Ruang itu juga sebenarnya digunakan oleh artis sebagai satu alat untuk merapatkan hubungan dengan peminat seperti yang dilakukan beberapa artis muda ketika ini.

Berbeza pula perihalnya dengan pelakon Izara Aishah. Dia seakan-akan jarang dilihat dalam industri hingga ada yang mengatakan sudah tidak aktif dalam bidang seni.

Ada juga yang mengatakan namanya kian malap dek kerana memilih untuk muncul dalam filem sahaja dan bukan di televisyen. Seolah-olah muncul dalam drama bukan satu standard yang tinggi di mata Izara.

Mengakui perkara tersebut, jelas Izara, mungkin tumpuannya lebih kepada filem, tetapi itu bukan bermakna dia tidak aktif dalam seni yang lain.

“Sebenarnya saya aktif dan dalam filem. Faham sahajalah, apabila terbabit dengan karya filem. Proses keseluruhan agak panjang, bermula daripada membaca skrip sehinggalah karya itu muncul di pawagam. Ini mengambil masa yang lama,” jelasnya.

Tambah Izara, filem Showdown sendiri mengambil masa selama tiga tahun sebelum berada di pawagam.

Selain itu, Izara juga mengakui dia bukanlah seorang yang sangat aktif di media sosial.

Malah, kalau dilihat sekarang kebanyakan artis menggunakan media sosial sebagai salah satu cara untuk memberitahu perkembangan mereka.

Berbeza bagi Izara, dia lebih selesa untuk memuat naik gambar mahupun status yang perlu sahaja.

“Saya pun tak tahu kenapa, tetapi saya memang jarang aktif di media sosial. Apa kerjaya yang saya lakukan atau hal peribadi memang jarang dimuat naik.

“Mungkin itu juga antara faktor mengapa orang melihat saya seakan sudah sepi sedangkan sebenarnya tidak,” jelasnya.

Rindu tarian

Nama Izara cukup sinonim dalam bidang lakonan. Malah, kehadirannya dalam setiap filem yang dilakonkan pasti menjadi tumpuan bukan kerana paras yang menarik, tetapi juga kemantapan lakonannya.

Namun, bagi pelakon yang berdarah kacukan Melayu dan Pakistan ini, lakonan bukanlah minatnya yang sebenar. Saban filem yang dilakonkan Izara nampak masih belum cukup untuk memudarkan rasa rindunya pada bidang tarian yang pernah diceburi satu ketika dahulu.

“Saya memang seorang penari, tetapi dek kerana tawaran lakonan, itu membuatkan saya agak lama tidak berpeluang untuk menari.

“Sebelum ini saya banyak terlibat dengan tarian Hip Hop dan hingga sekarang, sebenarnya saya masih rindukan tarian,” katanya.

Ditanya mengenai aturan minatnya dalam dunia seni, jelas Izara, rezekinya dalam bidang seni lebih tertumpu pada lakonan berbanding tarian yang membuatkan dia terpaksa mengikut arus tawaran yang diberikan.

“Banyak tawaran dalam lakonan yang buat saya tinggalkan tarian, tetapi kalau tanya minat, memang tarian adalah keutamaan saya berbanding bidang seni yang lain,” jelasnya.

Terlibat dengan filem terbaharunya, Showdown yang banyak memaparkan aksi tarian, Izara nyata berharap tawaran sebegini tidak akan mati terus di sini.

Malah, dia menyimpan harapan untuk ditawarkan lebih banyak watak yang mampu menonjolkan kemampuan bakat tarian yang dimiliki. Sebelum ini, Izara pernah membintangi sebuah filem berjudul Sinaran yang juga filem muzikal dan tarian.

“Filem Sinaran sebelum ini ada tarian, tetapi untuk bahagian saya terlalu sedikit. Begitu juga dengan filem Showdown ini.

“Saya sebenarnya masih belum puas untuk membawakan watak seorang penari. Saya selalu berharap agar selepas ini dapatlah tawaran yang lebih banyak lagi,” ujarnya.

Bercerita mengenai wataknya dalam filem Showdown, dia tidak menghadapi sebarang kesukaran memandangkan wataknya tidak berat.

Cabaran yang dihadapinya adalah untuk menjadi seorang penari tradisional memandangkan dia tiada asas dalam jenis tarian tersebut.

“Saya sudah lama tak menari. Lepas itu membawakan watak seorang penari tradisional memang memerlukan masa untuk belajar semula.

“Hampir dua minggu saya berlatih untuk memantapkan tarian tradisional barulah boleh memulakan penggambaran,” jelasnya.

Harapan Reza Hasbi

Menjadi teraju utama dalam filem ini di samping Izara, nyata Reza Hasbi menyimpan harapan yang tinggi untuk dikenali dalam industri seni.

Reza memulakan langkahnya dalam seni menerusi pertandingan realiti lakonan Pilih Kasih dan terus memberi komitmen penuh dalam dunia seni.

Ini bukan kali pertama lakonannya dipamerkan. Dia sendiri sudah bermula sejak lima tahun yang lalu, tetapi masih belum mendapat tempat di hati peminat.

Kelibatnya dalam industri seni dilihat suram sedangkan dia memberi komitmen penuh dalam industri seni tanpa sebarang aktiviti luar.

“Fokus saya memang pada bidang seni sahaja. Jangan tanya kenapa saya tidak dikenali kerana saya sendiri tidak tahu,” katanya.

Namun bagi Reza, mungkin sikapnya yang kurang gemar bergaul membuatkan dia sukar mendapat atau dikenali pengarah lain.

“Kebiasaannya saya selesa berada di rumah sahaja kalau tidak bekerja. Majlis yang melibatkan penggiat seni pun jarang yang hadir.

“Disebabkan itu saya kurang kenalan dalam industri seni terutamanya melibatkan pengarah dan sebagainya,” jelasnya.

Menerusi filem Showdown ini, besar harapan Reza supaya bakatnya dapat dilihat dan dikenali dalam industri seni.Gambar SHIDDIEQIIN ZON