Cinta hatinya itu sudah pergi membawa diri sejak dua tahun lalu tanpa sebarang khabar berita. Menganggap cinta itu ibarat air di lautan, yang ada kalanya tenang dan ada masanya bergelora, Ainul sebenarnya tidak mahu kisah lampau itu dikenang semula.  

Katanya, dia perlu berfikir positif kerana cinta itu tidak memberi sebarang keuntungan dan hanya dijadikan sebagai pengajaran dan pengalaman berguna untuk terus menghadapi hari-hari mendatang.

“Ya, kerana cinta saya tahu erti dan maksud kehidupan. Kerana cinta juga saya tahu bagaimana untuk menilai diri sendiri. 

“Memang suatu masa dahulu, saya larut dalam percintaan sehingga lupa akan perkara yang sepatutnya saya lakukan dalam kehidupan seharian. 

“Sekarang, saya sudah sedar semuanya hanya satu pembaziran terutama masa yang telah dihabiskan untuk bercinta. Semuanya sejarah dan tinggal kenangan. Cinta itu memang telah banyak mengajar dan mematangkan diri saya,” katanya. 

Ainul mengaku, gagal sekali dalam percintaan tidak pernah menutup keinginannya untuk kembali menjalinkan hubungan cinta selepas ini. 

Malah, katanya, setiap orang mahu bercinta tetapi biarlah cinta yang dijalin selepas itu dalam keadaan yang ikhlas. 

“Sama seperti wanita-wanita lain, saya juga inginkan lelaki yang baik. Bagi saya, lelaki yang tahu menghargai cinta adalah lelaki yang sangat hebat. 

“Apa lagi kalau yang tahu rasa hormat dan tanggungjawab dalam hubungan, itu lagi bagus. Saya juga mahu lelaki yang tulus dan jujur dalam percintaan. 

“Sebab itu, saya mahu berhati-hati dalam cinta selepas ini. Saya tidak mahu lagi jatuh cinta pada orang yang salah,” jelas Ainul. 

Sedar akan usianya yang sudah menginjak 30 tahun, Ainul tidak mahu lagi membazir masa untuk bercinta tetapi buat masa ini, dia belum lagi mendapat calon yang sesuai untuk dijadikan teman lelaki atau suami. 

Malah, untuknya menamatkan zaman bujang pada tahun ini adalah sesuatu yang mustahil. 

“Calon pun belum ada lagi. Kalau mahu kahwin pun bukan tahun ini. Kahwin bukan perkara main-main. Perlu ada perancangan. 

“Tentang lelaki, ada juga yang cuba dekati saya teapi masih belum ada yang sesuai. Saya mahu yang setia. 

“Tidak mahu lagi membazir masa untuk bercinta lama-lama. Tapi akhirnya berkecai juga,” tegasnya. 

 

Masih berniaga

Nyata langkah Ainul untuk mengubah masa depannya dengan berniaga menunjukkan petanda yang positif. Keputusan melupakan sebentar dunia lakonan bukan perkara yang sia-sia.

“Masa mula mahu meninggalkan lakonan, saya tidak fikir apa. Saya tidak mahu kerisauan ada pada diri. Yang penting saya buat dan belajar sesuatu yang baharu.

“Ya, saya fikir perniagaan adalah perkara baharu yang boleh menambah pengetahuan. Tidak sangka, usaha saya untuk membantu keluarga membuka cawangan minuman yogurt Tutty Fruity membawa saya semakin yakin mengorak langkah ke hadapan.

“Daripada situ, saya belajar untuk menguruskan perniagaan dengan baik sehingga boleh ada biskut jenama sendiri iaitu Ainul A Cookies.

“Setahun saya beroperasi dari rumah dan menjual secara dalam talian, kini saya sudah ada tempat untuk beroperasi membuat biskut yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail,” katanya.

Sudah serasi dengan dunia perniagaan, Ainul mengaku selain cinta, kejayaan dalam perniagaan juga mematangkan dirinya.

“Walaupun akan sibuk dengan lakonan selepas ini, saya juga akan terus berniaga kerana saya sudah dapat seimbangkan semua itu,” katanya yang juga akan meluaskan perniagaan menerusi satu jenama pakaian tidak lama lagi.

Jelas wanita ini, kejayaan dalam perniagaan menjadi pemangkin dalam dirinya walaupun pernah gagal dalam bercinta.

Apa yang Ainul tahu dia harus bangkit tanpa perlu menoleh ke belakang lagi.

Rindu berlakon

Tinggalkan kisah peribadi Ainul atau nama penuhnya, Ainul Aishah Azizun, sesi fotografi yang diatur khas ini sebenarnya bertujuan untuk mempromosikan filem Pilot Cafe arahan Osman Ali lakonannya. Biarpun hanya memegang watak sampingan, wanita ini kekal memberi komitmen yang baik. 

Dia hadir tepat pada waktu yang dijanjikan. Kesungguhan itu membuatkan perbualan dengan wanita ini sangat selesa walaupun sudah lama dia tidak bertemu media.

“Bayangkan hampir tiga tahun saya senyap dalam industri hiburan. Ini pertemuan semula saya bersama media. Semuanya baik-baik sahaja kan,” soalnya.

Ya, semuanya seperti biasa cuma ada persaingan baharu menanti Ainul. Bercerita tentang persaingan, Ainul memang tahu semua itu dan sempat meluahkan rasa syukur kerana masih diberi peluang dan ruang untuknya menempa nama.

“Satu perkara, saya rindu untuk berlakon. Tidak sangka ada yang masih menawarkan saya untuk berlakon. Sekarang saya sudah kembali dan akan seimbangkan dengan perniagaan yang saya jalankan.

“Saya tahu, nama saya tidak sehebat pelakon-pelakon lain kerana hanya sempat berlakon selama dua tahun (2007-2009) sebelum menceburkan diri dalam perniagaan.

“Sebenarnya, saya kembali penghujung 2011. Itu pun satu atau dua drama. Sebab itu, peminat jarang melihat saya. Sekarang, apabila sudah ada persaingan baharu, saya terpaksa berkerja keras untuk mengekalkan kedudukan,” katanya yang baharu sahaja menghabiskan penggambaran drama Fajar Di Buhara di Uzbekistan.

Menyentuh soal bayaran sementelah lama tidak kelihatan, Ainul berkata, dia memang sangat peka dengan semua itu.

“Bukan kerana demand tetapi bayaran biarlah setimpal dengan apa yang kita buat. Buat masa ini, bayaran bukanlah sesuatu yang menjadi tekanan dalam diri saya.

“Saya juga berani menolak tawaran berlakon jika bayarannya tidak masuk akal. Terlalu rendah sehingga langsung tidak mendatangkan hasil kepada saya.

“Sebab itu dalam soal bayaran, seseorang artis itu perlu lebih berani memperjuangkan hak mereka,” tegasnya yang menggunakan pendekatan berhemah untuk berurusan dalam soal berkenaan.