Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Cari lagu yang boleh tular

Trend sekarang ini, apa sahaja yang dilakukan pasti mendapat perhatian apabila menjadi tular di laman sosial. Tidak mahu ketinggalan, penyanyi dan pengacara, Ifa Raziah turut sama mengharapkan perkara tersebut berlaku kepada lagu baharunya.

Ifa Raziah 

Menurut Ifa atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha, 42, selepas muncul dengan single Terus Terang setahun yang lalu, dia dan syarikat rakaman, Sony Music Malaysia kini sedang mencari lagu baharu untuknya.

Mahu kekal dengan irama dangdut, Ifa merancang untuk memilih sebuah karya yang boleh menjadi tular sesuai dengan trend masa kini.

“Saya sedang mencari single baharu selepas lagu Terus Terang yang dikeluarkan tahun lepas. Saya dan Sony Music Malaysia sedang merancang untuk mengeluarkan lagu baharu pada tahun ini.

“Saya masih mengekalkan irama dangdut kerana bagi saya kemeriahan irama dangdut ini berbeza berbanding lagu-lagu berentak lain.

“Saya sudah dapat beberapa buah lagu tetapi saya tolak buat masa ini kerana saya dapat rasakan lagu-lagu tersebut tidak bersesuaian dengan cita rasa masa kini.

“Kalau boleh saya mahu mencari sebuah lagu yang mampu ditularkan. Lagipun sekarang ini memang musim tular, jadi tidak salah jika saya mahu mengikut trend dan saya berharap dapat mencari lagu sebegitu,” jelas Ifa yang mendapat jolokan Diva Dangdut Malaysia.

Bercerita tentang lagu yang sudah tular, Ifa memuji usaha Datuk Seri Dr. Vida yang tampil dengan lagu tularnya, I Am Me baru-baru ini.

“Pada awal pemilihan lagu tersebut, saya ada bersama-samanya. Dia ada bertanya pendapat saya mengenai lagu itu. Saya katakan kepadanya dalam beberapa versi yang Edry Abd. Halim berikan kepadanya, saya rasa versi yang dipilih oleh Datuk Vida sekarang sangat sesuai untuknya.

“Bagi saya, niat Datuk Vida untuk sama-sama memeriahkan industri muzik ini satu usaha yang sangat bagus. Saya puji dia kerana berjaya menyahut cabaran diri sendiri untuk menyanyi.

“Tambahan pula dengan keletahnya membuatkan peminat seronok melihatnya,” ujarnya.

Dalam kesibukan bekerja sebagai penghibur, Presiden Persatuan Bintang Dangdut Malaysia ini juga tidak ketinggalan menjalankan perniagaan produk kecantikan.

Menyifatkan dirinya seorang wanita yang suka bekerja, isteri kepada Mohd. Yani Abdul Rahman ini sentiasa memastikan jadual hariannya tidak dibazirkan begitu sahaja.

“Selain menyanyi dan mengacara, saya juga sedang sibuk mempromosi dan menjual produk kecantikan baharu, Diva Secret. Walaupun sibuk dengan kerja sebagai penyanyi dan pengacara, saya masih sempat berniaga.

“Lagipun kita berniaga sekarang secara dalam talian sahaja. Setiap hari saya iklan dan promosi dalam Instagram dan Facebook. Saya tidak perlu membuka dan menguruskan kedai.

“Alhamdulillah produk saya mendapat sambutan di luar jangkaan sejak dua bulan yang lalu. Ini produk yang bagus dan setakat ini tiada lagi pengguna yang membuat aduan negatif mengenainya.

“Saya memang suka berniaga dan pada masa yang sama saya tidak akan mengurangkan kerja seni saya. Sebaik-baiknya saya jalankan dua perkara ini serentak kerana saya seorang yang suka dan kuat bekerja. Rasanya saya boleh demam kalau terlalu lama tidak bekerja,” tuturnya.

Meskipun kini terdapat lambakan produk kecantikan yang dijual di pasaran, Ifa yakin untuk turut serta menjalankan perniagaan tersebut kerana lebih selesa berkongsi dengan peminat perihal kecantikan yang sering dikaitkan dengannya.

“Saya tidak ragu memilih perniagaan ini kerana ramai orang kaitkan saya dengan kecantikan. Sejak dulu lagi orang selalu bertanya kepada saya tentang kecantikan dan rahsia saya menjaga penampilan. Jadi saya lebih senang untuk menjual produk yang selalu ditanya orang kepada saya.

“Kalau saya jual benda yang jarang saya guna dan perkatakan, pasti sukar untuk saya kongsikan tentang kelebihan produk tersebut. Lebih baik saya jual produk kecantikan berbanding saya nak jual tudung atau barangan lain,” akhiri ibu kepada dua orang cahaya mata ini.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan