Lelaki itulah pilihan Kak Bam yang paling sesuai berbanding pemuda-pemuda lain yang waktu itu dilihat masih belum jelas menunjukkan tahap cinta mereka terhadapnya.

Sesungguhnya, Kak Bam bukan wanita yang memilih dan memandang paras rupa jauh sekali harta untuk dijadikan jaminan sebelum melangkah ke alam rumah tangga.

Sebaliknya Kak Bam hanya memandang pada keperibadian mulia seseorang lelaki itu sebelum menyerahkan seluruh cinta dan jiwa raga kepadanya.

“Masa muda dulu sekitar tahun 50-an dan 60-an, Kak Bam ada ramai sahabat pena lelaki yang berasal bukan saja dari Singapura malah dari seluruh Malaysia. Abang Mat (panggilan buat arwah Abi) antara sahabat pena Kak Bam.

“Kami berkenalan selama tujuh tahun lamanya. Setiap kali berjumpa, setiap kali itulah Kak Bam terpikat dengan keperibadian abang Mat yang sentiasa merendah diri.

“Balik daripada berjumpa itu, pasti Kak Bam akan terkenang-kenang wajah abang Mat. Itu yang membuatkan Kak Bam pilih abang Mat sebagai suami kerana dia adalah pilihan yang paling tepat.

“Seorang lelaki yang jiwanya sarat dengan rasa cinta dan sentiasa membuai perasaan kak BAM,” jelas Kak Bam merujuk perkahwinannya sepanjang 50 tahun bersama arwah suami tercinta.

Sebelum berkahwin dengan arwah ABI, kak Bam pernah mengikat tali pertunangan dengan seorang lelaki namun hubungan itu tidak berjaya.

Tidak pernah menyesali takdir itu, Kak Bam juga tidak kisah dengan persepsi masyarakat sekeliling asalkan dia dapat hidup bersama arwah ABI.

20 Mac 1966 dipilih sebagai tarikh yang menyatukan cinta mereka berdua dalam sebuah majlis perkahwinan di Singapura sebelum mengadakan majlis resepsi pada 17 April tahun yang sama.

Menerusi perkahwinan yang sama, nama dua pasangan suami isteri yang bukan sahaja popular sebagai penulis tersohor pernah dilahirkan akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia ini, dikurniakan tiga anak perempuan iaitu Farizah, Fadhila dan Fazliana.

Yang jelas bunga-bunga cinta antara mereka berdua ini sentiasa bersemarak sepanjang hayat perkahwinan mereka. Tidak pernah sekali pun berlaku masalah besar yang menggugat hubungan sedia ada.

Hinggalah arwah ABI menghembuskan nafasnya terakhir pada 3 Februari 2015 akibat penyakit kanser, rasa cinta yang sarat terhadap Kak Bam tidak pernah hilang dibawa bersama.

Malah semua bukti-bukti cinta arwah ABI terhadapnya masih disimpan kemas dalam sebuah fail khas di kediaman mereka di ibu kota. Kak Bam menemukan bahan bukti tersebut beberapa minggu selepas kematian suami kesayangannya itu.

“Dalam sibuk mengemas barang peribadi suami, Kak Bam terperasan ada beberapa buah fail buruk berwarna kekuningan. Apabila dibuka, Kak Bam terperanjat apabila fail itu mengandungi semua surat cinta Kak Bam kepadanya sebelum ini.

“Kak Bam juga menemukan sebuah lagi fail yang mengandungi surat cinta abang Mat pada Kak Bam. Hanya Tuhan saja yang tahu perasaan Kak Bam waktu itu. Tak sangka begitu agungnya cinta abang Mat buat Kak Bam.

“Dia mungkin sengaja tinggalkan kenangan berharga ini supaya Kak Bam tidak berasa keseorangan selepas kehilangannya,” kata wanita yang tidak pernah bosan membaca ‘harta’ peninggalan suami tercinta berulang kali.

SENIMAN negara, Datuk Seri Dr. Ahmad Nawab menyifatkan hubungannya dengan arwah ABI seperti adik beradik lantaran sering berkongsi masalah yang sama.

Menjadikan rumah arwah ABI sebagai lokasi yang sering dikunjungi sekitar tahun 70-an, Ahmad Nawab juga menjadi saksi kepada rasa cinta agung lelaki itu terhadap Kak Bam.

“Susah nak jumpa lelaki Melayu yang masih bercinta dengan isteri sendiri meskipun sudah lama berkahwin dengannya. Itulah ABI yang sebenarnya.

“Dia jenis yang sentimental dan berhabis-habisan untuk apa saja yang membabitkan Kak Bam,” kata Ahmad Nawab lagi.

SETIAP kali seniwati Datuk Rosnani Jamil datang ke rumah arwah ABI, pasti pengarah dan penerbit yang dikenali dengan nama Mak Nani ini akan memberi salam berbunyi, “Assalamualaikum, Ya Habibi”.

