Anak keempat dari lima beradik ini bersekolah di Woldingham School di Surrey, England sebelum menyambung pelajaran Sarjana Muda Seni dalam seni teater di Universiti Brown.

Semasa berada di sekolah lagi Theodora jatuh cinta dengan dunia lakonan. Ketika itu dia aktif terlibat dengan pementasan sekolah dan terus menetapkan cita-cita untuk bergelar pelakon sebenar. Malah, sebaik sahaja tamat pengajian, Theodora berpindah ke Los Angeles bagi mengejar impian bergelar pelakon Hollywood.

Kedua-dua ibu bapanya menyokong penuh hasratnya itu, malah nenek angkatnya, Ratu Elizabeth juga sentiasa menggalakkan Theodora untuk mengejar cita-cita dan terlibat dengan beberapa pementasan kecil.

Namun, perjalanan puteri kepada King Constantine II of Greece dan Anne-Marie of Denmark bukanlah semudah yang disangka walaupun mempunyai kuasa dan pengaruh.

Berdarah raja tidak semestinya ‘membuka pintu’ ke Hollywood dengan mudah. Menurutnya, dia bermula dari bawah dengan menghadiri uji bakat menggunakan nama samaran Theodora Greece dalam dunia lakonan bagi mengelak dikenali kerana latar belakangnya.

Malah ada ketika dia akan berlagak seperti rakyat Amerika Syarikat (AS) sebenar dengan slanga supaya tidak disyaki.

Selepas beberapa siri watak kecil dalam filem bebas seperti Lightkeepers, akhirnya puteri berusia 34 tahun itu berjaya mendapat watak dalam drama lipur lara terkenal, The Bold And The Beautiful pada tahun 2011.

Watak Theodora di dalam The Bold and Beautiful sebagai Alison Montgomery, pembantu watak Bill Spencer Jr. di Spencer Publications.

Sejak itu, dia mula menjadi tumpuan dan kini turut terlibat dalam beberapa buah filem seperti Little Boy dan Killer Assistant.