Pak Pong turut memperkenalkan supermodel ternama, Amber Chia sebagai penampilan khas. Menjadi percubaan kedua dalam filem berbahasa Melayu, Amber menonjolkan bakat lakonan tersendiri yang wajar diberi perhatian.

Ditemui pada majlis perasmian butik jenama fesyen dari Amerika Syarikat, CHAPS di pusat beli-belah Pavillion, Amber bercerita lanjut tentang lakonan dan Pak Pong. Katanya, dia bersyukur kerana setelah sekian lama, filem tersebut berjaya dipertontonkan kepada masyarakat.

“Filem ini berbeza dengan yang lain kerana jalan ceritanya menggabungkan elemen fantasi dan percintaan. Pada masa sama, ia disunting dengan cukup kemas. Boleh dikatakan, Pak Pong adalah antara karya berkualiti setaraf filem antarabangsa.

“Saya berterima kasih kerana diberi peluang berlakon dalam filem Melayu. Penglibatan ini telah memperbaiki penguasaan bahasa Melayu saya. Pada masa sama, saya bangga kerana berlakon dalam filem ‘Malaysia’ sebenar,” katanya yang memegang watak Bidadari Khayalan dalam filem tersebut.

Seperti ramai pelakon lain, Amber sentiasa mendambakan watak lebih mencabar. Katanya, jika diberi peluang, dia ingin melakonkan watak lasak yang membolehkannya menerokai kemampuan fizikal.

“Saya adalah peminat filem aksi dan menjadi impian satu hari nanti dapat membawakan watak antagonis yang mencabar dan lasak. Saya tidak mahu dilabelkan pelakon stereotaip yang sentiasa membawa watak yang sama,” ujarnya.

Pengalaman 19 tahun dalam dunia peragaan menjadikan Amber antara model tempatan yang cukup dihormati. Menerusi Amber Chia Academy, anak kelahiran Ipoh, Perak ini turut memberi peluang kepada bakat-bakat baharu untuk menyinar, sama sepertinya.

“Industri fesyen dan peragaan tempatan memperlihatkan perkembangan menerusi penambah baikan dari semasa ke semasa. Begitu juga dengan model-model muda yang semakin ramai.

“Dunia peragaan penuh pancaroba. Ada kala seseorang model itu berada di atas, ada masa di bawah. Namun yang penting untuk bertahan, perlu ada usaha, minat dan kerja keras secara berterusan.

“Nilai-nilai ini, saya jadikan pegangan dan turut kongsikan kepada semua model baharu, khususnya mereka yang bersama saya di Amber Chia Academy. Saya harap lebih ramai model tempatan akan berjaya dan dikenali, bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa,” katanya.