PU Riz 

Bagi Muhammad Haris Mohd Ismail atau lebih popular disapa dengan panggilan Riz, dia sedar tentang perkara berkenaan namun dalam masa yang sama berharap peminat tidak terlalu cepat menjatuhkan hukum dengan menuduhnya lupa diri atau apa sahaja panggilan yang kurang senang.

“Saya tidak pernah lupa dengan apa yang sedang dilalui ketika ini. Memang benar, bidang dakwah masih lagi menjadi keutamaan dan saya sendiri kerap memberikan kuliah dan ilmu kepada sesiapa sahaja yang memerlukan.

“Cuma dalam bidang lakonan hanyalah percubaan saya untuk mengembangkan dakwah dan bakat. Tidak bermakna bila sudah bergelar pelakon saya akan lupa diri. Sedangkan masih banyak perkara baharu yang sedang saya pelajari dalam dunia baharu ini,” kata Riz yang baru berusia 22 tahun.

Dicungkil bakat menerusi program Pencetus Ummah (PU) tahun lalu, Riz sedar tentang persepsi orang yang tidak boleh menerima pendakwah muda sepertinya terlibat dalam dunia glamor seperti lakonan.

Mahu cuba untuk mengubah persepsi berkenaan, kehadirannya ke dalam bidang berkenaan tidak berlandaskan populariti semata-mata sebaliknya turut disertakan dengan dakwah kepada sesiapa sahaja.

Mengulas teguran segelintir peminat yang kurang senang dengan jalan yang dipilih, Riz menganggap perkara tersebut adalah hal biasa memandangkan mereka tidak mendapat gambaran jelas tentang apa yang mahu dilakukan ketika ini.

“Bila saya buat keputusan mahu mencuba bidang lakonan, tentunya ada beberapa syarat sudah diletakkan pada peringkat awal lagi.

“Tidak semua watak akan saya terima termasuklah bersentuhan antara bukan mahram. Selain itu saya juga akan menolak watak seperti pemabuk, kaki judi dan watak-watak bertentangan dengan syariat yang ditetapkan oleh agama,” tambah anak kedua daripada tiga beradik ini lagi.

Paling menggembirakan apabila pihak produksi juga menghormati pendiriannya itu dan tidak menawarkan watak-watak ‘melampau’ untuk dirinya.

Terbaru, Riz kini menjalani penggambaran drama bersiri Tangisan Dari Metador bersama dengan beberapa pelakon lain seperti Ben Amir, Shakilla Koriri dan Puteri Aishah.

Pendekatan

MENGAKUI yang keluarganya kurang berkenan dengan pilihan untuk menceburi bidang seni, Riz menganggap perkara tersebut adalah satu cabaran untuk dilalui sebagai seorang anak.

Meskipun pada peringkat awal ayahnya ada menyatakan perasaan tersebut, dia akhirnya berjaya meyakinkan mereka yang pilihan dibuat bukan atas dasar suka-suka atau mencari populariti semata-mata.

“Saya ada beritahu yang penyertaan saya sebagai pelakon tidak akan jadi sia-sia. Saya tetap mahu memberikan dakwah dan menyampaikan mesej-mesej bila mendapat peluang tersebut dan akhirnya ayah memberikan ‘lampu hijau’.

“Dakwah seharusnya tidak terhad kepada peringkat-peringkat tertentu sahaja sebaliknya boleh dilakukan pada bila-bila masa. Ini yang sedang cuba saya lakukan bila berada di set,” tegas Riz lagi.

Mengakui sering kali menyalurkan dakwah bila berada di lokasi penggambaran, Riz akan mencari jalan untuk menyampaikan perkara berkenaan secara bersahaja. Tambahnya tidak semua orang suka untuk ditegur secara terang-terangan dan dia mencuba dengan caranya sendiri.

Mengulas perkembangan terbaru pula, Riz sebenarnya masih lagi menuntut dalam bidang Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).

Terdahulu, dia sebenarnya sudah menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir pada tahun 2012 namun hanya sempat belajar selama setahun dan mengambil keputusan untuk pulang terus ke sini.

“Waktu itu keadaan di Mesir bergolak dek kerana perang yang berlaku di sana. Saya hanya sempat belajar selama setahun sahaja sebelum mengambil keputusan untuk pulang terus ke sini.

“Ada di antara rakan-rakan yang masih meneruskan pelajaran di sana walaupun keadaan kritikal ketika itu sampaikan saya pernah menyaksikan insiden tembakan di depan mata. Tak mengapalah walaupun terpaksa bermula semula dari bawah (pelajaran) di sini,” kata Riz lagi.