Itu antara dialog yang diucapkan watak Didi sebaik sahaja tamat mempersembah lagu Lima Buku dalam siri lagu kanak-kanak Didi & Friends secara animasi.

Selain menghiburkan dengan muzik rancak, watak Didi bersama ‘rakan-rakan’ animasinya juga sering mengajak kanak-kanak melakukan perkara berfaedah, malah penggunaan bahasa yang senang dan keanak-anakan memudahkan anak-anak kecil dari seawal usia enam bulan menerima mesej yang ingin disampaikan.

Menggunakan latar belakang lagu-lagu rakyat popular, animasi Didi & Friends kedengaran sangat menghiburkan bukan sahaja pada halwa telinga kanak-kanak, malah orang dewasa.

Maka tidak hairanlah, lagu-lagu keluaran terbitan Durian Digital Animation Studio Sdn. Bhd. (DD Animation) yang diusahakan empat anak tempatan itu, mendapat tempat di hati ibu bapa selain sering dijadikan sebagai bahan hiburan di pusat asuhan kanak-kanak dan tadika pelbagai bangsa.

Bertemu empat individu yang meneraju pembikinan animasi itu baru-baru ini iaitu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah DD Animation, Sinan Che Ismail, 35; Ketua Pegawai Operasi, Hairulfaizalizuan Ahmad Soffian, 35; Senior Animator, Iman Rulkhairi Ahmad Fauzi, 25; dan Pengarah Kreatif, Mohamad Zainul Arifin A.Wahab, 29, ternyata perjalanan permulaan mereka bukanlah seindah seperti sekarang.

Tidak mencedok bulat-bulat bahasa dan seni kata lagu-lagu rakyat popular seperti Burung Kakaktua, Lompat Si Katak Lompat, Jong Jong Inai, Rasa Sayang dan banyak lagi, sebaliknya diubah bagi menepati kehendak anak-anak zaman ini.

Menurut Sinan, perjalanan kejayaan animasi Didi & Friends bermula apabila penyertaan mereka ketika penganjuran MSC Malaysia Intellectual Property Creators Challenge 2012 (IPCC 2012) membuahkan hasil.

Mereka dipilih sebagai antara finalis bagi kategori animasi, sekali gus menerima geran bernilai RM50,000 daripada Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDEC).

Bermula dari situ jelasnya, sambutan terhadap video klip Didi & Friends mendapat tempat di hati penonton sehingga mereka terus menghasilkan video-video lain hampir dua kali sebulan yang dimuat naik di laman YouTube.

“Selepas hampir dua tahun memuat naik video yang dihasilkan di laman YouTube dan mencapai lebih daripada yang disasarkan, akhirnya hasil kerja itu membuka peluang untuk kami meneroka platform dunia penyiaran arus perdana.

“Kami berjaya mengadakan kerjasama dengan sebuah syarikat penyiaran bagi membolehkan video sekitar dua minit itu disiarkan di televisyen,” ujarnya.

Lebih membanggakan apabila video animasi itu ketika ini mencecah 1.8 juta tontonan sehari.

Menurut Sinan, tidak mudah untuk menghasilkan lagu yang dapat menarik minat kanak-kanak, justeru, pemilihan lagu-lagu rakyat yang tepat penting selain isi kandungan yang mudah diingati.

“Lazimnya kita mencari lagu rakyat yang public domain dari seluruh negara. Apa yang kita buat ialah mengubah seni kata dan lagu agar menjadi lebih menarik dengan ilustrasi yang berwarna-warni.

“Untuk menyiapkan sesebuah animasi lagu beberapa peringkat diperlukan seperti penghasilan skrip, pembinaan konsep dan jalan cerita selain proses modelling (membuat model), rigging (membuat rangka dalam animasi), animation and rendering (proses menjadi model sebagai imej) bagi menghasilkan animasi tiga dimensi,” jelasnya.

Beliau turut memberitahu Didi & Friends ketika ini telah mempunyai 46 buah lagu.

