Membawakan lagu berentak pop dangdut atau techno dangdut ciptaan Ully Ramdhan dan lirik oleh Muhaji Karim, lagu tersebut kini sedang rancak diputarkan di lebih 100 stesen radio negara jiran.

Memilih untuk memperkenalkan single terbarunya di Indonesia, penyanyi yang bernaung di bawah syarikat rakaman DBI Entertainment ini mengakui ia adalah kerana penggemar dangdut di Negara tersebut lebih ramai berbanding negara ini.

“Di Indonesia, lagu ini dikenali dengan judul Cabe-Cabe Cinta. Menariknya sejak diputarkan pada bulan Februari lalu, lagu ini sering menjadi pilihan pendengar terutamanya di bahagian Jawa Barat.

“Pun begitu, ia bukanlah bermakna saya tidak mengendahkan pendengar di Malaysia malah jika boleh saya mengharapkan ia turut diterima di sini sepertimana di Indonesia.

“Malah kini saya sedang giat mempromosikannya di stesen-stesen radio tempatan dan juga bakal di muat naik di App Store, Apple Store dan juga YouTube,” ujar penyanyi berusia 26 tahun ini.

Ditanya mengapa memilih irama dangdut sedangkan ia bukanlah irama yang popular di Malaysia pada masa kini. Namun menurutnya ia adalah kerana dia amat meminati irama tersebut sejak dari zaman persekolahan lagi.

“Ia kena dengan jiwa saya. Jadi penghayatan ketika membawanya lebih lagi. Disebabkan itu saya memilih untuk membawakan irama ini biarpun saya sedar ia suatu pertaruhan.

“Walaupun begitu, saya berharap agar lagu tersebut mampu menyemarakkan semula zaman kegemilangan dangdut yang pernah mewarnai industri seni tanah air kita,” ujarnya yang tertarik dengan melodi Cili-Cili Cinta yang indah.

Tidak menyangka single pertamanya itu diterima oleh semua lapisan masyarakat, kerana itu dia bakal menyiapkan muzik video sebagai hadiah di atas sokongan tersebut.

“Saya baru sahaja selesai membuat pembikinan album baru-baru ini dan dijangka single ini berserta muzik video akan dilancarkan selewat-lewatnya pada akhir bulan,” ujar Naib Johan Bintang Asli Remaja Negeri Terengganu 2006.

Menurut pemegang Diploma Seni Lakon dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini, dia bakal melancarkan single keduanya tidak beberapa lama lagi memandangkan single pertamanya yang semakin diterima baik oleh peminat.

“Jika sebelum ini lagu Cili-Cili Cinta mengisahkan tentang kesedihan putus cinta, kali ini single kedua saya yang berjudul Mawar Berduri ini agak berbeza sedikit kerana ia lebih rancak dan lebih menghiburkan.

“Dari segi pemilihan lagu, saya lebih mementingkan lagu yang santai dan yang paling penting mudah diingati biarpun baru sekali didengari,” ujarnya yang pernah menyertai program realiti Skool Of Lawak di Astro pada 2014,

Dalam masa yang sama, bekas penyanyi Kebudayaan Kerajaan Negeri Terengganu ini tidak kisah sama sekali jika terpaksa bekerja lebih keras untuk menempatkan namanya di persada seni.

“Itu perkara pertama yang sudah pun saya fikir sebelum mengambil keputusan untuk serius sebagai penyanyi dan saya berharap agar satu hari nanti lagu-lagu saya mendapat tempat di hati penggemar muzik,” tutur nya yang pernah menjadi penyanyi latar Festival Gamelan Sedunia 2010.

Bagi yang ingin mengikuti perkembangan Falah Bassim boleh menjejakinya di laman Facebook (FB), Instagram dan Twitter.