Aeril Zafril 

Sepatutnya wang tersebut dijadikan modal untuknya membangunkan bisnes minyak wangi sendiri. Namun setelah pembayaran dibuat dengan jumlah tersebut, apa yang dijanjikan tidak ditunaikan. Minyak wangi yang diharapkan pula tak kunjung tiba dan modal yang dilaburkan juga menjadi tanda tanya.

Sudah menunggu hampir setahun untuk mendapatkan semula wang pelaburan tersebut, Aeril menganggap lelaki yang bergelar Datuk tersebut tidak berminat untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan cara baik. Dia dan isterinya, Wawa Zainal sudah mencuba untuk mendapatkan hak mereka melalui pelbagai cara namun semuanya sia-sia.

“Sebab itu saya tekad membuat laporan polis. Kami sudah berusaha sehabis baik untuk menuntut wang tanpa perlu ke balai polis tapi nampaknya mereka berdegil. Panggilan tidak berjawab malah anak-anak Datuk tersebut pun tidak dapat membantu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

“Bila saya sudah membuat laporan polis, ada beberapa mangsa lain juga mengaku ‘dikencing’ setelah melaburkan wang ringgit kepada syarikatnya. Jumlah mereka tidaklah sebesar mana tetapi tetap melibatkan wang. Sebab itu saya berharap mana-mana pihak yang sudah terkena agar membuat laporan polis. Setidaknya jangan ada lagi mangsa baharu yang ditipu pada masa hadapan,” tambahnya lagi.

Bercerita mengenai perkenalan mereka pula, Aeril menegaskan yang mereka saling kenal mengenal tetapi bukanlah terlalu akrab sebelum ini. Sehinggalah dia ditawarkan untuk membuat wangian jenama sendiri oleh syarikat tersebut, pastinya turut disertakan dengan beberapa bukti kejayaan yang diraih.

Terdahulu beberapa artis popular tanah air juga turut menggunakan khidmat syarikat ini dalam menghasilkan wangian jenama sendiri. Menganggap perkara berkenaan antara bukti keseriusan bisnes yang akan dilakukan, itu juga menjadi punca mengapa Aeril dan Wawa sanggup melaburkan RM100,000 bagi meneroka perniagaan baharu itu.

“Ada dalam kalangan artis popular sudah menghasilkan minyak wangi dengan syarikat ini tanpa sebarang masalah. Sebab itu kita yakin untuk melaburkan duit dengan mereka. Tapi nampaknya ini pula yang saya dapat. Sudah beberapa bulan dia menghilangkan diri. Sebab itu saya menggunakan Instagram untuk mencari lelaki ini dengan memaparkan wajahnya. Keluar dan selesaikan segera masalah ini,” tambahnya lagi.

Cek tendang

MENGIMBAS kembali apa yang telah berlaku, Aeril sudah membuat separuh pembayaran setelah mereka bersetuju untuk mengadakan kerjasama awal tahun lalu. Namun pihak terbabit meminta dia melunaskan segera baki pembayaran untuk memudahkan lagi segala proses untuk memulakan perniagaan ini.

“Dia minta saya lunaskan segera baki bayaran sedangkan dalam perjanjian sepatutnya selepas tiga bulan. Saya beri atas dasar kepercayaan dan kami juga sudah membuat perjanjian hitam-putih. Tup-tup sampai ke sudah tiada apa-apa berlaku. Bila disiasat kepada pekerjanya, mereka kata syarikat ada masalah kewangan. Sebab itu saya mula curiga dan mahu mencari jalan penyelesaian. Bukan sedikit wang yang kami laburkan,” katanya yang sedang menjalani penggambaran drama Zahir Tak Terucap bersama Saharul Ridzuan.

Setelah beberapa kali didesak, Datuk tersebut ada memberikan dua cek namun kedua-duanya merupakan cek tendang. Merasa ini merupakan kemuncak kepada ‘permainan’ pihak tersebut, Aeril tidak mampu untuk duduk diam lagi dan terus membiarkan sahaja perkara ini begitu sahaja.

Ditanya adakah dia serik untuk melakukan bisnes lain selepas ini, Aeril menegaskan yang semangatnya masih membara untuk meneroka pelbagai lapangan lain.

“Mahal, memang mahal pelajaran saya dalam bidang ini. Nilainya sehingga RM100,000. Apa yang paling penting jangan sesekali mengikut telunjuk orang lain. Jika merasakan ada yang tak kena, cepat-cepat berwaspada dan jangan letakkan sepenuhnya kepercayaan. Allah beri ujian untuk saya dan saya yakin ada hikmahnya. Mungkin ini juga adalah kifarah kepada dosa saya dan dosa isteri saya tanpa disedari,” katanya.