Cabaran dunia animasi

Menyingkap perjalanan Didi & Friends, segalanya bermula daripada minat mendalam Sinan dan Hairulfaizalizuan di dalam dunia multimedia, namun disebabkan faktor kewangan, mereka hanya mampu bermula sebagai juruvideo pada majlis perkahwinan.

Pun begitu, minat yang mendalam dalam penghasilan animasi kanak-kanak mendorong dua sahabat itu meneruskan impian untuk menghasilkan animasi yang bukan sekali ditolak stesen televisyen, malah berkali-kali.

“Saya dan Sinan dibesarkan oleh ibu bapa yang merupakan warga pendidik di mana ayah dan ibu Sinan merupakan pensyarah dan ayah saya pula seorang guru.

“Jadi, darah untuk mendidik anak bangsa itu mengalir dalam diri cuma menggunakan platform berbeza.

“Kami memilih untuk membuat animasi kanak-kanak dalam bentuk lagu kerana selepas menjalankan kajian, lebih 10,000 pencarian tentang lagu kanak-kanak dibuat pada ruangan carian di Internet.

“Daripada situ, kami yakin idea ini akan berjaya,” kata Hairulfaizalizuan.

Menurutnya, pada peringkat awal penubuhan syarikat itu pada 2008, lebih cenderung dalam penghasilan produk berkaitan multimedia seperti montaj tiga dimensi dan perisian pembelajaran elektronik.

Dalam pada itu, menurut Sinan pula, sebelum mengambil keputusan untuk serius dalam karier itu, dia pernah melalui pengalaman pahit apabila keretanya nyaris ditarik.

Malah, setiap kali mendapat bayaran daripada klien, dia terpaksa mengagihkan bayaran gaji kepada kakitangan terlebih dahulu sehingga pada satu saat semua kakitangannya terpaksa diberhentikan.

Paling memeritkan apabila video animasi Didi & Friends tidak boleh diterima stesen televisyen kerana dianggap tidak mampu mendapat tontonan tinggi selain kurang permintaan.

“Tidak mudah menghasilkan animasi, tambahan pula kami mengetengahkan idea berbeza, animasi berbentuk nyanyian, malah durasi animasi Didi & Friends sekitar dua minit sahaja menyebabkan ia lagi sukar untuk diangkat ke televisyen, jelasnya.

Menyedari terlalu banyak permintaan dunia animasi hiburan berunsur agama Islam, DD Animation tampil dengan buah tangan baharu pada tahun ini apabila memperkenal watak baharu iaitu, Omar & Hana.

Didi & Friends yang sebelum ini mengangkat haiwan sebagai watak utama, kini memilih watak manusia dalam usaha menyebarkan dakwah secara mudah dan santai, namun masih menepati kehendak syariah.

Ujar Hairulfaizalizuan, bagi mendapatkan skrip dan kandungan bahan yang menepati, DD Animation mengadakan kerjasama bersama pengasas Genius Aulad, Zaliza Alias; Ustaz Nushi Mahfodz dan Ustaz Don Daniyal Biyajid.

“Kami tidak boleh mengekalkan watak Didi & Friends kerana itu adalah watak haiwan dan tidak sesuai jika dipersembah dengan bentuk menyampaikan doa atau ayat-ayat al-Quran.

“Justeru, kami menggunakan watak manusia yang mewakili golongan kanak-kanak dan individu yang berada di sekeliling mereka.

“Malah, semua lagu kanak-kanak juga dinyanyikan oleh kanak-kanak bagi memberi kesan, mood dan perasaan yang betul pada lagu yang dipersembah agar mendapat hasil yang tepat dengan karakter,” jelasnya yang memaklumkan antara karakter lain ialah Mama, Papa, Ustaz Musa dan Cikgu Laila.

Tambahnya, DD Animation, turut merancang satu konsert Didi & Friends secara digital yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada Mac tahun depan.