Mereka bertiga percaya dengan persembahan bertenaga menerusi genre hip hop yang dipertaruhkan, De Fam bakal merealisasikan impian untuk dikenali satu hari nanti.

Menerusi pengalaman bertahun-tahun dalam dunia tarian, De Fam yakin mampu memukau mata banyak pihak dengan persembahan di pentas.

Biarpun perjalanan untuk mengukuhkan jenama De Fam akan memakan masa namun perkara itu bukan masalah buat tiga sahabat baik ini.

Dengan iltizam dan semangat yang kuat ditambah dengan ‘kuasa’ rangkaian syarikat rakaman yang dinaungi, Tune Studios, De Fam percaya mereka mampu mengembangkan sayap ke luar negara satu hari nanti.

Sebagai permulaan, mereka meluahkan rasa teruja apabila single berjudul #Supergirls semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat tempatan.

Lebih membanggakan apabila lagu yang dimuat naik dalam laman perkongsian video YouTube sejak tiga bulan lalu itu sudah mencecah lebih 1 juta tontonan.

Menerusi pengalaman bertahun-tahun dalam dunia tarian, De Fam yakin mampu memukau mata banyak pihak dengan persembahan di pentas.

Biarpun perjalanan untuk mengukuhkan jenama De Fam akan memakan masa namun perkara itu bukan masalah buat tiga sahabat baik ini.

Tarian pertaruhan 
kami - Azira

Sebagai kumpulan wanita yang baharu berjinak-jinak dalam industri hiburan, De Fam bekerja keras untuk membuka mata semua pihak tentang keistimewaan mereka.

Biarpun pada waktu ini, tiada lagi kumpulan wanita yang mengetengahkan genre hip hop namun kata Azira, itu tidak bermakna mereka boleh bersenang lenang.

Sebaliknya Azira memberitahu, mereka perlu memantapkan persembahan agar setaraf dengan kumpulan wanita di peringkat antarabangsa.

“Kami menjadikan Destiny’s Child dan TLC sebagai inspirasi dalam usaha untuk memastikan persembahan sentiasa ‘hidup’ dan bertenaga.

“Mereka mempunyai kekuatan tersendiri dan boleh memaku peminat dengan cara penampilan tersendiri.

“Tapi jangan sangka yang kami akan meniru bulat-bulat tarian daripada kumpulan Barat itu. Kami masih tahu batasan dan sensitif budaya masyarakat Melayu.

“Kena jaga bab itu sebab kami juga tidak selesa jika mempersembahkan tarian yang tidak sesuai. Begitu juga dengan soal pemakaian,” ujarnya yang menjadi penari sejak di bangku sekolah lagi.

Berkongsi cerita, menurut Azira, dia juga tidak pernah menyangka menukar profesion daripada penari profesional kepada bidang nyanyian.

Ini kerana selama ini mereka selesa mengiringi penyanyi yang membuat persembahan di pentas.

Kata Azira, keputusan menukar profesion itu dibuat selepas menyedari bahawa mereka juga minat dengan dunia nyanyian.

Kerap berkaraoke selepas sesi latihan di studio, siapa sangka aktiviti ‘suka-suka’ itu kemudiannya mencetuskan idea kepada mereka untuk sama-sama menubuhkan kumpulan De Fam.

De Fam mewakili nama ketiga-tiga ahli kumpulan iaitu Sophia, Azira dan Manggis.

“Saya dan Sophia memang berkawan baik sejak di bangku sekolah lagi manakala Manggis hadir selepas menyertai studio tempat kami menjalani latihan menari,” ujarnya lagi.

Sophia si rapper

TIDAK pernah mengetahui kemampuan menyanyi rap, Sophia memberitahu, dia hanya menyedari bakatnya itu ketika sama-sama berkaraoke dengan dua rakan baiknya itu.

Mengakui seronok dapat menyanyikan lagu-lagu berentak begitu sekaligus menjadikan dia berperanan sebagai rapper dalam De Fam.

“Setiap kali menyanyi rap, saya mendapat reaksi yang positif daripada kawan-kawan. Secara tidak langsung keadaan itu menambahkan keyakinan saya.

“Memang pada mulanya agak sukar untuk rap tapi selepas berlatih berulang-ulang, nyata perkara yang membebankan itu menjadi mudah,” ujarnya.

Mengimbas pembabitan awal De Fam dalam bidang nyanyian, kata Sophia, semuanya bermula apabila mereka bergandingan dengan penyanyi Caprice mendendangkan lagu Xde Hal Bro awal tahun lepas yang dimuat naik di YouTube.

Nyanyian lagu Black Widow nyanyian asal Iggy Azalea yang dimuat naik oleh De Fam juga mendapat sambutan memberangsangkan sekaligus mencuri perhatian peminat di laman sosial.

Mengakui mempersembahkan lagu tersebut secara miming bagaimanapun mereka membuktikan kemampuan vokal sewaktu menyanyikan lagu I’m Not The Only One, dendangan asal Sam Smith tidak lama kemudian.

Lebih memeranjatkan apabila menerusi saluran yang sama, bakat De Fam kemudiannya dikesan oleh pihak Tune Studios yang kini diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Adib Khalid.

“Kami percaya dengan kemampuan rangkaian dalam Tune Group untuk membawa De Fam lebih jauh.

“Kami mahu melihat perjalanan De Fam berkembang dalam tempoh lima tahun ini,” ujar Sophia sambil memberitahu De Fam bakal tampil dengan single kedua selewat-lewatnya hujung tahun ini.

BERBANDING Azira dan Sophia, Manggis merupakan satu-satunya anggota De Fam yang sudah melangkah ke alam rumah tangga.

Manggis berkahwin dengan Syazmin Firdaus Aminuddin, 27, pada 18 Oktober 2014.

Bersyukur kerana Azira dan Sophia merestui keputusannya untuk menamatkan zaman gadis, kata Manggis, dia juga bertuah kerana mereka memahami statusnya sebagai isteri.

“Sebenarnya saya bertuah kerana mempunyai kawan baik yang sanggup bersusah senang bersama-sama seperti mereka.

“Lebih seronok apabila mereka turut membantu menjayakan majlis perkahwinan saya. Azira bertindak sebagai jurumekap pada hari istimewa itu.

“Dia baru balik dari London mengambil kursus kecantikan dan mekap. Saya memang bertuah sebab mendapat sentuhan daripada kawan baik sendiri,” kata Manggis mengimbas kenangan di hari bahagianya itu.

Sengaja mengusik tentang penerimaan kedua-dua rakan baiknya itu selepas dia berstatus isteri, kata Manggis, dia bertuah kerana mereka sangat memahami malah suaminya yang juga pemain bola sepak DRB-Hicom FC itu bukan sahaja saling mengenali malah turut menyokong kariernya.