Tentunya kisah Fattah Amin dengan Fazura yang kini semakin bercambah dan mesra, ada yang tidak henti bertanya - apa cerita Lofa? Bagaimana dia menerima cerita cinta yang baharu itu, apakah dengan semudahnya?

Ya, demikianlah bahagian yang menjadi milik si cantik yang diseliputi kemewahan harta benda ini. Hidupnya penuh dengan warna-warni. Berjaya dalam bisnes dan mencapai pelbagai kejayaan manis yang begitu membanggakan, tentu sahaja sebagai manusia masih ada sisa-sisa duka yang masih melekat.

Soal cinta, tentu sahaja menjadi hal terbesar yang masih belum tiba ke penghujung. Nama Fattah Amin misalnya masih belum berjaya ‘dikikis’ habis keluar hingga ke saat ini. Ya, semua masih berkata tentang cinta yang tidak menjadi itu, mereka terkait. Ia adalah satu cerita yang diharapkan peminat dan sudah setengah tahun ia berlaku.

“Tolong, jangan sebut pasal itu lagi,” demikian, pintanya dalam tegas.

Menurut Lofa dia mahu terus memandang ke hadapan dan tidak menjadikan kisah lalu sebagai sesuatu yang membebankan diri.

“Meskipun saya sudah berkali-kali menjelaskan ia tidak ada apa-apa lagi, pun orang masih memperkatakan tentang hal tersebut. Sejujurnya saya memang sakit kepala dengan perkara itu (kisah dengan Fattah),” katanya.

Menurut Lofa, hal-hal sebegini adakalanya mengguris rasa. Malah, ia turut mengganggu ketenangan dan emosi saat membaca satu persatu kisah yang diciptakan oleh orang lain yang tidak tahu punca.

“Setiap hari ada sahaja cerita baharu yang disampaikan oleh orang luar. Ini yang berlaku dan ia semakin teruk di media sosial. Saya cukup berharap, atas semangat Ramadan, selepas ini tiada lagi kisah-kisah ‘begini’ dibangkitkan,” kata Neelofa penuh harapan.

Baginya peranan yang dimainkan oleh media sosial ketika ini begitu besar. Jika menggunakannya dengan cara positif, maka hasil yang akan diperolehnya juga baik. Tapi jika digunakan sebaliknya, maka bersedialah untuk menerima tempiasnya.

Ada masa dia boleh membuang terus perasaan ‘menyampah’ bila membaca komen negatif tersebut namun ada ketika, sebagai manusia biasa dia tidak mampu melarikan diri seterusnya mengganggu seluruh jiwanya.

“Saya tiada kuasa untuk menyekat mereka daripada terus memberikan komen negatif atau menyampaikan cerita yang tak diperlukan! Sebab itu saya hanya memilih untuk membaca atau tidak komen mereka.

“Dahulu saya ambil pendekatan untuk menjelaskan keadaan bila sesuatu isu dibangkitkan. Bila sudah diberikan penjelasan, makin banyak pula berita baharu yang muncul seolah-olah mereka sendiri yang melaluinya. Jadi saya tak kuasa lagi memberikan penerangan.

“Biarlah masa sahaja yang menjawab segalanya. Lambat laun perkara yang benar tetap akan diketahui umum. Saya sendiri lebih tenang bila tak lagi ‘berlawan’ untuk menegakkan kebenaran,” ungkapnya penuh makna.

Dalam pada itu, pengacara program MeleTOP itu terkesan dengan segelintir peminat setia yang ada bersamanya ketika susah dan senang. Golongan ini amat dihargai kerana mereka menjadi tulang belakang kerjaya seninya.

Namun ada juga segelintir peminat yang disifatkan sebagai lalang, batu api dan kaki kipas! Hanya bersamanya ketika mempunyai kepentingan dan dalam masa yang sama mencipta kontroversi dan melaga-lagakan di tempat lain.

“Memang saya perasan dengan golongan seperti ini. Mereka mengaku sebagai peminat tetapi dalam masa yang sama meninggalkan komen negatif di laman sosial orang lain, mengata dan mengutuk kita di tempat lain.

“Jumlah mereka mungkin tak ramai tetapi dalam masa yang sama inilah punca kepada cerita-cerita baharu muncul. Cerita yang akhirnya ‘menghuru-harakan’ hidup orang lain,” tegasnya lagi.

Pun begitu, dia berterima kasih kepada kelompok peminat lama dan yang baru dicipta selepas fenomena Suri Hati Mr. Pilot yang menggan­dingkannya bersama dengan Fattah Amin.

Baginya, mereka benar-benar ikhlas menyokong kerjaya seninya pasti sentiasa ada bersama susah dan senang.

