Diiringi Din Search, Alyd beruntung

SALING mengagumi bakat antara satu sama lain menjadi kunci utama dalam persahabatan yang sudah terjalin sejak beberapa tahun lalu. Meski ada jurang usia namun tidak menjadi penghalang kepada pendatang baharu yang mahu dikenali dengan nama Alyd.

 

Berkolaborasi melalui lagu Nostalgia, tentu sekali ada sesuatu yang menarik sehingga membuatkan Nordin, anggota kumpulan Search mahu bergandingan dengan anak muda tersebut.

Menganggap Alyd mempunyai potensi sebagai bintang rock membuatkan Nordin atau lebih dikenali dengan panggilan Din ini yakin yang kerjasama antara mereka akan membuahkan hasil.

“Alyd mempunyai potensi yang besar sebagai penyanyi. Atas dasar itu juga yang membuatkan saya bersetuju untuk mengiringi setiap persembahannya.

“Dia orang baharu dan perlu dibantu. Sebagai orang yang sudah berpengalaman tentu sekali saya tidak ada masalah untuk membantu Alyd meneruskan cita-cita sebagai penyanyi.

"Kalau dia berusaha bersungguh-sungguh pasti dia akan berjaya,” kata Din.

Pertemuan antara Alyd dan Din bermula di sebuah kedai muzik di Seremban, Negeri Sembilan kira-kira empat tahun lalu.

Daripada pertemuan tanpa sengaja itu akhirnya memberikan jalan baharu buat mereka untuk bekerjasama menerusi lagu Nostalgia.

Alyd, seorang yang begitu teliti dan optimis mampu menarik nafas lega apabila berjaya menarik minat Din untuk terlibat sama dalam proses rakaman lagu tersebut.

Mereka juga menjemput pemuzik handalan seperti Yazit (Search), Rozario, Kelly dan Fudin untuk sama-sama memberikan jiwa kepada keseluruhan proses rakaman dan lagu tersebut secara amnya.

“Sejujurnya memang saya sangat berpuas hati dengan lagu ini. Tidak mudah sebenarnya untuk mengumpulkan nama-nama besar mengiringi orang baharu seperti saya.

"Tetapi mereka semua tidak pernah lokek untuk membantu saya merealisasikan impian ini. Tentu sekali saya mengambil semangat yang ada untuk terus bekerja keras.

"Saya enggan mensia-siakan peluang yang sudah ada di depan mata,” tambah Alyd atau nama sebenarnya Syed Khalid Said Hamoza Al-Jufri ini lagi.

Bagi penyanyi yang berasal dari Seremban ini, proses rakaman lagu Nostalgia sebenarnya sudah dilakukan empat tahun lalu.

Namun dek kerana beberapa masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan, mereka terpaksa merakamkan semula lagu tersebut.

Walaupun perlu melakukan semula proses rakaman baharu, kesemua pemuzik yang terlibat tidak merungut malah terus memberikan sokongan kepadanya.

PADA saat kebanyakan penyanyi baharu muncul dengan genre yang lebih ringan agar mudah diterima, kelainan yang dibawakan oleh Alyd memberikan sedikit kelebihan kepadanya untuk terus bersaing dalam industri.

Tambah anak kelima daripada tujuh beradik ini, minatnya terhadap nuansa rock bukan baharu sebaliknya dia amat mengagumi kumpulan berpengalaman seperti Search dan Wings yang mampu bertahan sehingga hari ini.

“Orang mungkin menganggap ini bukan zaman rock. Tapi saya percaya setiap jalur muzik tetap mempunyai pengikut tersendiri yang akan mencari lagu-lagu baharu untuk didengar.

“Sejak dahulu saya mengimpikan untuk bekerjasama dengan mereka. Untungnya Din bersetuju memberikan peluang kepada saya selain tunjuk ajar yang tidak berbelah bahagi.

“Kami juga sudah merancang untuk merakamkan lagu lain yang akan dijadikan single kedua. Insya-Allah saya akan mengekalkan sentuhan pemuzik terdahulu,” tambah Alyd yang mempertaruhkan lagu Cinta dan Nafsu.

Tambah Din pula, dia sudah memberikan persetujuan untuk mengiringi setiap persembahan Alyd ketika ini. Baginya perkara tersebut penting untuk memastikan Alyd berada pada kedudukan yang betul seperti yang mereka rencanakan.

Dengan Seach pula, Din menegaskan yang mereka masih bersama dan tetap akan kekal sebagai sebuah kumpulan.

“Apa-apa pun yang berlaku saya tetap akan mendahulukan Search dalam segala hal. Jika tidak ada projek dengan mereka barulah saya memberikan tumpuan kepada Alyd,” tambah pemain gitar popular ini lagi.

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati