Pemberian cincin berlian bermata satu yang langsung tidak diduga oleh Siti Sarah, turut mengundang air mata penyanyi Jangan Kau Mimpi itu sehingga kedua-duanya saling menangis di hadapan lebih 500 orang jemputan yang hadir pada majlis persandingan sekali gus meraikan ulang tahun perkahwinan keenam mereka di Bora Ombak Marina, Putrajaya.

Malah Shuib yang sebelum itu sedang mendendangkan lagu popular penyanyi Indonesia Virzha, Aku Lelakimu, tidak mampu menyudahkan bait-bait indah lagu yang cukup bermakna liriknya itu saat menyarungkan cincin ke jari isteri.

Bertemu pasangan tersebut usai majlis, kata Shuib, dia mahu menggantikan cincin lama yang diberikan pada akad nikah mereka enam tahun lalu sebagai tanda cinta kasihnya kepada Siti Sarah.

“Cincin ini sebagai simbolik buku baharu dan permulaan hidup kami selepas enam tahun mengharungi hidup berumah tangga. Saya tak mahu lagi dia memakai cincin lama, biarlah Sarah memakai cincin baharu, lambang permulaan kepada segala-galanya.

“Saya sebenarnya memang merahsiakan hal cincin ini walaupun Sarah ada juga bagi petunjuk yang dia mahu sebentuk cincin. Tapi saya diamkan sahaja dan dia langsung tidak tahu sehinggalah saya buat kejutan di atas pelamin.

“Sebab itu dia sangat terkesan dan menangis, sama seperti saya yang rasa sangat gembira kerana dapat menunaikan janji saya kepadanya sejak hari pertama kami menjadi suami isteri.

“Persandingan ini adalah satu janji yang saya tanam dalam diri kerana kami tidak mampu bersanding pada hari kami diijabkabulkan. Saya tahu ini yang Sarah mahukan sejak lama dahulu.

“Justeru ini adalah satu keraian yang kami mahu kongsikan dengan ahli keluarga, sanak saudara, sahabat handai, rakan-rakan artis dan rakan-rakan media yang selama ini banyak menyokong kerjaya kami,” kata Shuib.

Pada majlis itu juga, pertunjukan slaid perkahwinan mereka enam tahun di Bangsar lalu turut dipertonton kepada para tetamu.

Namun setiap slaid tersebut mempunyai cerita tersendiri yang hanya difahami Shuib dan Siti Sarah.

“Orang tidak tahu bagaimana tentang kisah perkahwinan kami enam tahun lalu.

“Setiap slaid dan gambar yang ditunjukkan kepada tetamu mempunyai cerita yang sangat bermakna kepada kami dan juga keluarga.

“Sebab itu juga saya menangis bila melihat gambar-gambar tersebut sebab hanya kami yang merasai susah senang hidup selama enam tahun bersama.

“Tidak mudah menjadi isteri Shuib dalam tempoh enam tahun ini, begitu juga dengan dia yang tidak mudah menjadi suami saya. Toleransi dan bersefahaman yang sangat dahsyat diperlukan dalam melayari hidup sebagai suami isteri.

“Bagaimana Shuib mengalami kemurungan ketika zaman Maharaja Lawak dan bagaimana pula dia melayan karenah saya ketika Gegar Vaganza 3, semua itu memerlukan tahap kesabaran yang luar biasa,” kata Sarah.

Sampuk Shuib, bagi pasangan yang barangkali mengalami saat getir perkahwinan mereka, hanya satu nasihat yang mampu diberikan iaitu Allah SWT mengaturkan jodoh itu dengan sebab tersendiri.

“Bukan hubungan yang silap sebaliknya kitalah yang silap. Jadi kita perbetul mana-mana yang silap. Kita perbetul diri sendiri dahulu sehinggalah menjadi baik dan jangan cepat putus asa.

“Pasangan juga perlu menyegarkan kembali hubungan itu dengan mencipta pelbagai perkara.

Persandingan ini juga saya anggap sebagai menyegarkan kembali cinta kami,” kata Shuib yang turut mendoakan lagu single baharu Siti Sarah yang bakal diterbitkan tidak lama lagi akan mengembalikan namanya semula dalam dunia muzik.

Pasangan yang dilihat peminat cukup romantis ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 6; Dzahira Talita Zahra, 3; dan Ariq Matin, 1.