Menerusi konsert The MPO With Jamal Abdillah yang akan diadakan pada 28 Mac (8.30 malam) dan 29 Mac (3 petang) ini, ia sudah cukup menjadi bukti penambahan kredit dalam portfolio Jamal sebagai penyanyi sejak 30 tahun lalu.

Diiringi Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO), konsert itu merupakan penampilan solo pertama penyanyi berkenaan yang terkenal dengan gelaran Raja Pop Melayu.

Pembabitan bersama MPO sudah tentu meletakkan Jamal Abdillah sebaris dengan nama besar lain sebelum ini yang sudahpun membuat persembahan di dewan sama seperti Tan Sri SM Salim, Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid dan Datuk M. Nasir.

Menurut Jamal, konsert berkenaan merupakan satu peluang dan penghargaan besar buat dirinya sepanjang bergelar anak seni.

“Konsert ini sangat penting. Sudah lama saya menanam impian untuk sampai ke DFP. Sekarang adalah masanya.

“Bagi saya, inilah konsert terbesar yang pernah saya ada dan sudah pasti menjadi mercu tanda serta pelengkap dalam kerjaya saya,” katanya.

Jelas Jamal, mengadakan persembahan di DFP dan berkolaborasi dengan orkestra bukanlah sesuatu yang mudah.

“Jemputan daripada MPO sudah saya terima sejak tahun lalu lagi. Saya akan pastikan yang terbaik dan kelainan untuk peminat saya sendiri.

“Dengan perbincangan yang sudah dilakukan, saya juga tidak sabar untuk beraksi dalam konsert selama dua jam itu,” ujarnya.

Konsert ini juga akan terus menyaksikan keunggulan MPO yang melangkau pelbagai genre muzik daripada muzik klasikal Barat ke runut bunyi filem, irama tradisional, pop, jazz dan kontemporari.

Bakal mencecah ulang tahun DFP-MPO yang ke-17, kolaborasi terbaru ini bakal membawa penonton menyusuri perjalanan seni Jamal, sedari awal penglibatan di Teluk Intan, Perak hingga berdiri teguh sebagai salah seorang artis tersohor negara.

Dengan kejayaan memenangi Bintang RTM pada 1979 dan penerbitan album seperti Mati Hidup Semula, Sepi Seorang Perindu, Seniman Menangis, Jamal, Aku Penghibur, Samrah dan Tak Hilang Cinta, kolaborasi antara Jamal Abdillah dan MPO dilihat sebagai satu simbolik kepada penyatuan muzik tanah air untuk ke peringkat antarabangsa.

Paling mengujakan, Jamal memilih untuk menyanyikan lagu yang tidak pernah diperdengarkan dalam persembahan pentas seperti Bicara Cinta dan Hatiku Luka Kembali.

Para penonton juga bakal dihiburkan dengan interpretasi simfoni daripada MPO untuk lagu-lagu popularnya seperti Kekasih Awal Dan Akhir, Penghujung Rindu, Derita Cinta, Samrah Mentari, Keluhan Perantau, Azura dan medley lagu P. Ramlee seperti Putus Sudah Kasih Sayang, Hujan Di Tengah Hari serta Tunggu Sekejap.

Persembahan itu bakal dipimpin oleh konduktor residen Ciaran McAuley.

Bagi mereka yang ingin menyaksikan konsert penyanyi ini boleh menghubungi talian 03-20517007 atau melayari www.mpo.com.my. Tiket dijual dari RM180 hingga RM400.