Hits: Apa sebenarnya yang berlaku dalam rumah tangga Maya?

Maya: Gantung tidak bertali. Maknanya memang saya masih lagi isteri dia, tetapi kami sudah tidak tinggal sebumbung.

Sudah berapa lama tidak sebumbung?

Lebih dari enam bulan. Saya memang mengaku kami mempunyai masalah. Tetapi hubungan saya dengan suami masih baik dan kami sedang mencari jalan penyelesaian dalam hal ini.

Ada ke peluang untuk jalan penyelesaian?

Seperti yang saya kata, memang kami ke arah itu. Soal baik semula atau tidak kita lihat sahaja nanti macamana.

Kenapa ambil waktu yang agak lama?

Dalam keadaan ini saya sebenarnya memberi fokus kepada ibu saya dahulu yang sedang sakit. Keadaan ibu memang tidak mengizinkan untuk saya fikir benda lain, jadi saya tidak terlalu beri perhatian soal hubungan kami ini.

Apa punca keretakan rumah tangga Maya, dengar cerita wujud orang ketiga?

Tidak betul! Bab tu saya pun tidak boleh komen terlalu panjang. Dalam hal ini saya perlu jaga semua pihak terutamanya pihak keluarga saya dan pihak keluarga sebelah sana juga. Tak bagus kalau terlalu banyak bercakap.

Bila Maya harap hal ini akan diselesaikan?

Ikutkan hati, memang saya mahu selesaikan keadaan ini secepat mungkin. Sebabnya bila keadaan sudah diketahui umum, saya tahu pelbagai fitnah akan muncul kelak. Jadi untuk elakkan itu saya akan pastikan perkara ini menemui noktahnya.

Melihat Maya sendiri agak ceria, tetapi apa yang berlaku dalam diri Maya sendiri?

Saya percaya diri ini adalah seorang yang kuat. Bagaimanapun sebagai wanita saya mempunyai cara tersendiri dalam menyelesaikan konflik yang berlaku. Kala ini memang menyibukkan diri dapat melupakan sebentar apa yang ditanggung. Bagaimanapun sebagai seorang hamba Allah saya percaya setiap apa yang berlaku mempunyai sebab tersendiri dan kita perlu percaya dengan hikmah yang sudah tertulis.

Boleh kongsi aktiviti seni Maya kini?

Waktu sekarang fokus saya adalah kepada nyanyian dahulu, kurangkan berlakon. Bagaimanapun tawaran yang diterima dalam Teater Y Sebuah Muzikal memang menggamit minat. Jadi saya ambil peluang yang diberikan pengarah Khairunawan Rodzy, kerana peluang ini tidak boleh dilepaskan.