“Ya, saya gembira dapat menimba pengalaman baharu di sana. Walaupun gementar bersaing dengan nama-nama besar di sana, saya sudah memberikan yang terbaik,” kata PU Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail, 22 tahun.

Dicungkil bakat menerusi program Pecetus Ummah (PU) musim lalu, nama Riz semakin diterima ramai meskipun tidak berjaya mara ke pertandingan akhir ketika itu. Tidak pernah berputus asa, dia bertuah kerana perjalanannya dalam bidang dakwah tidak pernah terhenti sehingga ke hari ini.

Bertanding di Aksi Asia yang pertama kali diadakan, tentunya kehadiran Riz bersama dengan enam lagi peserta negara adalah dalam misi untuk melebarkan dakwah mereka ke peringkat tertinggi.

Selain peserta dari Malaysia dan Indonesia, turut terlibat adalah peserta dari Singapura dan Brunei yang turut sama.

“Bila berada di sana sudah tentu persaingannya juga cukup kuat. Peserta yang terlibat pula bukan calang-calang orang dan kebanyakan mereka sudah berpengalaman menjuarai beberapa program di negara masing-masing.

“Saya pula tak berapa kisah dengan semua itu. Asalkan topik yang diberikan dapat dihuraikan dengan baik dan penonton mendapat manfaatnya, itu sudah menggembirakan,” ungkap Riz lagi.

Di sana, mereka dibahagikan kepada tujuh kumpulan yang dianggotai oleh peserta daripada kesemua negara. Mereka kemudiannya bersaing sesama sendiri dalam setiap kumpulan sebelum terpilih ke peringkat akhir.

Walaupun tidak berjaya mara ke peringkat seterusnya, Riz bersyukur kerana mampu tidak tersingkir awal dan dalam masa yang sama memperkenalkan namanya kepada peminat di sana.

“Agak sukar juga sebenarnya untuk bersaing walaupun saya sendiri sudah ada pengalaman bertanding. Bukan apa, bahasa juga menjadi antara kekangan bila saya mula bercakap.

“Mereka kurang faham bila saya bercakap laju. Kena cakap perlahan-lahan barulah mesej yang hendak disampaikan itu jelas,” katanya lagi.

WALAUPUN tidak bertahan lama dalam Aksi Asia, Riz beruntung kerana dia diberikan tawaran oleh pihak stesen televisyen untuk membintangi telefilem di sana. Diberikan watak utama dalam Kisah Nyata Ramadan- Keinginan Suamiku Terakhir di bulan Ramadan yang disiarkan melalui saluran Indosiar, tentu sahaja ini merupakan pembuka jalan untuknya terus melebarkan sayap ke sana.

Walaupun gementar berlakon bersama pelakon-pelakon hebat Indonesia seperti Georgina, Linda Ramadhanty dan Audrey, dia bagaimanapun beruntung kerana berpeluang menimba pengalaman di sana.

“Saya sendiri tidak menyangka akan diberikan peluang untuk terlibat sama dalam telefilem berkenaan. Sebaik sahaja tersingkir dalam Aksi Asia, saya sudah menempah tiket penerbangan pulang ke Kuala Lumpur.

“Tapi pihak di sana pula menghalang. Katanya mereka mahu memberikan tawaran berlakon pula. Sebab itu saya mencuba nasib sahaja,” jelasnya yang masih belum berpengalaman luas dalam bidang lakonan.

Rezeki

Walaupun agak kekok berada di set, dia perlu mempelajari banyak perkara terutama soal bahasa yang perlu ‘dilembutkan’ lagi mengikut dialek di sana. Mengakui yang lakonannya masih memerlukan banyak tambah-baik, Riz beruntung kerana dia peminat di sana menerima kehadirannya.

Sehingga ke hari ini, dia sudah memiliki tujuh kelab peminat di sana hasil gabungan yang dibuat oleh peminat dari negara tersebut.

“Di sini (Malaysia), peminat agak sukar untuk menerima kehadiran saya memandangkan saya masih lagi orang baharu. Mungkin saya perlu bekerja lebih keras bagi menunjukkan potensi diri,” tegas mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) ini lagi.

Ditanya adakah dia mahu berhijrah dan membina kerjaya di sana, Riz belum memikirkan lagi tentang perkara tersebut. Baginya ada syarat penting yang sudah diberikan kepada mereka sekiranya mahu terus berbakti di sana.

“Saya hanya minta tiada adegan berpegang tangan dengan wanita dan peka dalam bab aurat. Jika dua perkara ini lepas, saya tak kisah untuk terlibat dalam mana-mana produksi sekalipun,” katanya.