Namanya mula dikenali ketika membintangi filem Hang Tuah pada 1955. Zaiton mula mendapat perhatian ramai ketika itu.

Menerusi filem itu juga dia berjaya meraih anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke 3 pada 1957.

Sudah pasti, sebagai pengarah terkenal, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee mula menyunting wanita ini untuk berlakon dalam filemnya.

Sempat juga Zaiton bekerja dengan P.Ramlee tetapi menurutnya, kenangan itu tidaklah terlalu banyak bersama dengannya.

“Saya sebenarnya jarang bersama dengan P.Ramlee. Kalau berjumpa pun hanya di lokasi sahaja sewaktu penggambaran filem seperti Bujang Lapok, Ibu Mertuaku dan Anakku Sazali,” jelasnya yang kini menetap di Bedok, Singapura.

Berkongsi cerita mengenai P.Ramlee, jelas Zaiton, apa yang dia tahu pemegang pengarah dan pelakon tersohor itu sangat komited pada kerjanya untuk menghasilkan filem.

Kalau di set penggambaran, P.Ramlee memang tidak banyak bercakap, sebaliknya fokus pada kerja dan paling penting, bukan seorang yang bengis ketika bekerja.

“Waktu saya bekerja dengannya, waktu rehat kami boleh bergurau senda, tetapi bila sudah mula berlakon, perlu menghayati watak yang diberikan.

“Dia yang banyak ajar saya cara untuk berlakon dan sebagainya. Kalau kita banyak main di set penggambaran, itu yang dia tidak suka,” jelasnya yang sinonim dengan watak Chombi dari filem Ibu Mertuaku yang menampilkan P.Ramlee sebagai Kassim Selamat.

Pernah sekali Zaiton melihat bagaimana P.Ramlee seakan marah ketika itu, tetapi mengelak untuk melampiaskan rasa marah kepada orang sekeliling.

“Waktu itu saya tidak pasti dia marah kenapa. Mungkin ada yang dia tidak puas hati dengan lakonan dan sebagainya.

“Tetapi kalau dia marah, skrip akan diletakkan ke tepi dan dia akan keluar seketika. Dalam masa satu jam, lepas rasa marahnya reda, baru dia kembali ke set untuk meneruskan penggambaran,” ujar Zaiton mengimbas kembali kenangan waktu dulu.

Sisi baik P.Ramlee sebelum ini sudah banyak diceritakan. Bagaimana pemurahnya P.Ramlee dalam membantu dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Zaiton sendiri punya kisah tersendiri bila menyentuh sisi baik P.Ramlee ini. Menurut Zaiton, P.Ramlee sangat memilih dalam bidang kerjanya.

“Jika waktu penggambaran itu dia terlihat seseorang yang sangat bagus berlakon, pasti selepas itu dia akan panggil lagi.

“Sebab itu kalau berlakon, mesti ikut apa yang dimahukan sebab dia adalah seorang pengarah. Kalau gagal, memang susah.

“Selain itu dia memang seorang yang dikenali kerana sifat pemurah. Orang yang diambil bekerja di set itu bukan semuanya berpengalaman.

“Jika dia melihat ada orang yang menganggur, dia akan bertanya sama ada mahu bekerja atau tidak. Jika mahu, dia akan ambil untuk bekerja bersamanya di studio,” katanya.

Seperkara yang buat Zaiton terkilan ialah kenangannya bersama dengan P.Ramlee terlalu singkat sampai tidak sempat bertemu hingga ke akhir hayat seniman itu.

“Saya mula berlakon sejak berumur 17 tahun. Selepas itu berjumpa dengan P.Ramlee, tetapi tidak lama kerana selepas itu dia mula berhijrah ke Kuala Lumpur.

“Sejak berpindah itu, saya langsung tidak bertemu dengannya. Cuma sekali sekala sahaja saya bertemu dengan arwah Saloma,” jelasnya.

Ketika P.Ramlee meninggal dunia pun Zaiton hanya mendapat perkhabaran dari jauh.

Sesuatu yang sangat menghibakan buatnya apatah lagi P.Ramlee meninggal di usia yang muda. Tetapi itulah ketentuan Allah.