Cuma satu perkara sahaja yang mencacatkan nama baik Mira. Dia sering dikaitkan dengan kontroversi percintaan dengan beberapa artis lelaki.

Biarpun kelemahan itu tidak besar tetapi cerita tersebut tidak semena-mena mencalarkan nama baik Mira dan prestasi yang dipertahankan pelakon yang dikenali menerusi drama Cinta Si Wedding Planner selama ini.

“Saya langsung tidak berniat untuk mencipta kontroversi pada saat awal melangkah masuk dalam industri hiburan ini. Kontroversi bukan sandaran utama untuk terus bertahan lama dalam industri hiburan ini.

“Tidak sangka pula tiba-tiba nama saya cenderung ke arah kontroversi cinta dengan beberapa artis lelaki. Itu di luar kemampuan, saya pun tak boleh buat apa-apa.

“Sebab kontroversi ini bukan datangnya daripada saya. Pihak ketiga yang mencipta dan mengaitkan saya secara tidak langsung,” kata Mira membuka bicara kontroversi yang satu itu.

Sebelum ini, Mira dituduh sebagai individu yang bertanggungjawab memutuskan hubungan cinta pasangan pelakon Syarul Ridzwan dan Mia Ahmad. Mira juga dikatakan pernah bercinta dengan pelakon drama Kau, Aku Kita itu dan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.

Mira juga pernah didakwa sebagai pihak ketiga yang memutuskan hubungan cinta Fattah Amin dengan Sherry Ibrahim.

Terkini, sudah hampir setahun Mira dikaitkan bercinta dengan Zizan Razak. Mereka sama-sama terbabit dengan penggambaran telefilem Jula Juli Bintang Cinta dan Jula Juli Bintang Putus Cinta.

Mira dan Zizan dilihat kerap memuat-naik gambar berdua di laman sosial. Ini justeru menghadirkan desakan segelintir peminat yang mahukan mereka berdua bercinta secara realiti.

Keadaan ini juga menyebabkan nama Mira terheret sama ke kancah kontroversi sementelah Zizan tidak mempunyai sebarang komitmen cinta dengan wanita lain. Satu persatu, bagai tiada hentinya.

Bercakap hal terkini, kata Mira dia tidak punya apa-apa urusan yang serius dengan Zizan.

“Maaf, cinta saya pada waktu ini bukan pada Zizan, bukan juga pada lelaki lain. Tak mungkin saya bercinta pada waktu sebegini kerana saya lebih selesa solo sebegini.

“Lagipun saya tidak mempunyai waktu yang banyak untuk bercinta. Masa saya banyak dihabiskan dengan bekerja semata-mata. Selebihnya bersama keluarga tersayang.

“Kalau pun ada pihak yang mahukan saya bercinta dengan Zizan, perkara itu tidak mungkin berlaku. Saya selesa berkawan saja, tidak lebih daripada itu,” kata Mira berterus terang.

Amaran orang tua

DEK kontroversi cintanya yang tidak berkesudahan dengan Zizan, situasi itu turut merisaukan ibu bapa, Badioezaman Abdul Khalik, 52, dan Faizatul Akmar Hisan, 50, yang turut menerima tempias atas apa yang berlaku.

Sementelah masing-masing merupakan kakitangan kerajaan, kontroversi cinta Mira-Zizan itu juga menarik perhatian rakan sekerja di pejabat mereka untuk menanyakan kesahihan cerita berkenaan kepada orang tuanya.

Keadaan yang merimaskan pihak kedua ibu bapanya itu juga menyebabkan Mira diberi amaran untuk tidak lagi membangkitkan sebarang usaha ke arah mengiyakan gosip berkenaan di laman sosial.

“Sebenarnya gosip ini tersebar apabila peminat melihat gambar kami berdua di Instagram dan kemudiannya menjadi buah mulut orang di luar.

“Jadi untuk meredakan gosip ini, saya kena kawal setiap gambar yang membabitkan kami berdua selepas apa yang berlaku. Bukannya apa, saya tak nak orang tua saya terkena tempias lagi.

“Saya kenalah jaga nama baik mereka. Tak boleh nak buat sesuka hati, tambahan pula profesion saya yang sentiasa diperhatikan orang serba serbi ini, memang kena lebih berhati-hati.

