Cantik berilmu 
itu perlu – Wanna Ali

KUALA LUMPUR 27 APRIL 2015 - Sesi fotografi bersama Penyanyi,
Wanna Ali

MELENGKAPKAN diri dengan ilmu pengetahuan adalah cara terbaik untuk memastikan golongan artis tidak dipandang rendah oleh masyarakat pada hari ini, kata penyanyi Wanna Ali.

Malah gadis berusia 18 tahun ini berkata, ilmu juga mampu menjadikan mereka lebih hebat daripada hanya bergantung kepada kecantikan wajah dalam usaha menarik perhatian masyarakat terhadap bakat masing-masing.

“Cabaran utama buat seorang artis pada hari ini adalah untuk memenuhi dada dengan ilmu dan pengetahuan selain prihatin dengan hal ehwal semasa.

“Apatah lagi pada era masyarakat yang tinggi pengetahuannya. Jadi golongan artis tidak boleh kalah dalam hal ini. Seboleh-bolehnya mereka perlu melengkapkan diri.

“Malah saya percaya ilmu dan berpengetahuan membuatkan artis istimewa dalam kelompok masyarakat,” kata Wanna.

Kerana itu, pemilik nama sebenar Norsyazwana Ali ini berkata, dia kini mahu menumpukan perhatian dalam bidang hiburan selepas selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu.

Malah sepanjang tempoh tersebut, Wanna tidak terlibat langsung dengan sebarang aktiviti seni demi memastikan tumpuannya terhadap pelajaran tidak terganggu.

“Saya menceburi bidang nyanyian ketika usia 15 tahun dengan mempertaruhkan lagu Lepaskanlah. Alhamdulillah, lagu itu masih diterima sampai ke hari ini

“Kini selepas habis belajar, fokus saya kepada karier nyanyian pula. Saya mahu mendapatkan pendedahan sebanyak mungkin dalam bidang ini.

“Jadi semasa waktu senggang sebelum melanjutkan pengajian ini saya manfaatkan untuk dunia seni,” katanya yang mendapat keputusan cemerlang iaitu 7A 2B pada peperiksaan tersebut.

Bakal menyambung pengajian dalam bidang pengurusan perniagaan di sebuah universiti swasta bulan depan, kata Wanna, dia juga tidak sabar untuk menjalani kehidupan di kampus.

Mengulas tentang pilihan kursusnya itu, menurut Wanna, dia mahu mencontohi kejayaan ibu, Datuk Normashayu Puteh yang berjaya dalam dunia perniagaan.

“Dari dulu sampai sekarang, saya menjadikan kejayaan ibu mengusahakan syarikat Pencil Pictures & Records Sdn. Bhd. selain bidang kecantikan sebagai sumber inspirasi.

“Jadi untuk menjadi seperti ibu, saya perlu mendalami bidang perniagaan. Sebab itu saya bercadang untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di universiti tempatan manakala sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD) di luar negara,” ujarnya.

Bertegas untuk tidak menjadikan bidang nyanyian sebagai kerjaya utama selepas tamat belajar kelak, kata Wanna:

“Menyanyi adalah hobi saya. Daripada menyanyi di bilik air, lebih baik kita berkongsi bakat sedia ada. Tapi saya tidak akan menjadikan nyanyian itu sebagai periuk nasi utama saya.”

Wanna keliru

Mengulas tentang perkembangan projek terkini, Wanna memberitahu, dia sedang giat mempromosikan lagu Tak Mengapa, kolaborasinya dengan penyanyi rap, Juzzthin.

Selain Lepaskanlah, Wanna juga mempunyai single berjudul Stop Kamu yang dikeluarkan sejak pertengahan tahun lalu.

Wanna juga baru saja merakamkan lagu duet berjudul Jika Kau Benar bersama-sama penyanyi Ajai dan bakal diperdengarkan tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Wanna mempunyai penjelasan tersendiri berhubung dakwaan mengatakan dia lebih terserlah dengan lagu Lepaskanlah.

Kata Wanna, berkemungkinan besar pendengar keliru dengan kemunculan Wana Mystarz LG yang berkongsi nama yang sama dengannya sebelum ini.

“Memang wujud kekeliruan yang tidak disengajakan itu. Sebab bila saya menyertai konsert jelajah baru-baru ini, saya turut diajukan persoalan yang sama.

“Tapi saya tidak kisah. Asalkan orang tahu siapa penyanyi sebenar Lepaskanlah, itu sudah memadai,” katanya optimis.

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati