Demikian pendedahan tidak disangka-sangka oleh Ng Pei Chuen, 41, ketika memulakan bicara.

Dia yang juga amat meminati filem Bawang Putih, Bawang Merah arahan pengarah S. Roomai Noor, berkali-kali mengulang skrip beberapa adegan di dalam filem tersebut. Jelas terpancar pada wajahnya bahawa dia sangat meminati filem klasik.

Ujar wanita yang lebih gemar disapa dengan panggilan Angie itu, sejak kecil dia tidak pernah melepaskan peluang menonton filem-filem arahan seniman agung P. Ramlee dan sangat meminati suara serta lagu-lagu yang didendangkan oleh Puan Seri Saloma.

“Saya dibesarkan di kampung yang dikelilingi masyarakat Melayu. Disebabkan itu saya membesar sebagai orang Cina yang tebal kemelayuannya, malah saya juga lebih banyak makan makanan orang Melayu berbanding makanan Cina,” ujar pemilik Angie Boutique, yang merupakan penaja persalinan kebaya untuk Miss Malaysia Kebaya (MMK) 2017/2018.

Mengakui dilahirkan dalam keluarga yang susah selepas kematian bapa, dia terpaksa berkorban demi membantu ibu membesarkan adik-adik, malah hanya sempat bersekolah hingga tingkatan satu sahaja.

Enggan membebankan ibunya, Angie sanggup melakukan pelbagai kerja antaranya menjual nasi lemak, operator kilang serta menjaga wanita berpantang demi meneruskan hidup.

Dia yang sangat meminati bidang seni kreatif, perlahan-lahan mencuba mengambil tempahan menjahit baju kurung penduduk kampung, yang rata-ratanya adalah orang Melayu.

Anak kelahiran Kuala Ketil, Kedah itu, juga gemar menghadiri kenduri perkahwinan orang Melayu yang dipenuhi dengan pelbagai adat dan upacara, malah paling menarik ialah keunikan pelbagai jenis pahar yang berisi bunga telur. Saya amat suka jika dapat bunga telur dan dari situ saya belajar membuat bunga telur sendiri dengan hanya melihat sahaja gubahan bunga telur yang telah siap.

“Lama-kelamaan saya mahir membuatnya dan paling menggembirakan, ramai orang Melayu yang menempah bunga telur untuk majlis perkahwinan mereka,” jelasnya tersenyum lebar.

Selain mahir membuat bunga telur dan sirih junjung, Angie turut meminati kerja seni sulaman, jahitan manik serta solekan.

Fasa kehidupan Angie berubah sebaik sahaja mendirikan rumah tangga apabila berpeluang membuka sebuah kedai bunga dan kraf di pekan Kuala Ketil 15 tahun lalu yang diusahakan bersama adik-adiknya.

Memandangkan kedainya merupakan satu-satu kedai yang menyediakan barangan perkahwinan orang Melayu termasuk khidmat menggubah bunga telur, sirih junjung dan gubahan bunga, maka setiap kali hari raya dan musim perkahwinan, dia tidak menang tangan menyiapkan tempahan.

“Setiap kali hari raya atau cuti sekolah, saya akan tutup kedai lambat kerana pelanggan berbaris menunggu tempahan mereka selain mencari kelengkapan kenduri pada saat-saat akhir,” katanya.

Selepas berpindah ke Ipoh, Perak mengikut suami, ibu kepada tiga cahaya mata perempuan berkenaan melebarkan sayap perniagaannya dengan membuka dua lagi butik berkonsepkan pusat sehenti barangan dan perkhidmatan perkahwinan Melayu, iaitu NG Wedding Boutique dan Rina Boutique yang baharu dibuka 
tiga bulan lalu.