Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Dilhanaridz atur langkah

Bakal bekerjasama dengan pemain flute Kuch Kuch Hota Hai untuk album baharu

DILHANARIdZ  ketika mengadakan persembahan di Panggung Utusan, 2
DILHANARIDZ ketika mengadakan persembahan di Panggung Utusan, baru-baru ini.

BAGI yang tidak meminati irama Bollywood, pesanan penting untuk anda. Jangan sesekali memandang sebelah mata kepada tiga pemain dalam Dilhanaridz Band ini. Sekali melihat dan mendengar, anda pasti terpegun dengan kumpulan yang dianggotai oleh Nadia Fharshah Mohamad Jamlos, 29, Hafiz Raiyan, 31, dan Mohd. Ridzuan Mohd. Taib atau D’Wanz, 31.

Kebolehan tiga rakan ini lebih kurang sama seperti bakat yang dimiliki Lata Mageskhar dan Mohammed Rafi, dua jenama dunia ini adalah suara legenda yang sering diguna untuk lagu latar filem-filem terbitan Bollywood dan komposer terkenal India, A.R Rahman.

Dilhanaridz berbeza daripada kumpulan lain kerana mereka memilih irama Hindi sebagai platform perjuangan dalam bidang seni. Bagi yang merindui kemerduan suara penyanyi legenda dari Mumbai itu, Nadia dan Hafiz mampu memenuhi impian tersebut.

Buktinya sewaktu Dilhanaridz mengadakan persembahan selama satu jam di Panggung Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, baru-baru ini, rata-rata yang pertama kali menonton persembahan mereka terpegun dengan vokal kumpulan tersebut.

Dilhanaridz mendendangkan lagu-lagu malar segar dari filem keluaran 70-an hinggalah masa kini, antara lagu yang menjadi pilihan mereka ialah Tera Mujhse, Wada Karo, Tum Bin Jaoon Kahan, Mujhe Kitna Pyar Hai Tumse, Churaliya dan tidak ketinggalan lagu Hindi yang tengah hit sekarang, Janam Janam dan Gerua dari filem Dilwale.

Oleh kerana kurangnya penyanyi tempatan yang berkebolehan mendendangkan lagu-lagu Hindi sebaik Dilhanaridz, maka setiap hujung minggu kumpulan ini sering menjadi tetamu untuk beberapa majlis korporat dan persendirian daripada pelbagai bangsa.

“Setakat ini, alhamdulillah sedikit demi sedikit orang sudah mula mengenali nama Dilhanaridz Band yang ditubuhkan sejak November 2014. Terima kasih pada mereka yang telah viralkan video kami, tak kiralah di mana-mana majlis sekalipun kerana dari situ orang hubungi kami untuk buat persembahan.

“Tanpa sokongan mereka, mungkin kami tidak ada ruang untuk mengembangkan bakat. Sebagai orang baharu, kami akur perlu bermula daripada bawah dan yakin dengan cara itu kami dapat bertahan lama dalam bidang seni tanah air,” jelas Nadia Fharshah yang rajin memuat naik video persembahan Dilhanaridz menerusi Facebook miliknya.

Tambah Nadia, peminat Dilhanaridz bukan sahaja di kalangan masyarakat Melayu, malah bangsa Sikh juga meminati persembahan mereka.

“Sewaktu kami mengadakan persembahan di Uptown, Puchong, pengunjung-pengunjung bukan Melayu ramai yang membuat permintaan lagu. Memandangkan kami mengadakan persembahan dengan iringan keyboard yang dimain oleh D’Wanz, jadi tiada masalah untuk kami dendangkan lagu apa sahaja.

“Sejak ditubuhkan hujung tahun lalu, rata-rata orang suka dengan persembahan kami. Syukur kerana Dilhanaridz boleh menghiburkan orang ramai,” katanya tanpa berselindung.

Dilhanaridz yang menghasilkan sebuah album kompilasi berjudul Phir Milenge sejak Disember 2015 telah berjaya menjual kira-kira 500 keping cakera padat (CD) setiap kali persembahan atau secara atas talian.

Seorang lagi anggota Dilhanaridz, D’Wanz berkata, album itu dihasilkan sebagai bonus untuk penggemar-penggemar irama Bollywood malar segar kerana kesemua lagu yang dimuatkan dalam album tersebut telah digubah semula.

“Lagu-lagu dalam album itu memang lagu lama tapi susunan muziknya dibuat baharu tanpa mencacatkan muzik asal. Saya tidak mengambil masa yang lama untuk hasilkan muzik setiap lagu kerana tabiat saya, selagi tidak siap tidak senang duduk. Itu yang cepat siap.

“Memandangkan kami tidak berhasrat untuk memasarkannya secara komersial, jadi kami hanya jual CD tersebut untuk menampung kos pengeluaran sahaja. Alhamdulillah, ramai yang memberi sokongan terhadap penghasilan CD itu,” katanya.

Guna pemain flute Bollywood

SAMBUTAN yang diberi terhadap album Dilhanariz Phir Milenge memberi semangat kepada Dilhanaridz untuk menghasilkan album kedua yang memuatkan lagu-lagu hit Bollywood, sepenuhnya.

Sekarang ini Dilhanariz sudah mengenal pasti 40 buah lagu Hindi yang menjadi kegemaran rakyat tempatan untuk dimuatkan dalam album akan datang. Cadangnya, dalam setiap album akan dimuatkan 10 buah lagu.

“Jadi, nanti bakal ada empat album.Kali ini memang kami akan jual secara komersial kerana pengurus kami sedang berbincang untuk mengundang pemain flute dari India, Krish yang pernah berkolaborasi dengan komposer A.Rahman. Krish ni yang main flute untuk lagu dalam filem Kuch Kuch Hota Hai,” jelas D’Wanz.

Pada tahun lepas sewaktu Dilhanaridz mengadakan persembahan, Krish turut terlibat pada majlis tersebut dan dari situ berlaku perbincangan. Malah, Krish juga tidak menolak apabila diajak untuk bekerjasama dengan Dilhanaridz.

Kata D’Wanz lagi, Dilhanaridz dimaklumkan, kos untuk menghasilkan empat album tersebut dijangka mencecah RM300,000. Malah dia sendiri terpaksa bekerja keras kerana setiap lagu yang dipilih perlu dibuat susunan muzik baharu.

“Lagu-lagu dendangan Dilhanaridz perlu dibuat susunan semula kerana kalau Nadia nyanyi lagu Janam Janam ikut irama asal, orang yang tak tahu akan kata dia miming kerana pada pendengaran mereka suara Nadia seperti penyanyi asal. Jadi untuk elak kekeliruan itu, saya rancakkan iramanya.

“Semoga apa yang diusahakan oleh pihak pengurusan akan berjalan lancar kerana impian Dilhanaridz mahu menerokai pasaran di tanah air, Singapura, Brunei dan Indonesia dengan irama Bollywood. Kami yakin irama Bollywood bersifat antarabangsa sejak dulu hingga kini,” katanya.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan