus hidup dalam kesedihan seumur hidup.

“Memang sukar untuk melupakan orang yang disayangi dan yang banyak berjasa dalam hidup kita.

“Apapun saya bersyukur kerana masih ada sepasang cucu (Goh Jun Wei, 15, dan Goh Yu Xuan, 14) yang menjadi pengubat hati.

“Walaupun kedua-duanya kini berada di Johor Bharu tapi kasih sayang antara kami sentiasa bertaut,” katanya lagi.

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati