Masakan tidak, pada usia 59 tahun, beliau sekali lagi bergelar bapa dan kegembiraan tambah berganda kerana kali ini, bayi yang bakal dilahirkan isteri tercinta ialah cahaya mata perempuan.

Sebelum ini, Khalid mempunyai empat anak lelaki menerusi perkahwinan pertamanya.

Bagi usahawan ternama itu, yang mampu dizahirkan ialah rasa syukur yang tidak terhingga kerana anugerah itu tidak mampu diukur dengan wang ringgit lebih-lebih lagi selepas 11 tahun penantian beliau dan isteri.

Kepada Mega Hits, Khalid berkata, selain gembira dan teruja, beliau juga tidak mampu menyembunyikan rasa berdebar kerana kali terakhir beliau menerima cahaya mata ialah sekitar 20 tahun lalu menerusi perkahwinan terdahulu.

Menurut usahawan itu, seperti lelaki lain yang mahu menimang cahaya mata sulung, demikian juga perasaannya ketika ini.

“Sudah tentu ada juga debaran dan gementar. Tetapi melihat air muka Siti (Nurhaliza), saya harus tenang dan memberi kekuatan kepada dia kerana yang akan melalui proses kelahiran ini ialah dia.

“Namun begitu, saya sentiasa percaya kepada keajaiban doa semua pihak terutama keluarga, rakan-rakan dan peminat-peminat Siti yang Insya-Allah akan memudahkan kelahiran ini,” ujar Khalid pada satu perbualan dengannya Selasa lalu.

Sebetulnya, persediaan untuk menimang cahaya mata perempuan sudah lama dilakukan Khalid iaitu kira-kira 18 tahun lalu.

Dedah Khalid, ketika membina kediaman keluarga di Bukit Antarabangsa, beliau sudah menyiapkan bilik untuk empat anak lelakinya serta sebuah bilik lagi untuk anak perempuan.

Persiapan bilik itu sengaja dibuat Khalid kerana beliau sentiasa percaya akan ada rezekinya untuk menimang cahaya mata perempuan.

“Siapa sangka selepas 18 tahun bilik itu disediakan, saya akan menerima kehadiran anak perempuan kali ini. Inilah yang dinamakan keajaiban doa. Syukur kepada Allah kerana mendengar doa saya dan isteri,” kata Khalid.

Pada kesempatan ini juga, Khalid mewakili Siti Nurhaliza juga memohon para pembaca akhbar ini serta peminat-peminat isterinya mendoakan segala proses kelahiran itu akan berjalan lancar.

Dalam berdebar untuk memasuki dewan pembedahan dalam masa terdekat, Siti Nurhaliza juga tidak sabar-sabar untuk menatap wajah bayi yang dikandung selama sembilan bulan.

Semakin menghampiri detik kelahiran, perasaan itu semakin menguasai emosinya.

“Semakin hampir harinya saya akui semakin berdebar namun pada masa yang sama amat teruja.

“Maklum saja selama sembilan bulan membawa kandungan ini, sudah tentu saya tidak sabar menantikan saat dapat menatap wajah bayi yang bakal dilahirkan.

“Namun saya juga banyak berdoa agar semua akan berjalan baik sehingga saya bersalin nanti. Doa keluarga, peminat dan orang ramai juga menjadi kekuatan saya,” kata Siti Nurhaliza.

Dalam melalui proses kehamilan bayi sulung ini, Siti Nurhaliza mengakui, beliau sangat bertuah kerana suaminya tidak putus-putus memberi semangat kepadanya selain memper-lihat kesungguhan memastikan semua perkara termasuk keperluan disediakan dengan baik.

“Tentunya juga beliau (Khalid) sentiasa mendoakan saya dan anak kami sentiasa dalam keadaan yang baik,” katanya lagi.

Terima kasih peminat

TIDAK pernah terbayang pada fikiran Siti Nurhaliza yang berita kehamilannya disambut dengan penuh kesyukuran oleh sebilangan besar peminatnya sehingga ada yang bersusah-payah mengirim hadiah buat bayi yang bakal dilahirkan.

Kiriman yang terlalu banyak itu difahamkan mengambil separuh ruang bilik khas yang disediakan di kediaman penyanyi yang popular dengan lagu Cindai dan Biarlah Rahsia itu.

Menyambut penghargaan tersebut dengan penuh besar hati, penghibur berusia 39 tahun itu sangat memahami bahawa peminatnya tidak mahu ketinggalan meraikan detik-detik bahagia itu dengannya selepas 11 tahun bersabar menanti.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada semua yang telah mengirimkan dan menghantar pelbagai hadiah kepada saya dan bayi saya. Ini adalah rezeki bayi saya.

“Saya menghargai setiap hadiah yang telah dikirimkan dan saya minta maaf jika ada yang saya tidak sempat ambil gambar atau video (di laman sosial Instagram) dan yang belum sempat saya buka juga. Saya betul-betul terharu,” kata Siti Nurhaliza berkongsi rasa terharunya.

Nama pangkal bayi bermula dengan ‘A’

PERCAYALAH sebaik sahaja berita kelahiran anak sulung Siti Nurhaliza tersebar maka para peminat buah hati kesayangan Malaysia itu sudah tentu akan membuat tekaan demi tekaan mengenai nama yang bakal diberikan kepada bayi, sekali gus akan menjadi kesayangan seluruh masyarakat.

Menyedari perkara itu, Siti Nurhaliza sekadar memberi bayangan nama anak sulungnya itu akan bermula dengan huruf A.

“Jangan gusar, Insya-Allah akan saya umumkan bila tiba harinya nanti iaitu tujuh hari selepas kelahiran. Saya dan suami sepakat memilih nama yang akan bermula dengan huruf A.

“Nama itu pilihan kami berdua,” kata Siti Nurhaliza yang merancang untuk berehat selama enam bulan daripada industri hiburan untuk memberi tumpuan kepada bayinya.

Kisah Comel Pipi Merah

JARANG-JARANG sekali bagi seseorang artis merakamkan sebuah lagu khas untuk anak yang bakal dilahirkan, namun berbeza dengan Siti Nurhaliza yang awal-awal lagi sudah menyediakan single berjudul Comel Pipi Merah sebagai tanda mata istimewa buat zuriat yang akan menjadi pelengkap kehidupannya.

Single Comel Pipi Merah yang dilancarkan 5 Mac lalu merupakan karya ciptaan Siti Nurhaliza sendiri sementara liriknya ditulis oleh kakak ipar penyanyi itu, Rozi Abd. Razak atau lebih dikenali sebagai Rozi Sangdewi.

Menurut Siti Nurhaliza, lagu itu cukup istimewa kerana mengandungi elemen yang membangkitkan nostalgia zaman kanak-kanaknya.

“Dalam melodi lagu ini, Siti ada selitkan bunyi seperti seseorang sedang mengagah bayi. Siti ingat lagi ketika kecil dulu, arwah abah suka buat begitu kepada anak-anak kecil dan juga cucu-cucunya.

“Siti turut menggabungkan karya ini dengan lagu rakyat, Can Mali Can tetapi Siti tukarkan pantunnya mengikut kesesuaian lagu. Siti buat begini supaya mudah diingati mereka yang mendengarnya,” katanya.

Lagu ceria itu turut mengundang dua anak saudaranya, Siti Nurun Marsitah Mohd Ghazali, 12, dan Puteri Siti Nurinsyirah Damia Saiful Bahri, 11, untuk mengiringi nyanyiannya.