Bertanyakan tentang hal tersebut kepada ibu beranak satu ini, Erra Fazira tidak menafikan yang dia masih aktif menyanyi namun tumpuannya lebih kepada bidang lakonan.

“Pada awalnya saya ingat mereka menjemput saya sebagai juri. Bila sudah sampai di sana, tak sangka pula perlu menyanyi secara langsung di kaca televisyen.

“Debarannya ketika itu lain macam. Saya sendiri tak selalu menyanyi dan pastinya perkara tersebut benar-benar menggetarkan jantung saya. Tapi Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik,” kata Erra Fazira.

Yang paling ditakuti berada di pentas nyanyian jika dia tidak mampu memberikan persembahan yang baik.

Berbeza dengan lakonan yang boleh diulang semula, menyanyi memerlukan konsentrasi yang tinggi dan seboleh-bolehnya tidak boleh melakukan kesilapan.

Apatah lagi melibatkan dirinya yang sudah berpengalaman dalam bidang seni, pastinya perkara-perkara melibatkan kesilapan di atas pentas itu sedaya upaya cuba dielak.

Mengakui debaran itu masih diperlukan oleh orang lama seperti dirinya, perkara tersebut juga sebenarnya membuatkan dia sentiasa bersedia dan tidak melakukan pekerjaan sambil lewa sahaja.

“Ramai yang bertanya mengapa saya tidak merakamkan lagu baharu? Kenapa hanya menyanyi lagu lama. Sebenarnya perkara tersebut ada difikirkan saya sendiri perlu tahu hala tuju lagu baharu itu.

“Dahulu ada syarikat rakaman yang menguruskan kegiaran dalam nyanyian. Daripada proses rakaman sehingga promosi di bawah tanggung jawab mereka. Tapi kini tentunya saya perlu buat sendiri. Kalau sudah keluarkan modal besar tentu saya mahu rancangan itu berjaya.

“Lagi satu, nak mencari lagu yang sesuai bukan perkara mudah. Peredaran muzik sering berubah dan saya perlu sedar perkara berkenaan.

"Saya pun tak mahu syok sendiri nanti,” katanya tertawa.

KERJASAMA

ERRA FAZIRA juga sebenarnya sudah memperlahankan kegiatan lakonan dan lebih menumpukan kepada bidang lain termasuk menjadi juri kepada sebuah program televisyen.

Tidak berniat untuk meninggalkan bidang lakonan, tegas artis ini, dia sudah mempunyai beberapa perancangan lain termasuk bakal terlibat dalam pementasan sebuah teater yang akan dipentaskan di Istana Budaya tidak lama lagi.

“Buat masa ini saya tidak boleh mendedahkan butiran teater berkenaan.

"Cuma saya sudah bersetuju dan mengosongkan jadual untuk projek besar berkenaan.

“Walaupun tak rancak berlakon tapi rezeki saya dalam bidang lain tetap ada.

"Tak ada yang perlu dikejarkan lagi, cukuplah saya melakukan yang termampu,” katanya merendah diri.

Erra Fazira juga ketika ini sedang terlibat dalam kempen Bikers Unite For Charity dengan Awie.

Menariknya, projek ini merupakan gabungan 35 kelab motosikal seluruh negara bagi mencari dana untuk disalurkan kepada pihak yang kurang bernasib baik.

“Kalau nak tahu kebanyakan kelab motosikal ada banyak ‘fahaman’ mengikut jenis motosikal masing-masing.

"Tapi saya berbangga untuk terlibat sama dan sama-sama beramal.

“Banyak perancangan yang telah diatur oleh mereka termasuklah memberikan bantuan kepada yang memerlukan.

"Selain anak yatim, mungkin akan ada bantuan kepada keluarga yang kurang berkemampuan, sekolah tahfiz dan sebagainya.

“Menariknya projek ini juga akan dilakukan secara berterusan dan bukannya bermusim,” katanya yang turut dilantik sebagai duta untuk program Bikers Unite For Charity.