Tegasnya, hubungan yang terjalin antara dirinya dan Emma Maembong masih dalam fasa baharu dan masing-masing sedang mengenali hati budi dengan lebih rapat.

“Kalau nak tanya pasal kahwin terlalu jauh lagi. Tak ada dalam perancangan saya untuk menamatkan zaman bujang secepat ini.

“Bagilah masa kepada saya dan Emma untuk mengenali dengan lebih rapat. Saya tak mahu terburu-buru dalam soal ini dan perlu berhati-hati dalam setiap langkah.

“Bukan tak mahu berkahwin tapi biarlah saya benar-benar bersedia boleh memikirkan untuk ke fasa seterusnya,” ungkap Kamal berterus terang.

Bagi pelakon yang popular dengan drama Bionik ini, dia begitu selesa berkawan rapat dengan Emma yang disifatkan sebagai seorang pendengar yang baik.

Masing-masing yang pernah melalui kegagalan dalam percintaan sebelum ini juga sering berkongsi cerita dan semangat untuk terus kuat mengharungi hari-hari mendatang.

Tambahnya lagi, sudah pasti dalam fasa ini dia tidak mahu terburu-buru membuat sebarang keputusan untuk bernikah malah mahu memastikan masing-masing bersedia terlebih dahulu.

“Sekarang saya masih lagi membina semula rasa cinta. Dulu saya pernah terjatuh dan sekarang fasa untuk bangun semula.

“Buat masa sekarang tiada yang mahu didedahkan kepada umum. Doakan yang terbaik untuk kami. Insya-Allah kalau ada perancangan besar nanti akan saya umumkan kepada semua,” katanya.

Ketika ditanya adakah keluarga mereka ‘merestui’ hubungan akrab antaranya dan Emma, Kamal mengakui, tiada yang perlu dibimbangkan.

Keluarganya tidak pernah mencampuri urusan silaturahim yang sedang dijalani malah mendoakan yang terbaik buat mereka.

Kamal-Emma cuti ke Jepun

BUKAN bercuti berdua tetapi turut disertai oleh 14 ahli keluarga dan rakan-rakan yang lain. Bagi Kamal pemergiannya ke Jepun dengan Emma baru-baru ini merupakan kenangan manis.

Mengembara selama tujuh hari ke bandaraya Tokyo dan Osaka bermula 1 hingga 7 September lalu pastinya kunjungan kali kedua itu memberikan keterujaan kepada mereka untuk sama-sama meneroka pusat tumpuan pelancong di sana.

Tambahnya, perjalanan yang dikelolakan oleh Japan Travel Crafters itu pada asalnya mahu menaja dia dan peminat tetapi ditukar kepada keluarga dan rakan-rakan untuk merapatkan lagi silaturahim antara mereka.

“Memang pada asalnya mereka mengajak saya pergi bersama-sama peminat. Tapi saya mahu membawa adik saya yang baru sahaja berkahwin untuk mengembara ke sana sekali.

“Ini sebagai tanda terima kasih dan hadiah perkahwinan buat mereka dan pihak penaja bersetuju,” jelas Kamal lagi.

Menyedari kebanyakan rakyat Malaysia ‘kurang gembira’ untuk ke Jepun kerana perlu mengeluarkan belanja yang besar tetapi yang ditawarkan oleh Japan Travel Crafters amat berbaloi.

Selain menginap di hotel, Kamal dan ahli rombongan juga diberikan peluang untuk tidur di rumah asli penduduk di sana.

Hanya diberikan alas tilam yang nipis dan pintu bilik menggunakan kertas seperti yang dilihat dalam rancangan Jepun dahulu kala, itu merupakan antara kenangan yang tidak dapat dilupakan.

“Kami sewa satu rumah tradisional sebab mahu merasai sendiri suasananya. Memang menarik tapi masalahnya rumah tersebut hanya ada satu tandas sahaja.

“Cuba bayangkan untuk mandi sahaja memerlukan masa dua jam untuk semua ahli rombongan. Memang huru-hara!” katanya tertawa.

Bercerita mengenai keadaan di sana pula, Kamal begitu teruja saat berpeluang menjejakkan kaki ketiga-tiga taman tema yang menawarkan pelbagai permainan dan pemandangan yang indah.

Selain menjejakkan kaki ke Universal Studio Osaka, Taman Tema Disneyland dan Fuji Q, mereka juga mengembara ke bandar Kyoto yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik.

“Paling tidak dapat dilupakan pastinya mencuba roller coster di Fuji Q. Saya yakin inilah satu-satunya taman tema yang menyediakan roller coster yang paling mencabar dan mengerikan.

“Insya-Allah jika ada kelapangan saya akan ke Jepun lagi pada penghujung tahun ini untuk 
merasai musim sejuk pula,” katanya.