Dahulu saya ambil pendeka­tan untuk menjelaskan keadaan bila sesuatu isu dibang­kitkan. Bila sudah diberikan penje­lasan, makin banyak pula berita baharu yang muncul seolah-olah mereka sendiri yang melaluinya. Jadi saya tak kuasa lagi memberikan penerangan.

True Love kisah benar

MELABURKAN sejumlah besar wang ringgit untuk kempen raya bertemakan True Love, dia berpuas hati dengan apa yang sudah dihasilkan sempena kehadiran bulan Ramadan dan Syawal kali ini.

Berjaya mendapatkan khidmat Miller Khan, anak kelahiran tempatan yang kini berpangkalan di Jakarta, Indonesia dan kumpulan Katahati yang turut sama menyanyikan lagu tema True Love, video berdurasi 12 minit bukan sekadar kempen raya untuk jenama tudung Naelofar Hijab. Menariknya, ia berjalan di atas landasan cerita yang mirip kepada kisah peribadi Neelofa sendiri.

“Memang benar kisah yang digarap menerusi True Love ada kena mengena dengan diri saya. Walaupun tidak secara menyeluruh tetapi rasanya hampir 70 peratus adalah kisah yang saya hadapi.

“Beruntungnya kerana saya mempunyai pasukan yang dapat menterjemah apa yang saya mahukan. Ditambah dengan keserasian gandingan bersama Miller, ia merupakan antara kempen raya paling menarik yang pernah dihasilkan,” tambahnya lagi.

Pertama kali bertemu mata dan bekerjasama dengan lelaki berkenaan, Neelofa menganggap antara mereka tidak sukar mencari keserasian. Saat berada di set, masih-masing berjaya membawa peranan tanpa paksaan.

Dia benar-benar menjaga kualiti video tersebut. Dia menjaga segala sudut termasuklah pemilihan pelakon, penyanyi, jalan cerita dan dialog yang dilontarkan.

“Saya bukan cerewet tapi tidak berkompromi soal kualiti,” katanya yang berpuas hati kerana dapat menggunakan khidmat ramai tenaga profesional dalam True Love.

Terbaru, Neelofa juga baru sahaja menjalinkan bekerjasama dengan AirAsia apabila juruterbang wanita mereka akan memakai rekaan eksklusif Naelofar Hijab bermula bulan Ramadan ini.

Memang benar kisah yang digarap menerusi True Love ada kena mengena dengan diri saya. Walaupun tidak secara menyeluruh tetapi rasanya hampir 70 peratus adalah kisah yang saya hadapi.

Belum ada rezeki bercinta

DIASAK tentang cinta, Neelofa tahu untuk hal yang satu itu masih belum berpihak kepadanya. Jika kebanyakan rakan-rakan sebaya sudah memegang status isteri dan ibu, dia pula reda dan menganggap jodohnya belum tiba

Pernah dikaitkan dengan beberapa lelaki termasuklah yang terbaru Fattah Amin dan kerabat Di Raja dari sebuah negeri, Neelofa menganggap tahun 2017 belum memberikan rezeki untuknya terus mencintai dan dicintai.

“Ya, sampai sekarang masih belum bertemu dengan true love. Kalau sudah jumpa, pasti sekarang saya sudah berkahwin,” kata wanita yang berusia 28 tahun itu tertawa.

Jika satu ketika dahulu dia meletakkan beberapa syarat penting buat mana-mana lelaki yang bakal didampingi, kini satu syarat tersebut gugur dengan sendiri. Perincian kepada ciri-ciri lelaki bukan lagi keutamaan setelah melalui beberapa kegagalan dalam percintaan.

“Bila sudah melalui beberapa pengalaman, akhirnya saya tahu lelaki yang macam mana patut dijadikan suami. Paling tidak saya hanya perlu melihat perkara asas sahaja tanpa perlu melihat perincian yang lain.

“Kata orang back to basic. Itu sudah cukup sebenarnya,” katanya berterus terang.

Mengenai tanggapan kebanyakan lelaki takut untuk menghampiri dirinya, Neelofa tenang menjawab pertanyaan tersebut. Tegasnya, dia tidak cerewet jauh sekali terlalu memilih dengan siapa untuknya berkawan, sesiapa sahaja boleh hadir tambahnya.

“Betul ke orang takut untuk merapati saya? Rasanya tidak, saya ni jenis orang yang sempoi, mudah mesra dengan sesiapa, tak perlu takut.

“Tapi rasanya sebab kesibukan yang membuatkan saya tiada masa untuk bertemu dengan orang baharu,” kata Neelofa yang akan berangkat menu­naikan umrah minggu hadapan.