Mengakui yang perjalanan Pitahati penuh ranjau dan duri, bagi lima anak muda ini, tiada yang dapat membataskan mereka daripada terus berkarya dan bermain muzik selagi masih mempunyai kudrat.

Tanpa rasa malu mereka mengakui pernah mengadakan persembahan yang dihadiri oleh beberapa orang penonton sahaja sewaktu mula bertapak dalam industri sekitar 2011 lalu.

“Kekangan terbesar kami sudah pasti wang ringgit. Tidak semua persembahan dibayar dengan harga yang mahal, ada juga persembahan yang dilakukan secara percuma sahaja.

“Paling diingati apabila persembahan kami pernah dihadiri oleh beberapa orang sahaja. Tapi mujur semua ahli tak pernah patah semangat dan tahu ini adalah antara pengalaman yang perlu dihadapi oleh pemuzik seperti kami.

“Tapi kami bersyukur daripada 10 penonton akan meningkat angkanya pada persembahan berikut. Peningkatan peminat itu yang membuatkan kami yakin muzik yang dibawa oleh Pitahati akan diterima tetapi memerlukan masa,” kata Ilham selaku vokalis kumpulan tersebut.

Selain Ilham, Pitahati turut dianggotai Masrin sebagai pemain bass, Yasin (dram), Hidayat dan Zahar (gitar).

Selain faktor kewangan, mereka juga sependapat yang halangan adalah untuk mencari dan mengumpul peminat.

Perkara itu yang menjadi faktor terbesar memandangkan kebanyakan lagu Pitahati tidak diputarkan di kebanyakan stesen radio tempatan.

Jika ada yang memutar sekalipun hanyalah melibatkan stesen yang bukan komersial dan tidak prejudis terhadap karya seperti yang mereka mainkan sejak album pertama.

“Dalam perkara begini, kami tidak ada masalah memandangkan muzik adalah pilihan masing-masing. Kemungkinan besar kebanyakan peminat suka dengan lagu aliran terkini yang lebih santai dah mudah didengar.

“Tentang selera dan pilihan mereka bukan masalah yang besar. Kami sedar Pitahati tidak memberi muzik yang disukai kebanyakan orang tetapi pada masa yang sama kami juga mahu khalayak menerima kerjay-karya yang kami berikan,” tambah Masri pula.

Semangat

MESKI merasai keperitan untuk menempatkan nama Pitahati dalam kalangan peminat, perkara itu tidak pula mematahkan semangat mereka untuk terus menghasilkan lagu baharu yang termuat dalam album ketiga berjudul Selamat Datang Ke Panggung Suara.

Terdahulu, Pitahati pernah menghasilkan album Bintang Biru Kristal Salju dan Fonetik Anak Candal.

Album ketiga yang terhasil tatkala berpeluang menyiapkan runut bunyi untuk filem Terbaik Dari Langit beberapa tahun lalu pastinya dijadikan pentas eksperimen dan medium untuk mereka meluahkan isi hati melalui muzik.

“Hampir sebulan juga kami mengambil masa untuk merakamkan album ini. Terpaksa memerah keringat dan mengambil masa yang lama untuk mendapatkan bunyi dan melodi yang betul merupakan antara kenangan yang akan diingati.

“Tidak semua bersetuju dengan bunyi yang terhasil sewaktu rakaman. Kebiasaannya kami akan ulang kembali proses rakaman untuk mendapatkan bunyi yang benar-benar memenuhi selera kelima-lima ahli,” jelas Hidayat.

Sebanyak 18 buah lagu dimuatkan dalam album ini termasuk Buka Panggung, Kronchong Muda Mudi, Balada Aku Engkau, Kedai Kopi 50an?, Neuron Khayal, Koboi Rabak dan Seloka Pak Toyu.

Menariknya album ini dirakam dalam studio bukan konvensional yang memerlukan ketelitian kerana tidak kedap bunyi.

Pastinya proses yang dilalui juga lebih mencabar apabila terpaksa memberhentikan rakaman disebabkan perkara-perkara seperti hujan dan sebagainya.

Bakal mengadakan persembahan di Muzium Negara, Kuala Lumpur pada 7 Mei bersempena pelancaran album Selamat Datang Ke Panggung Suara, Pitahati pastinya melakar melakar satu lagi sejarah baharu buat mereka secara peribadi kerana memilih destinasi yang bersejarah dan simbolik dengan perjuangan seni mereka.