Cat Farish

Meskipun Ruffedge sudah hilang tanpa bayangan, Cat meneruskan kesinambungan perjalanan seninya dengan kumpulan The Fabulous Cats dan Cat Farish & Tiga Swagger yang menjadi nadinya kini.

“Kalau nak ikut memang saya sentiasa hadir dengan produk baharu. Malah selepas era Ruffedge, nama saya banyak ‘melekat’ dengan kumpulan The Fabulous Cats dan Tiga Swagger.

“Walaupun orang menganggap saya sering bertukar-tukar kumpulan, sebenarnya itu adalah strategi saya untuk meneroka pasaran baharu sejak dahulu lagi,” ungkap Cat.

Bagi Cat, walaupun The Fabulous Cats sudah ‘berkubur’ namun dia meneruskan legasi kumpulan tersebut melalui kumpulan Boneka yang juga merupakan anak didiknya.

Boneka yang dianggotai oleh Mustika, Amy Junior dan Farid Ali dan Cat hanya bertindak sebagai mentor sahaja.

Pun begitu Cat mendedahkan yang dia mempunyai perancangan yang lebih besar apabila mahu mengumpulkan semula ahli Ruffedge untuk merakamkan semula lagu dan dia gembira kerana hasrat itu disambut baik oleh rakan lain.

“Memang itu perancangan yang sedang saya atur sejak berbulan-bulan lalu. Bukan senang nak mengumpulkan semula ahli Ruffedge tetapi ini yang akan saya lakukan untuk mengembalikan semula kumpulan itu.

“Hasrat tersebut telah pun disuarakan kepada mereka dan nampaknya masing-masing sudah memberikan reaksi positif untuk bergabung semula demi peminat,” jelas Cat lagi.

Selain Cat, anggota Ruffedge yang dipanggil semula termasuk Sein, Zain dan Mode.

Masih memikirkan tentang lagu yang akan dirakamkan nanti, lelaki ini tidak menolak kemungkinan untuk merakamkan semula lagu daripada album terdahulu.

“Niat kami bukan untuk aktif macam dahulu. Kalau tengok pun semua orang ada kerjaya masing-masing dan ada haluan sendiri.

“Mung­­­­­­­kin ini hanya akan dijadikan projek semata-mata dan mengem­balikan semula nama Ruffedge seperti yang pernah kami lalui satu ketika dahu­lu,” jelas Cat.

Perancangan

PENYANYI dan pelakon ini tidak menafikan yang dia berbangga melihat lagu rap dan hip hop kini menguasai pasaran.

Sementelah perjuangan Cat sejak 2000 dengan genre sebegini pernah dipandang sebelah mata oleh segelintir pihak yang menggelar dirinya sebagai rappers ‘poyo’.

“Saya tidak mengistilahkan diri saya sebagai pencetus tetapi yang saya selama ini nampaknya sudah menjadi perhatian peminat dan diterima ramai.

“Kalau lihat kembali lagu-lagu Ruffedge sendiri sudah ada diselitkan elemen R&B dan hip hop dalam lagu. Tapi ketika itu tak semua orang boleh terima dan memahami yang cuba disampaikan.

“Senarionya telah berubah sama sekali apabila lagu rap dan hip hop sudah menguasai kebanyakan anugerah berprestij dan diterima baik sebaris dengan penyanyi irama yang lain.

“Paling membanggakan apabila munculnya ramai penyanyi baharu yang berbakat besar. Kebanyakan anugerah juga memperuntukkan tempat untuk juri yang pakar dalam lagu sebegini,” ulas Cat lagi.

Namun begitu dengan kebanjiran penyanyi dan lagu bergenre tersebut sedikit sebanyak menimbulkan pertanyaan terutama dari sudut mesej yang cuba disampaikan.

Bagaimanapun Cat menganggap perkara itu tidak perlu dirisaukan kerana kebanyakan rappers dan penyanyi hip hop kini sudah mengadaptasi perkara berkenaan dengan budaya Melayu.

Menjelaskan tentang perkembangan terkininya, Cat memberitahu bakal muncul dengan album baharu bersama-sama Tiga Swagger sedikit masa lagi. Album yang sudah siap sepenuhnya itu dianggap sebagai ‘penyambung’ hayat dalam industri.