Demi Lovato tidak menghampakan

KUALA LUMPUR, 04 MEI 2015 - Persembahan oleh penyanyi antarabangsa, 2
Persembahan oleh penyanyi antarabangsa, Demi Lovato pada Konsert Demi World Tour 2015 di KL Life Centre.

PADA awalnya, ramai yang membuat tanggapan bahawa tidak akan ramai yang sudi hadir menonton konsert jelajah Demi Lovato yang diadakan di KL Live di ibu kota baru-baru ini.

Maklumlah, sehari sebelum itu, Kuala Lumpur dimeriahkan dengan fenomena Back Street Boys (BSB), konsert yang ditunggu-tunggu peminat zaman kegemilangan mereka.

Ternyata, Demetria Devonne Lovato juga punya taring tersendiri apabila menyaksikan lebih 2000 peminat berkumpul dan bersatu di ruang legar KL Live untuk memberi sokongan kepada penyanyi kelahiran Albuquerque, New Mexico ini.

Boleh dikatakan sepanjang satu jam setengah menjalin keintiman dengan muzik dan lagu, ini adalah antara sebuah konsert yang paling lancar dan tidak banyak hal.

Selain cukup menghiburkan, konsert ini turut mencuri perhatian menerusi sistem bunyi dan susunan persembahan yang teratur dan berada pada tahap terbaik.

Nampaknya Demi dan pasukannya begitu menjaga bab yang satu ini demi memastikan peminat tidak pulang hampa.

Really Don’t Care menjadi lagu pilihan pertama untuk Demi membuka ‘gelanggang’ persembahan. Tidak berlebihan, cukup dengan persalinan kasual berwarna hitam, penyanyi berusia 23 tahun ini kemudiannya mara membawakan lagu The Middle, Fire Starter, Remember December, Heart Attack, My Love Is Like A Star, Don’t Forget, Two Pieces, Get Back, Got Dynamite dan Nightingale.

Memancing perhatian penonton menerusi kekuatan vokalnya, Demi tahu bahawa peminat masih belum puas dengan persembahan yang masih berbaki banyak masa lagi.

Meneruskan slot dengan lagu Warrior, Demi sempat berbicara dari hati ke hati dengan peminat tentang lagu itu yang ditujukan khas buat semua.

Menurut Demi, lagu tersebut adalah yang paling digemari lantaran memberi inspirasi kepada dirinya untuk terus menikmati kehidupan.

Berharap lagu itu juga dapat menjadi inspirasi kepada peminat, Demi memberi kata-kata perangsang buat seisi dewan yang larut dalam emosi yang disampaikannya pada malam itu.

Tidak cuma itu, Demi juga menambah kehangatan malam tersebut dengan lagu runut bunyi filem animasi popular, Frozen, Let It Go yang menyaksikan peminat turut sama menyanyi selepas tampil relaks dengan lagu Nightingale.

Tidak membuang masa, bekas kekasih Joe Jonas ini meneruskan persembahannya dengan lagu Skyscraper dan Give Your Heart a Break sebelum mengakhiri tirai persembahannya dengan lagu Neon Lights.

Merupakan kali kedua Demi ke negara ini, dia yang dalam rangka konsert jelajah dunianya selepas ini akan berada di Citifield, New York, Amerika Syarikat (AS) pada 6 Jun.

Boleh disifatkan sebagai sebuah konsert yang tidak menghampakan, Demi membuktikan kepada semua bahawa konsert jelajah kali ini dapat memperlihatkan sisi matangnya sebagai seorang penghibur yang berdisiplin dan serius dalam kerjaya.

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati