Caliph Buskers semakin kukuh

Hanya NamaMu single baharu bagi meneruskan perjuangan seni

ANGGOTA Caliph  Buskers, Nor Nadira Rubina (berdiri kiri), Mohd.Zaki,
ANGGOTA Caliph Buskers, Nor Nadira Rubina (berdiri kiri), Mohd.Zaki, Nirwan (duduk dari kanan), Azmi dan Fendy berharap orang ramai tidak salah sangka akan permintaan mereka yang menaikkan harga bayaran persembahan.

SEJAK nama Caliph Buskers menjadi perhatian selepas memukau penonton dengan persembahan hebat di Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29) Januari lalu, timbul pula suara yang mendakwa anggota kumpulan tersebut sudah mula meminta bayaran tinggi.

Pada hal sebelum Edry Abd. Halim yang merupakan salah seorang anggota kumpulan Mojo mempelawa mereka mendendangkan lagu Roman Cinta untuk AJL29, anggota Caliph Buskers iaitu Azmi Saat, 28, selaku vokalis, Mohd. Zaki Ismail, 36, (gitaris), Nirwan Zainal Abidin, 26, (gitaris), Fendy Abdullah, 24, (pemain dram) dan Nor Nadira Rubina, 24, (shaker), hanyalah pemuzik jalanan.

Apabila timbulnya prasangka begitu, tidak dinafikan nama Caliph Buskers yang baru mencuba menjadi artis arus perdana sedikit tercalar. Bagi menangkis dakwaan itu, Azmi yang hadir bersama rakan-rakan lain ke Studio Utusan baru-baru ini menjelaskan sebab musababnya kenapa sebelum popular, Caliph Busker kenakan bayaran RM1,000, selepas AJL29 bayaran yang dikenakan adalah RM2,000.

Jelas Azmi, memang benar, mereka ada mengenakan bayaran lebih sedikit daripada biasa, namun ia setimpal dengan kualiti persembahan yang diberi dan bukan mereka sengaja bersikap hidung tinggi.

“Kami akui telah naikkan harga bayaran, tapi tidaklah setinggi dakwaan yang pernah kami dengar sebelum ini. Ia masih lagi di tahap berpatutan.

“Kami perlu mengambil kira tentang kos yang dikeluarkan oleh kami untuk bayar kru, pengangkutan dan alat muzik. Sebelum ini jika buat persembahan di jalanan, kami hanya gunakan teksi sahaja sebab semua alatan muzik disediakan oleh kami sendiri.

“Tapi bila diberikan tawaran buat persembahan di majlis korporat dan sebagainya, kami perlukan ruang yang lebih besar untuk mengangkat alatan muzik dan semua anggota Caliph Buskers dapat ke lokasi persembahan dengan keadaan selesa serta tampil dengan persembahan yang berkualiti,” kata Azmi yang masih lagi menerima undangan menyanyi di majlis perkahwinan dengan kadar yang berpatutan.

Sementara itu, Caliph Buskers yang terlebih dahulu mencipta nama dengan menyanyi di jalanan di sekitar ibu kota, turut mengaku kini mereka jarang dapat mengadakan persembahan seperti biasa ekoran kekangan masa selain memenuhi undangan nyanyian di majlis lain.

“Tipu lah kalau kami kata tak rindu untuk nyanyi di tempat lama. Tapi sebaik sahaja AJL29 tamat, kami hanya dapat menyanyi di jalanan untuk dua atau tiga kali sahaja.

“Jadual kami sudah terlalu penuh dengan undangan menyanyi di majlis-majlis rasmi, kenduri kahwin dan sebagainya. Menyanyi di jalanan tak sama seperti menyanyi di atas pentas sebab kalau di atas pentas lagu sudah ditetapkan lebih awal.

“Berbeza dengan menyanyi di jalanan di mana kita boleh menyanyi suka-suka. Itulah benda yang kami semua rindukan, tapi tidaklah bermaksud kami sudah lupakan untuk hiburkan peminat di jalanan lagi, memang kami akan ke lokasi biasa di sekitar Kuala Lumpur jika ada kelapangan masa,” kata Fendi.

Tampil single pertama

Dalam kesibukan memenuhi undangan persembahan, Caliph Buskers masih sempat merakam lagu sebagai kesinambungan mereka dalam bidang seni suara.

“Lagu Hanya NamaMu ini siap dirakam pada bulan Mac lalu di studio KRU. Memang tak dapat nak digambarkan dengan kata-kata tentang perasaan kami selepas berpeluang rakamkan lagu sendiri.

“Kami semua berpuas hati dengan lagu ini biarpun di awalnya agak sukar nak bawa lagu tersebut. Dari segi vokal dan muzik, memang agak mencabar jugalah.

“Tapi, alhamdulillah segala-galanya selesai dengan baik dan kami semua bersyukur sebab diberi peluang oleh pihak KRU untuk ada single sendiri,” kata Azmi selaku ketua kumpulan.

Bercerita lanjut tentang lagu Hanya NamaMu, kata Azmi, mereka memilih untuk menyanyikan lagu berkonsepkan ketuhanan sebagai satu permulaan buat mereka mencuba nasib dalam mengkomersialkan diri mereka dalam arus muzik tanah air.

“Kami sendiri telah meminta Edry buat lagu berunsur ketuhanan. Biarlah buat permulaan ini kami cuba dengan konsep ini sebagai salah satu tanda syukur kepada Allah kerana memberikan kami rezeki.

“Kami sudah mempromosikan lagu tersebut di seluruh radio tempatan dan hasilnya alhamdulillah cukup positif dari peminat kami. Di samping kami menyanyikan lagu sebagai hiburan, ia secara tak langsung dapat beri mesej yang baik kepada pendengar,” jelas Azmi sambil menambah mereka turut merakamkan video klip bagi lagu tersebut.

Tambah Fendi pula, tidak pernah terlintas di fikiran mereka untuk mendendangkan lagu sendiri kerana sebelum ini mereka hanya menyanyikan lagu orang lain tatkala menerima sebarang undangan nyanyian.

“Setiap kali kalau kami terima sebarang undangan nyanyian, kami akan nyanyi lagu orang sahaja. Bila ada peluang rakam lagu dalam studio, rasanya macam penyanyi profesional tanah air.

“Bila dapat jejakkan kaki dalam studio, tidak dapat digambarkan bagaimana perasaan yang tidak pernah diimpikan selama ini.

“Jujur kami katakan yang selama ini kami tak pernah terfikir langsung nak ada lagu sendiri. Inilah yang dinamakan rezeki,” kata Fendi.

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati