Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Cinta muara sungai

Dramatis Zaidi Omar gemar habiskan masa memancing di sungai atau muara di waktu senggang

ZAIDI ( dua dari kanan) bersama barisan pelakon filem 3 Budak 3
ZAIDI ( dua dari kanan) bersama barisan pelakon filem 3 Budak Melayu yang diterbitkan pada 2009.

LEBIH 30 tahun mewarnai kanvas seninya dengan mutu lakonan yang meninggalkan kesan tersendiri dalam industri hiburan tempatan, dramatis Zaidi Omar, 58, sebenarnya seorang yang sangat relaks dan tenang.

Acap kali berjenaka tatkala ditemu bual, pelakon yang baru sahaja memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Tribute P. Ramlee 2015 menerusi telefilem Menunggu Hujan Teduh itu nyata tidak lokek berkongsi mengenai pengalamannya perihal dunia lakonan.

Mula dikenali sejurus membintangi filem Perempuan, Isteri dan ... sebagai Tapa, pada 1993 di sisi Sofea Jane dan Nasir Bilal Khan, kerjaya seninya terus berkembang ke kaca televisyen dengan ratusan drama telah dibintangi.

Di sebalik ‘jawatannya’ sebagai anak seni, Zaidi akui dirinya jarang bersosial selain menghadiri majlis-majlis hiburan tanah air.

Kadang-kadang, sesekali di sekitar kediamannya di Ampang, Kuala Lumpur, dia akan berjumpa dengan penduduk setempat sama ada ketika solat jemaah ataupun kenduri.

“Saya bukan jenis yang suka meluangkan masa di warung-warung kopi lama-lama. Kalau ada pun sekejap sahaja untuk bersua muka dengan jiran tetangga. Kalau ada waktu lapang selain berlakon, sebenarnya saya suka habiskan masa memancing.

“Selain boleh membawa hasil ikan yang dikail pulang ke rumah, suasana tenang deruan bunyi aliran air sungai memberi ketenangan buat saya yang boleh dikatakan agak sibuk dengan aktiviti seni.

“Sesekali berada jauh dari pusat bandar, ternyata ia menyegarkan fikiran. Di samping itu, cabaran ketika menaikkan ikan yang terkena umpan merupakan satu pengalaman yang sangat menarik.

“Ini memerlukan kemahiran tinggi. Tidak semestinya umpan yang dimakan ikan menjanjikan ‘mangsa’ tersebut akan dijadikan lauk. Kalau tidak mahir, jarak seinci sahaja mampu mengecewakan si pemancing apabila melihat ikan itu terlepas semula ke dalam sungai,” katanya kepada Hits.

Menceritakan tempoh masa yang ditetapkan untuk memancing, Zaidi berkata, dia pernah berlarutan sehingga seminggu di kawasan perairan jika lokasi tersebut di luar Lembah Klang. Itupun katanya jika ada kelapangan, kalau tidak, cukup sejam dua untuk melepaskan gian memancing.

Belasan tahun di Indonesia

Mendengar percakapannya yang pekat bertutur dalam telor Jawa, ramai beranggapan Zaidi adalah orang Indonesia yang bermigrasi ke negara ini.

Pun begitu, ia sebenarnya mempengaruhi hidupnya disebabkan pernah menetap di negara jiran itu selama belasan tahun untuk menuntut ilmu teater di sekitar bandar raya Jakarta.

“Sekian lama berada di sana, saban hari gaya pertuturan berubah mengikut dialek penduduk tempatan. Setiap hari dikelilingi loghat tersebut dan akhirnya melekat di lidah saya sekembalinya ke Malaysia.

“Bagaimanapun, diakui saya juga mempunyai darah Bugis dan ia sebati dengan jiwa saya. Sebab itulah banyak juga bawa watak yang sama disebabkan perkara itu tetapi saya tidak kisah kerana ia boleh dipelbagaikan mengikut babak atau situasi,” jelasnya.

Mengulas mengenai perkembangan kariernya, filem terbaharu lakonan Zaidi sedang ditayangkan menerusi karya arahan Osman Ali iaitu Pilot Cafe dan akan datang, Langit Cinta.

“Sebelum ini saya pernah berlakon dalam filem Ombak Rindu, juga arahan Osman dan tidak lama lagi akan memulakan penggambaran filem Kau Yang Satu. Alhamdulillah Osman mempercayai kewibawaan saya dan bersyukur masih diberi rezeki sehingga ke usia ini,” katanya.

Berkongsi petua kebertahanannya dalam industri, Zaidi memberitahu ia perkara mudah andai ada ilmu mencukupi untuk menjadi warga seni. Senang untuk popular tetapi sukar untuk bertahan.

“Anak-anak muda sekarang ramai saya perhatikan yang sekejap sahaja kelibatnya dalam dunia lakonan. Selepas setahun dua, mula senyap entah ke mana menghilang.

“Saya diajar untuk mencipta rasa ketika berlakon, barulah lakonan itu boleh dirasa oleh penonton. Kalau tidak ia akan hambar,” jelasnya.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan