Biar berpengalaman selama tiga dekad dalam bidang seni, Ratu Rock negara itu menganggap, Konsert Ella-Live With The MPO: A Rock Queen’s Journey adalah cabaran terbesar dalam kerjayanya.

“Saya melihat konsert ini sebagai satu cabaran dalam kerjaya nyanyian saya dan saya mahu sahut cabaran itu.

“Menyanyi dengan orkestra ini lain. Penyanyi kena bersatu hati dengan pemuzik. Sebab pemuzik tidak akan mengikut rentak penyanyi. Perkara ini perlukan latihan dan kena betul-betul faham,” jelasnya.

Mahu menjadikan konsert pada malam itu sesuatu yang indah untuk dikenang oleh peminat dan dirinya, Ella memberitahu, dia sendiri memilih lagu-lagu untuk bakal dipersembah pada dua malam konsert berlangsung.

Katanya, sebanyak 16 buah lagu termasuk sebuah medley gabungan lima buah lagu telah dipilih untuk dipersembah pada malam 2 Disember dan 3 Disember ini.

Ternyata, pemilihan lagu yang dibuat oleh Ella juga mengambil masa yang agak lama. Setengah tahun diperuntuk untuk memilih lagu-lagu yang bakal didendangkan.

Rumitnya proses pemilihan lagu-lagu itu sehingga, kata Ella, ada yang berselisih faham sebelum kata sepakat berjaya dicapai.

Semuanya gara-gara karya mereka tidak dipilih untuk didendangkan pada konsert solo seumpamanya di dewan berprestij itu.

“Kita ambil banyak faktor dalam memilih lagu-lagu yang bakal dipersembah. Tapi kebanyakannya adalah lagu-lagu yang hendak saya nyanyikan.

“Kita bincang banyak kali termasuk dengan pengarah muzik, Ahmad Muriz Che Rose. Itu yang sampai ada yang ‘sentap’ (terkilan) selama sepanjang enam bulan perbincangan dilakukan,” kata Ella sambil berseloroh.

Percaya bakat tempatan

KONSERT Ella-Live With The MPO: A Rock Queen’s Journey merupakan kali kedua Ratu Rock itu menggegarkan Dewan Filharmonik Petronas (DFP) selepas pertama kali menerusi konsert MPO Rocks untuk DFP Seni Festival pada 2013.

Menurut Ella, antara seleksi lagu yang dipilih untuk menghiburkan audiensnya termasuk Pengemis Cinta, Pedih, Nuri, Rindu, Layar Impian, Bayangan, Kesal, Dua Insan Bercinta, Sembilu, Gemilang, Demi dan tentu sahaja lagu-lagu daripada album terkini, Peace Love Rindu antaranya Ku Sedia.

Menariknya, pada awal perancangan konsert ini, bukan Ahmad Muriz yang sepatutnya memimpin pemuzik pada malam tersebut sebaliknya seorang konduktor berbangsa Jepun yang terlebih dahulu dipilih.

Tetapi sebagai seorang penyanyi yang percaya dengan bakat dan kemampuan penggiat seni tempatan, Ella memilih Ahmad Muriz yang sebelum ini pernah bekerjasama dengannya.

Lagipun, Ella mahu menggunakan peluang ini untuk membuktikan bahawa penggiat seni tempatan sebenarnya mempunyai banyak bakat hebat.

“Saya pernah bekerjasama dengan Ahmad Muriz sebelum ini. Kemampuannya membuat susunan lagu dan mengemudi 90 orang pemuzik adalah sesuatu yang hebat. Sebab itu saya pilih dia untuk menjayakan konsert ini,” tegas Ella.

Yang pasti, penyanyi yang memulakan kerjayanya bersama Ella & The Boys itu mahu membawa penonton jauh ke satu dunia muzik yang berbeza dan sangat menarik.

“Malam itu semuanya lain. Suasana, pakaian, persembahan, semua berbeza. Tetapi akarnya tetap rock,” kongsi Ella.

Tiket sudah dijual bermula dengan harga RM150 hingga RM380. Maklumat lanjut mengenai penjualan tiket boleh melayari laman sesawang www.mpo.com.my.