Sebagai hero dalam filem yang merupakan sekuel daripada Habibie & Ainun, sudah pastilah Reza mahu memberi komitmen yang terbaik buat pihak produksi.

Bagaimanapun lelaki berusia 29 tahun itu terpaksa melupakan hasratnya itu kerana keadaan kesihatan yang tidak memberansangkan.

“Kalau kesihatan kita tidak mengizinkan, sudah pastilah kita tidak mampu untuk melakukan sebarang kerja. Pada mulanya, aku ingat demam ini biasa-biasa saja.

“Namun selepas beberapa ketika, aku mendapati fizikal semakin lemah. Aku tidak mampu untuk berbuat apa-apa melainkan berehat di hospital,” katanya.

Berkongsi cerita Reza memberitahu, dia menggagahkan diri untuk ke lokasi penggambaran walaupun tidak selesa dengan tubuhnya.

Ini kerana menurut anak kelahiran Bogor, Indonesia ini, dia tidak mahu ketidakhadirannya itu menjejaskan jadual penggambaran produksi yang telah ditetapkan.

Biarpun komited dengan kerjanya namun Reza akhirnya mengalah apabila suhu badannya naik sehingga menjejaskan tindak tanduk dan pertuturannya.

“Sebenarnya tempat yang paling aku tidak suka adalah hospital. Suasana dan persekitaran di situ membuatkan aku tidak selesa.

“Tapi nak buat macam mana, akhirnya tempat ini juga yang menjadi lokasi sementara untuk memastikan kesihatan aku benar-benar pulih.

“Dalam tempoh rawatan ini, ingatan aku tetap kepada kerja. Kasihan dengan pihak produksi kerana terpaksa merombak semula jadual penggambaran gara-gara aku,” katanya kesal.

Reza terkenal dengan dedikasi kerjanya yang tinggi sejak menceburi bidang lakonan sembilan tahun lalu. Setakat ini, Reza sudah membintangi lebih 33 judul filem.

Lebih selesa berada di layar perak berbanding kaca televisyen, Reza juga menyifatkan kerjaya lakonannya itu umpama nafas dalam kehidupan.

Lantaran itu, Reza sentiasa memastikan lakonannya memberi impak kerana dia sentiasa menyasarkan kualiti bintang filem yang sebenar.

“Aku memastikan masa yang terluang diisi dengan menonton filem antarabangsa. Banyak karektor yang boleh dikaji dan dijadikan inspirasi.

“Paling penting, dengan menonton filem itu akan membuatkan aku berpeluang melihat perspektif kehidupan orang lain,” ujarnya.