Awal Januari 2017, Obama dan keluarganya telah meninggalkan rumah paling popular di Amerika Syarikat, White House. Bukan sahaja disayangi kerana toleransinya terhadap pelbagai agama yang tinggi, kisah cinta antara Obama terhadap isterinya, Michelle kekal memberi inspirasi kepada dunia.

Kisah mereka bukan cinta biasa, tetapi kesetiaan yang luar biasa seorang 'nakhoda' yang menjadi dambaan setiap yang bernama wanita. Pancaindera tertarik untuk mengupas kisah-kisah penting pasangan ternama dunia ini berdasarkan gambar-gambar menarik hasil capaian di internet dan melalui telaah di beberapa akhbar dalam talian.

Obama dan wanita kesayangannya bertemu pada 1989 di sebuah firma guaman di Chicago, kedua-duanya berkerjaya sebagai peguam waktu itu. Persahabatan awal mereka bermula dengan Michelle menolak pelawaan Obama untuk menjadikannya sebagai teman wanita. Bagaimanapun selang beberapa bulan, mereka cuba mendasari hati dengan keluar temu-janji berdua dengan menonton sebuah wayang, mengunjungi Institut Kesenian. Sambil makan aiskrim, mereka memaknakan kehidupan masing-masing pada dating pertama itu. Selepas dua tahun bercinta, Obama melamar Michelle di Restoren Gordon di Chicago.

“Kami sedang bercakap, lama. Kemudian datang dessert dan selepas itu sebentuk cincin,” beritahu Michelle mengenang saat dirinya dilamar.

3 Oktober 1992 menjadi hari bersejarah, di Gereja Trinity United mereka mengucapkan cinta dan kemudian majlis resepsi di South Shore Cultural Centre. Michelle yang merupakan peminat utama Stevie Wonder memilih lagu You And I untuk mengiringi majlis dansa pertama mereka sebagai pasangan suami isteri.

Pada hari ulang tahun pernikahan mereka yang ke-24, Barack Obama telah memuatkan gambar dia mencium popi si isteri. Disertakan sekali kata-kata berbunyi, “Di sisimu selama 24 tahun. Selepas ini akan banyak lagi....”

Inspirasi cinta ke filem

Kisah cinta penuh perjuangan Obama dan sang isteri pun memberi inspirasi kepada sutradara ternama Hollywood, Richard Tanne menelurkan Southside With You. Tanne mula menggarap filem ini dengan aktor Parker Sawyers sebagai Obama dan Tika Sumpter menjadi Michelle.

Filem yang berlatar tahun 1989 ini mengisahkan bagaimana perjuangan Obama untuk mengajak Michelle keluar temu janji dimana dia ketika itu adalah wanita yang sangat popular dan diminati ramai lelaki.

Di filem pendek ini, sikap Obama yang tidak mudah menyerah berjaya mencairkan hati Michelle, sekaligus membuatkan dunia semakin kagum dengan ketokohan lelaki ini sementara Michelle digambarkan sebagai perempuan yang bijak dan memiliki segala-galanya.

Menurut New York Times, seperti lelaki muda lainnya, Obama juga pernah beberapa kali jatuh cinta dengan wanita berbeza, salah seorang wanita bernama Genevieve Cook. Wanita berasal dari Australia ini anak kepada seorang diplomat dan pelajar di Universiti Columbia New York pada 1983.

Pertemuan Genevieve dan Obama pada Hari Christmas telah diceritakan wartawan Washington Post, David Maraniss melalui biografi Barack Obama: The Story. Seperti disiarkan, Genevieve masih mengenang kisah cinta seketika mereka itu.

Bermula sebagai hubungan biasa-biasa sahaja, ia kemudian menjadi kontroversi. Sikap Obama yang paling diingati oleh wanita yang ketika itu berusia 23 tahun ialah suka menulis teka silang kata, terutamanya pada waktu hujung minggu.

“Barack seorang lelaki yang memikat hati aku. Tetapi, dia juga seorang lelaki yang bijak mengendalikan dirinya, ada batas-batas yang perlu kami jaga dan seorang lelaki yang penuh disiplin,” katanya mengenai percintaan yang berakhir pada Mei 1985 itu.

Seorang lagi wanita yang pernah menjadi kekasih Obama ialah Alex McNear dan ini adalah kekasih ketika Obama masih belajar di Kolej Occidental, sebelum berpindah ke Columbia. Mereka menjalani hubungan jarak jauh pada 1982.

Dalam bukunya Dreams From My Father, Obama menulis kisah tentang Genevieve. Meskipun tidak menuliskan nama wanita itu secara terang-terangan, dia menceritakan tentang kekasih kulit putihnya yang ditemui di New York.

“Dia tidak boleh menjadi orang kulit hitam,” demikian Obama menceritakan punca perpisahan mereka.

Ketika ditanya, Obama mengakui perempuan yang dimaksudkan merupakan gabungan kepada beberapa wanita istimewa yang pernah hadir dalam hidupnya.

“Aku tidak boleh memberitahu namanya kerana aku sangat menghormati mereka,” tegas Obama.