Kemudian arwah ABI akan menyambut salam itu sebelum melucu, “Waalaikumsalam. Ambil spanar cabut gigi”. Itulah salam pantun dua kerat yang menjadi trade mark antara Mak Nani dengan arwah ABI sepanjang perkenalan mereka sekitar tahun 50-an.

Hubungan rapat Mak Nani dengan keluarga arwah ABI semakin terjalin mesra selepas penerbit filem Mawar Putih itu menyuarakan hasrat untuk membuat biografi tentangnya beberapa tahun kebelakangan ini.

Bahkan Mak Nani juga sempat membawa arwah ABI dan isterinya pulang bercuti di kampung halamannya di Padang, Indonesia sebelum lelaki itu jatuh sakit sebelum ini.

PERSAHABATAN antara Datuk Yusof Haslam dengan arwah ABI terjalin rapat selepas penerbit filem itu terlibat dalam filem pertamanya berjudul Permintaan Terakhir pada 1974.

Sebagai wartawan hiburan, arwah ABI telah pun memberikan liputan yang baik kepadanya berhubung kerjaya seninya. Begitu juga dengan cerita membabitkan peribadinya.

“ABI pernah merajuk dengan saya gara-gara saya tidak mempertahankan perkahwinan pertama saya dulu yang cuma bertahan lima tahun saja.

“Tapi selepas saya berkahwin dengan (Datin) Fatimah Ismail pada 1978, ABI dah tak merajuk dan berubah sikap. Dia sedar yang urusan jodoh seseorang itu adalah ketentuan-Nya,” ujarnya.

SIFAT amanah yang ada pada arwah ABI sepanjang terbabit dalam dunia kewartawanan harus dicontohi wartawan generasi muda supaya lebih berhati-hati sebelum menulis cerita tentang artis tertentu.

Itulah pemerhatian penyanyi Salamiah Hassan terhadap arwah ABI kerana merasakan lelaki itu seorang pemegang amanah yang wajar dijadikan contoh terbaik buat pemegang profesional itu.

“Sebagai orang lama, sedikit sebanyak pasti akan terusik dengan cerita off the record rakan-rakan artis yang tertera di surat khabar sedangkan perkara itu perlu dirahsiakan.

“Etika kewartawanan itu perlu dipertahankan supaya tidak hilang lagi kepercayaan golongan artis terhadap wartawan hiburan,” kata Salamiah.

Nasihat, jaga agama

SATU lagi sifat terpuji arwah ABI yang memikat hati Kak Bam apabila lelaki itu tidak pernah gagal dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai hamba kepada-Nya.

Menjadi iman setiap kali tiba waktu solat, Kak Bam pasti akan terkenang-kenang kelibat arwah ABI di depannya tidak pernah lupa menasihatinya tentang tanggungjawab di dunia dan akhirat.

Apatah lagi ketika hujung hayat arwah ABI, soal kematian sentiasa menjadi topik utama bualan mereka setiap kali keluar berduaan ke mana saja.

“Kak Bam selalu tanya pada abang Mat, siapa antara kita berdua yang akan meninggal dunia dulu? Kalau kak Bam meninggal, macam mana abang Mat nak meneruskan kehidupan. Begitu juga sebaliknya.

“Tapi selalunya abang Mat cakap, hal membabitkan urusan dunia itu jangan terlalu difikirkan. Apa yang penting adalah bekalan kita menuju hari akhirat. Itu yang lebih utama.

“Sebab itu dalam apa juga perkara membabitkan urusan pekerjaan dunia, abang Mat sentiasa menasihati Kak Bam untuk menjadi keredaan Ilahi supaya kehidupan lebih berkat.

“Itu yang perlu lebih diberi keutamaan,” kata Kak Bam yang sebelum ini terkenal sebagai penulis seni dan hiburan melalui pojok “Syyhhh...BAM” dalam sisipan Pancaindera, Mingguan Malaysia.

ABI pula merupakan mantan Pengarang Mingguan Malaysia yang bersara pada tahun 1996. Mengendalikan kolum Desas-Desus ketika perkhidmatannya, jasa sosok berkenaan masih diingati sehingga ke hari ini.

ABI menulis buku Memoir Wartawan Dari Geylang Serai ke Utusan Melayu yang dilancarkan baru-baru ini dalam tempoh setahun sebelum menutup mata.

Buku bibliografi tersebut diterbitkan anak syarikat Utusan Melayu (M) Berhad, Utusan Karya Sdn. Bhd. dan dijual dengan harga RM35.

Kami berkenalan selama tujuh tahun lamanya. Setiap kali berjumpa, setiap kali itulah Kak Bam terpikat dengan keperibadian abang Mat yang sentiasa merendah diri.