“Paling penting, saya tak nak orang tua bersedih atas kekhilafan saya sendiri. Jadi memang saya tak boleh main-main dalam hal menjaga nama baik orang tua ini,” jelasnya.

Atas nama menjaga maruah baik keluarga juga, Mira juga dinasihatkan untuk mengurangkan kontroversi dan lebih fokus kepada urusan kerja.

Atau tidak, Mira perlu menceburi satu bidang pekerjaan yang berlainan dengan dunia seni kerana profesionnya itu membabitkan air muka keluarga di mata masyarakat.

“Kalau ibu bapa dah buka mulut meminta saya untuk mengurangkan kontroversi cinta ini, faham-faham sajalah. Takkanlah saya tak boleh bagi kerjasama.

“Hati mereka yang paling penting untuk saya jaga pada waktu ini. Lagipun hanya saya seorang saja anak mereka yang terlibat dalam industri seni ini. Nak tak nak, saya kena menjaga nama mereka. Mendengar nasihat diberikan dan menghormati segala keputusan yang dibuat oleh mereka,” ujarnya penuh makna.

Tentang Aidilfitri

1 Tema warna baju untuk satu keluarga pada tahun ini adalah hijau emerald. Menjadi tradisi untuk berpakaian sedondon setiap kali beraya di kampungnya yang terletak di Ipoh dan Tronoh, Perak.

2 Kuih kegemaran adalah tat nanas dan makmur sewaktu beraya di kampung. Kalau tak ada, maka tak lengkap Aidilfitri kali ini.

3 Dendeng rendang hitam menjadi menu masakan utama yang mesti ada di kampung. Begitu juga dengan lemang jagung yang menjadi hidangan di atas meja.

4 Walaupun sudah bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, dia masih menerima duit raya daripada datuk sebelah bapa, Abdul Khalik Hassan. Menariknya, jumlah wang yang diperoleh sentiasa berganda saban tahun. Lelaki itu juga peminat setia cucunya apabila mengumpul setiap artikel cerita Mira di surat khabar dan majalah.

5 Suasana berhari raya di kampung sentiasa dinanti-nantikan kerana pada waktu itu dia dapat berjumpa dengan sanak saudara yang sudah lama tidak bersua.

Cuti raya dua minggu

MENGALIH topik berhubung sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut umat Islam dalam tempoh seminggu lagi, Mira mengakui dia amat teruja untuk pulang ke kampung bertemu kedua-dua belah datuk dan neneknya di Perak.

Bakal pulang ke kampung pada Rabu ini, Mira juga akan menghabiskan minggu terakhir Ramadan di kampungnya yang terletak di Ipoh dan Tronoh secara adil dan saksama.

“Tahun lepas saya tidak berpeluang untuk beraya sakan memandangkan pada waktu itu terikat dengan jadual penggambaran drama di Terengganu. Cuti raya pula pendek, itu yang buat orang tua saya berjauh hati sebenarnya.

“Jadi untuk menggantikan rasa bersalah itu, saya buat keputusan untuk mengosongkan jadual kerja saya pada minggu terakhir Ramadan untuk pulang ke kampung.

“Saya kena tunaikan janji nak menghabiskan masa bersama datuk dan nenek di kedua-dua belah keluarga ibu dan bapa. Tak salah kalau saya menghabiskan masa bersama mereka bukan,” katanya.

Soalan panas buat Mira

Mahal sangat ke harga cinta Mira sampai susah nak jatuh cinta?

Bukan soal harga, tapi soal menghormati kesucian cinta itu sendiri. Saya bukannya wanita yang mudah jatuh cinta dan lepaskan cinta itu apabila sudah bosan.

Ada sasaran umur nak berumah tangga ke?

Tak ada. Belum lagi buat masa sekarang ini.

Kalau diberi pilihan, Mira nak calon suami dalam kalangan artis ke?

Kalau boleh nak dielakkan. Jangan salah faham ye. Dalam hal ini, orang tua saya pun bersependapat. Mereka juga ada nasihatkan untuk mencari calon suami dalam kalangan orang biasa. Bukannya artis. Takut tak boleh ‘masuk’. Nanti susah pula nak berkomunikasi.