Farhan, pada Majlis Pelancaran Baju Raya rekaan Fitri Zainal di Talent Lounge/ ATHIRAH (MINGGUAN MALAYSIA)

Sudah lama berdiam dalam industri dan bergerak sebagai penyanyi, perkembangan kerjaya seni Farhan dalam muzik arus perdana seakan tidak begitu berkembang.

Tetapi, kalau di belakang tabir, Farhan ligat pula menerima pelbagai undangan nyanyian terutama untuk majlis tertutup.

Tak cuma itu, Farhan juga ligat menerima undangan untuk membuat persembahan di istana-istana sehinggakan ramai orang beranggapan, barangkali Farhan tidak lagi pandang jemputan berbajet rendah apalagi untuk sibuk membuat album atau lagu baru.

Pendek kata, tak perlu buat album pun Farhan boleh hidup. Maklumlah, undangan nyanyian untuk golongan aristokrat dan elit bukan main lebat.

Cuma, Pancaindera nak tanyalah, betulkah Farhan memang dah tak ambil undangan-undangan lain kecuali untuk golongan yang disebut tadi?

Berpeluang bertemu mata dengan Farhan baru-baru ini, wanita yang sudah tujuh bulan menjadi isteri ini berkongsi penjelasan mengenai isu ini.

Ligat buat persembahan sana sini, tetapi semuanya cuma undangan untuk kerabat-kerabat dan elit sahaja. Betulkah ni Farhan?

Siapa cakap? Memang betul saya kerap menerima undangan nyanyian di istana dan majlis-majlis tertutup untuk golongan elit, tetapi saya tidak pula kata yang saya cuma ambil undangan daripada mereka sahaja.

Kalau tidak, masakan pula orang nak bercakap. Atau Farhan sendiri ada penjelasan mengenai pandangan orang yang sebegini?

Saya lihat perkara ini mungkin kerana faktor genre muzik dan lagu yang saya selalu bawa. Tak semua orang nak dengar muzik macam saya bawa. Pasarannya kecil dan cuma sesetengah orang sahaja yang suka dengan konsep lagu yang saya bawa, maklumlah, Jazz, lagu-lagu Barat 60-an, dalam konteks arus perdana, ia bukanlah sebuah genre yang mendapat permintaan ramai. Tetapi itu tidak menjadi satu masalah untuk saya sebab ia sudah menjadi kerjaya saya. Orang kata saya suka ambil undangan korporat dan jemputan istana saja, lepas tu, mereka tuduh kerana itu, saya letak harga tinggi. Selalu saya dapat pandangan yang seperti ini. Ingin saya tegaskan di sini, itu pandangan yang salah. Kita tengok pada keadaan, tempat dan bajet yang pihak tersebut sediakan. Saya pun tak kata saya ni diva sangat sampai nak letak harga tinggi. Kalau boleh bantu antara satu sama lain, apalah salahnya. Saya pun pertimbangkan keadaan pihak penganjur juga kalau dia tidak cukup bajet dan sebagainya. Pendek kata, kalau rezeki Tuhan nak bagi pada saya, apa-apa persembahan pun saya terima asalkan bersesuaian.

Farhan bimbang tak ia boleh menjejaskan periuk nasi sebagai penyanyi?

Itulah sebabnya apabila ada persepsi begini, saya rasa ia tidak betul dan saya perlu jelaskan keadaan sebenar agar tidak ada lagi yang salah faham dan melabel saya artis istana atau artis korporat sahaja. Padahal saya okey sahaja. Bagi saya, senang sahaja, kalau tak hubungi dan tak tanya saya sendiri, janganlah hadir dengan persepsi begitu. Tanyalah dulu kalau ada yang boleh kita berbincang, apa salahnya kita bincangkan.

Bimbang tak dengan persepsi sebegitu?

Saya sedar kita susah nak buang persepsi sesetengah masyarakat yang dah pandang saya dengan label yang begitu, Kadangkala saya terfikir, macam mana saya nak jelaskan pada semua orang yang saya sebenarnya tidak meletakkan harga yang melampau-lampau untuk undangan persembahan. Saya tak pernah memilih. Saya sedar, mungkin ada segelintir artis yang bila dah pernah buat persembahan di istana, maka mereka meletakkan harga yang tinggi untuk persembahan mereka. Tetapi, cukuplah untuk saya katakan bahawa saya tak begitu.

Apakah Farhan sudah tidak berminat untuk menghasilkan single atau album?

Saya sebenarnya sedang menunggu Azlan & The Typwitter. Saya ada perancangan untuk bekerjasama dengan dia untuk hasilkan lagu baharu. Tetapi saya sedang menunggu waktu dia. Saya tak pernah putus asa untuk terus hasilkan single walaupun kali terakhir single saya yang berjudul Bukan Mimpi tidak begitu menjadi kerana dianggap terlalu urban untuk pendengar kita. Mungkin untuk lagu baru akan datang, saya kena serasikan dengan permintaan pendengar yang lebih sukakan elemen pop dan santai untuk didengar. Kali ini, saya akan cuba puaskan halwa telinga pendengar arus perdana untuk lagu yang lebih sesuai dan bukan lagi cuma untuk pasaran kecil sahaja.