“Kami sebagai penyanyi sudah semestinya teringin membuat persembahan di mana-mana tempat yang sesuai demi peminat dengan membawakan himpunan lagu-lagu sendiri.

“Tapi memandangkan himpunan lagu kami kurang lima, jadi perkara itu sedikit terbatas untuk mengotakan impian tersebut.

“Takkan kami kena nyanyi lagu orang lain pula kan? Kami perlu bersabar untuk buat persembahan dan tidak boleh terburu-buru. Sebab ia melibatkan banyak benda,”kata Hael lagi.

Azhael kini semakin selesa untuk mengeluarkan single satu per satu berbanding menghasilkan album penuh sekaligus kerana mengambil pusing mengenai pasaran industri.

“Kami belum ke arah nak buat album penuh sebab lebih selesa dengan cara begini iaitu keluarkan single terlebih dahulu.

“Biarpun perlahan, tetapi hasilnya mampu memuaskan hati pendengar,” akhirinya.

Moto Azhael juga tidak mahu bergerak solo kerana sudah mampu mengekalkan harmoni dalam lagu dan tidak pernah sesekali terfikir ke arah itu.

Seperti kebanyakan penyanyi lain yang lagu mereka lebih popular berbanding penyanyi itu sendiri, fenomena itu juga terjadi kepada Azhael.

Pun begitu, Azhael bersikap positif dengan perkara tersebut kerana menganggap berada dalam industri muzik sebagai roda hidup.

“Benda ini selagi tak mendatangkan masalah, kami berdua okey sahaja. Lagu lebih dikenali daripada penyanyi, itu perkara biasa dan tak boleh nak dielakkan.

“Tak hanya lagu kami juga begitu, banyak lagi lagu lain lebih popular berbanding penyanyi itu sendiri. Jadi nak kata kami terpinggir itu, tak ada langsung sebenarnya.

“Rasa dipinggirkan dan sebagainya memang kami tak rasai sebab hari-hari bekerja. Malah, industri muzik ini ibarat roda. Kita tak selalu akan berada di atas sepanjang masa.

“Kadang-kadang kita akan berada di bawah. Apa yang pasti, kami berdua sentiasa mencari produk dan idea baharu demi kekal relevan,” kata Hael.

Sementelahan itu, kebanyakan persembahan yang melibatkan mereka juga tidak banyak mendapat liputan media justeru itu mereka kurang dikenali.

“Orang mungkin tak nampak penyanyi sebab jarang muncul di kaca televisyen. Lagu pula hanya diputarkan di radio.

“Penyanyi dan pelakon ini berbeza sebab pelakon selalu muncul di filem atau drama. Sebab itu mereka cepat terkenal. Tapi jujurnya, kami lebih selesa begini dan laman sosial membuatkan kami lebih dekat dengan peminat,” jelas Azhar.