Benih cinta yang disemai hasil pernikahan dengan suami tersayang, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob kini membesar sebagai seorang anak yang menjadi kebanggaannya.

Selepas bertungkus-lumus di Royal College of Surgeons, Dublin, Ireland dan di Kolej Perubatan Pulau Pinang (PMC) yang mengambil masa selama lima tahun, Puteri Julia kini menggenggam ijazah kedoktoran yang benar-benar membahagiakan bondanya.

Ada benarnya, bukan Ziela seorang saja yang mempunyai anak bergelar doktor kerana ramai lagi orang di luar sana yang juga berjaya mendidik anak mereka sehingga ke puncak menara gading memegang jawatan tinggi.

Bagaimanapun kepada Ziela, kebijaksanaan akal yang Allah kurniakan kepada puteri kesayangannya itu sesuatu yang sukar digambarkan dengan kata-kata lantaran kedudukannya sebagai artis sering kali dipandang serong, apa lagi dengan statusnya sebagai ibu tunggal, tidak ramai yang percaya wanita itu boleh merencana masa depan anaknya sebaik ini.

Sehingga hari ini, Ziela mengakui, dia terlalu gembira dan bersyukur dengan kemampuan anaknya menghabiskan pengajian perubatan yang disifatkan sebagai pencapaian yang terlalu besar buatnya sebagai seorang ibu sementelah sepanjang perjalanan Puteri Julia mendaki tangga-tangga kejayaan itu bukan sedikit cabaran dan kesulitan yang harus dilalui mereka anak beranak.

Barangkali pada mata orang awam, besar mana sangatlah kepayahan yang perlu dilalui pelakon dan penerbit drama tersohor itu kerana beliau sering dilihat memiliki kesempurnaan dalam segenap aspek kehidupan.

Namun sebagai empunya diri, kata Ziela, biarlah dia sahaja yang menyimpan detik-detik sukar yang pernah dilalui kerana baginya apalah makna menjadi seorang ibu seandainya dia tidak berkorban untuk masa depan anaknya.

Bagi Ziela, keupayaan membesarkan anak sehingga bergelar seorang doktor adalah kemuncak kejayaannya sebagai pelindung kepada cahaya mata yang dihadirkan Allah untuk menjadi kebanggaan keluarga.

“Hanya Allah sahaja yang tahu betapa bersyukurnya saya kerana Julia (panggilan manja buat anaknya) menghadiahkan kebahagiaan ini buat saya. Lenyap semua penat lelah selama ini apabila saya hadir pada majlis konvokesyen Julia baru-baru ini,” kata Ziela yang juga memiliki seorang lagi cahaya mata lelaki, Megat Jufri Nasrullah, 23, dan seorang anak angkat, Ibrahim Junid Abdullah, 5.

Dalam pertemuan eksklusif Mega HITS di kediaman mereka di Kuala Lumpur baru-baru ini, Ziela dan Puteri Julia berkongsi kebahagiaan hidup yang dinikmati mereka ketika ini.

Pada wajah Ziela terserlah rasa bangganya dengan Puteri Julia sementara si anak pula, tidak lekang-lekang mengucapkan rasa syukur kerana memiliki ibu yang menjadi tulang belakang kejayaannya selama ini. - Gambar FAIRUZ IZYANA AYUB

"Semuanya untuk mama, arwah abah"

PUTERI JULIA pula tidak dapat membayangkan apa yang akan terjadi kepadanya seandainya ibu tercinta tidak berada di sampingnya ketika susah dan senang.

Kehilangan bapa yang tersayang pada usia 15 tahun, Puteri Julia mengakui, mamanya itu merupakan sahabatnya yang paling akrab.

Sudah jenuh Ziela meminjamkan bahunya untuk Puteri Julia menangis apabila berhadapan dengan tekanan sepanjang berusaha menghabiskan pengajiannya.

Sekalipun, dia jauh di Dublin, mamanya tidak pernah lokek meluangkan masa untuk mendengar rintihan walaupun hanya melalui aplikasi Facetime pada telefon bimbit.

“Apabila susah hati, saya akan hubungi mama walau pada tengah malam sekalipun, mama tidak pernah menghampakan. Kalau ada berita gembira yang mahu dikongsi sekalipun, mamalah orang pertama yang akan mengetahuinya. Doa mama sentiasa mengiringi perjalanan hidup saya walau ke mana sekalipun saya melangkah.

“Saya tidak dapat membayangkan apa akan jadi kepada saya seandainya tiada mama. Mama adalah syurga terindah yang Allah kurniakan buat saya dan adik-adik.

“Tidak cukup sekadar berterima kasih buat mama namun saya janji akan terus melakukan yang terbaik untuk membuatkan mama berasa bangga dengan kami anak-anaknya,” ikrar Puteri Julia.

Mengimbas kembali zaman ketika dia dibesarkan, Puteri Julia tidak mampu melupakan bagaimana arwah abahnya merupakan inspirasi buat dia bergelar doktor.

Nasihat, gurauan dan pesanan yang diberikan kepadanya tidak pernah padam dalam kotak memorinya lebih-lebih lagi ketika Allahyarham sedang dirawat di hospital ketika bertarung dengan penyakit yang dideritainya.

“Arwah abah selalu bercerita mengenai kepayahan yang dilalui ketika dia muda. Abah pesan hanya ilmu pengetahuan sahaja yang akan mengubah nasib seseorang. Pesanan itu sentiasa menjadi ingatan buat saya.

“Kerana itu saya mahu abadikan kejayaan saya menjadi doktor untuk mama dan arwah abah saya. Semuanya untuk mereka berdua. Saya puas, gembira dan bersyukur,” ujar gadis genit yang sememangnya dikenali sebagai anak yang solehah pada mata sebilangan besar wartawan hiburan yang melihat dia membesar.

Tunai amanat suami

SEPULUH tahun lalu, ketika Megat Junid meninggal dunia, Ziela atau nama sebenarnya, Norzilah Abdul Jalil baru berusia 37 tahun.

Pada usia sedemikian, dia sudah bergelar balu dan ibu tunggal kepada dua orang anak yang masing-masing berusia 15 dan 13 tahun.

Pemergian suami yang juga bekas menteri Kabinet itu membawa seluruh kekuatan dan harapan untuk Ziela meneruskan hidup.

Lama dia termenung memikirkan bagaimana mahu meneruskan kelangsungan hidup dan memberikan pendidikan yang terbaik buat dua cahaya matanya itu.

Menyedari bahawa tiada siapa yang mampu mengubah nasibnya selain dia sendiri, Ziela bangkit mengumpul seluruh kekuatan dan sedikit sebanyak bekalan yang ditinggalkan oleh Allahyarham suaminya untuk membina kehidupan baharu.

Apa lagi melihat wajah dua cahaya matanya yang kehilangan bapa pada usia yang sangat muda menyebabkan dia tidak boleh terus meratapi nasib sahaja.

“Pesanan Allahyarham buat saya berfikir panjang. Banyak kali arwah pesan jaga anak kita baik-baik. Anak-anak akan menjadi harta yang paling bernilai buat kita.

“Melihat wajah Julia dan Jufri memberikan saya motivasi untuk bekerja keras dan saya berjanji kepada diri saya bahawa walau apa sekalipun berlaku saya tidak akan berkompromi soal pendidikan anak-anak. Kalau perlu bergolok bergadai untuk pendidikan mereka, akan saya lakukan,” dedah Ziela mengenai motivasinya membesarkan anak-anak.

Justeru, apabila melihat Puteri Julia dan Megat Jufri membesar di depan matanya mengikut landasan yang tepat, segala-gala kegusaran dan kebimbangan yang selama ini bersarang di hati Ziela hilang serta-merta.

Kata Ziela, kalau benar dia telah mendidik anak-anaknya menjadi manusia yang berguna, semua itu adalah semata-mata kerana tanggungjawab yang telah Allah amanahkan buatnya.

“Dan saya juga gembira kerana saya menunaikan amanat yang ditinggalkan oleh Allahyarham suami saya. Semoga Allahyarham tenang di sana dan semoga doa yang anak-anaknya titipkan buat Allahyarham setiap hari akan menjadi bekalan yang terbaik buatnya di negeri paling abadi,” kata Ziela dalam bicara penuh syahdu.