Menolak tuduhan tidak berasas itu, kata Janna, jangan pernah anggap dia dikenali dalam sekelip mata memandangkan usahanya untuk bergelar pelakon sudah bermula sejak berumur 16 tahun lagi. Tegasnya, siapa sahaja yang melemparkan tuduhan dengan mengatakan dia hanya mahu cepat popular, perlu insaf dan tidak hanya tahu bercakap.

Hits: Betulkah kisah yang katanya Janna ada menghasut penerbit supaya tidak ambil pelakon yang Janna kurang suka? Maknanya penerbit perlu ikut kata Janna.

Janna: Ishh! Pelik. Siapalah saya hendak buat macam tu. Saya tidak tahu bagaimana perkara seperti ini boleh timbul. Saya baru sahaja menghabiskan drama bersiri Suami Tanpa Cinta, dan boleh saya katakan tidak pernah timbul masalah antara saya dengan pelakon dan krew drama tersebut.

Sejujurnya, memang wujud ke pelakon yang Janna tidak suka itu?

Saya anggap itu fitnah, sebab sebagai artis saya tahu perkara ini normal untuk ditimbulkan. Sejujurnya juga, saya tidak ada masalah dengan sesiapa. Cuma soal suka atau tidak dari pandangan orang lain, saya tidak boleh jamin. Mungkin ada orang tidak suka saya, tetapi sebagai manusia kita memang tahu, bukan bidang kuasa kita untuk pastikan semua orang suka kepada diri kita.

Dari pemerhatian, Janna memang tiada punya rakan artis yang agak rapat, kenapa ya?

Saya lebih senang hanya menjalinkan hubungan sesama rakan sekerja di set penggambaran sahaja. Itu memang saya. Bukan tidak mahu ada rakan rapat di kalangan artis, tetapi saya sendiri lebih senang untuk meluangkan masa dengan keluarga bila ada masa lapang. Saya tidak mahu ada yang terasa hati kalau tidak keluar melepak dan sebagainya.

Ada yang melihat populariti Janna ini mendadak, itu menjadikan Janna lupa diri dan berlagak diva?

Saya memang suka berlakon sejak umur 16 tahun, ambil masa yang lama sebenarnya untuk berada di mana saya ada kini. Jadi saya memang tidak setuju bila ada yang kata populariti ini dapat secara mendadak. Dari sudut pandangan peribadi, bukan populariti yang boleh memuaskan hati, tetapi kualiti lakonan itu sendiri. Itu paling penting.

Menjadi antara pelakon wanita popular saat ini, ada rasa tekanan dengan harapan yang diberikan peminat?

Bukan tekanan tetapi lebih kepada mahu memberikan yang terbaik dari apa yang sudah dihidangkan. Saya anggap kerjaya lakonan ini sebagai sesuatu yang penting, sebab itu saya ambil berat dengan setiap karya ini. Rutin saya sama, sebelum tidur saya pastikan persediaan untuk ke set itu rapi supaya saya boleh berikan yang terbaik.

Buat masa sekarang siapa yang menjaga urusan jadual Janna?

Sebenarnya saya sangat berdikari, cuma kebelakangan ini memang perlu diakui yang perlukan pembantu. Bagaimanapun untuk memilih orang luar yang bukan kaum keluarga sendiri saya tidak akan berbuat demikian atas dasar kepercayaan. Sebab sebelum ini memang saya pernah ada pembantu yang bukan ahli keluarga, jadi dari situ saya memang belajar sesuatu. Jadi sekarang memang ada sepupu saya yang membantu, tetapi bukanlah sepenuh masa.