Dialog yang diucap Zainal Abidin dalam bahasa Inggeris itu telah mendapat tepukan paling gemuruh penonton yang hadir.

Konsert di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) dan bergandingan dengan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) menyaksikan impak berbeza dalam persembahan Zainal sendiri.

Konsert pada malam itu penuh bertenaga dengan keseluruhan lagu diiringi digubah semula untuk disesuaikan dengan pemuzik orkestra.

Percaturan itu menjadi dan ramai yang memperlihatkan kepuasan apabila mendengar gubahan baru lagu itu bersama dengan vokal yang cukup lantang oleh Zainal sendiri.

Dibuka dengan lagu pertama Chan Mali Chan dan diikuti dengan lagu kedua Suriram, Zainal tidak hanya membawa penonton mendengar sahaja lagu-lagunya. Sebaliknya membawa penonton mengenang kembali zaman mudanya.

Zaman ketika dia susah dan pekerjaan pertamanya adalah bermain alat muzik ketika di majlis pengebumian yang memerlukan khidmat bermain muzik.

“Setiap kali bermain, saya akan diberi upah sebanyak 50 sen dan pada waktu saya berusia 13 tahun, itu adalah jumlah yang besar.

“Pada waktu itu juga, saya mengharapkan lebih banyak orang mati supaya saya dapat lebih wang untuk dibelanjakan,” katanya berseloroh yang mengundang hilai tawa penonton.

Penceritaan Zainal sendiri berdasarkan kisah hidupnya dilakukan secara bersahaja tetapi sangat menyentuh emosi dan memberi inspirasi.

Selepas kehidupan waktu kecilnya, penonton dibawa pula menelusuri zaman dia bergelar penyanyi sewaktu bersama dengan kumpulan Headwind.

Empat buah lagu didendangkan iaitu Segalanya Mungkin, Hanya di Radio, Debu Liar dan lagu yang masih malar segar hingga kini iaitu Suraya.

Selepas Headwind, bermulalah kerjaya Zainal sejak solo bermula pada awal tahun 90-an dengan membawa genre yang agak asing ketika itu iaitu world music.

Genre tersebut juga menyebabkan ramai yang tersalah jangka bahawa lelaki ini berasal daripada Sarawak sedangkan dia adalah anak kelahiran Johor.

Bermula dengan lagu Manis dan dan diikuti lagu Damai, persembahan dan kemantapan vokal Zainal pada malam itu cukup memukau.

Sebagai antara penyanyi yang sudah berada di tahap tersendiri dalam industri muzik tempatan, Zainal tiada masalah untuk berinteraksi dengan penonton.

“Saya memang suka bercakap. Kadang-kadang saya nyanyi hanya dua lagu dan selebihnya saya bercakap. Menariknya, mereka masih membayar saya,” katanya menyambut hilai tawa daripada penonton.

Beberapa lagi lagu dinyanyikan selepas itu termasuklah Inaiah, Orak Arek, Bongkar, Khayalan dan pastinya, lagu berhantu , Hijau.

Belum puas, Zainal menyanyikan sebuah lagi lagu sebelum menutup persembahan iaitu Ikhlas Tapi Jauh.

Secara keseluruhan, sebuah konsert yang membuatkan penonton berasa dekat dengan Zainal sendiri dan sudah masanya untuk penyanyi ini kembali ke pentas konsert yang lebih besar selepas ini.