Keterujaan Sitizone untuk mengenali lebih dekat asal usul Siti Nurhaliza jelas terpancar di wajah mereka sebelum bermulanya perjalanan ke negeri kelahiran penyanyi kesayangan mereka yang mengambil masa lebih kurang tiga jam.

Program yang diberi nama Moh Balik Lepih! ini mengumpulkan peminat Siti Nurhaliza dari Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia bersempena ulang tahun ke-13 Sitizone.

Seramai 162 peminat dan 15 wakil media pertama kali bergabung tenaga melakukan aktiviti yang disediakan oleh pihak penganjur. Melihat semangat Sitizone berjuang melaksanakan cabaran, membuatkan hati penulis juga berkobar-kobar merebut kemenangan dalam setiap pertandingan.

Biarpun penulis dan rakan media hadir untuk menjalankan tugas sebagai wartawan, namun kami tidak mahu melepaskan peluang untuk merasai pengalaman menjadi sebahagian besar keluarga Sitizone.

Perlawanan antara 12 kumpulan telah membangkitkan lagi semangat untuk selusur sejarah kehidupan Siti Nurhaliza sebelum dia bergelar seorang penyanyi. Paling menarik, setiap kumpulan perlu melengkapkan setiap cabaran di lokasi di mana Siti Nurhaliza membesar dan menimba ilmu.

Lokasi pertama bermula di rumah kedua kediaman insan seni berhati mulia itu dan seterusnya ke Sekolah Rendah Clifford di mana peserta dapat melawat tempat penyanyi hebat itu menjual kuih dan menimba ilmu.

Untuk menyelesaikan cabaran, setiap kumpulan dicabar untuk menjejaki Siti Nurhaliza yang menyorok di dalam kelasnya ketika belajar di Sekolah Menengah Clifford. Tapi siapa sangka, penyanyi tersohor itu sanggup bersembunyi di bawah meja kecil semata-mata untuk menghiburkan hati peminatnya.

Peminat bertambah teruja untuk bersama-sama Siti Nurhaliza bermain dalam acara sukan rakyat. Istimewanya, murid-murid di sekolah itu juga berpeluang menyaksikan duta VIVO ini beraksi hebat di atas padang.

Walaupun sepanjang hari hujan gerimis, namun ia tidak mematahkan semangat juang Sitizone. Paling mengharukan isteri kepada Datuk Seri Khalid Jiwa ini berlari dalam guni, memukul kelapa dengan kayu hoki dan mencangkung di atas batu dalam keadaan hujan demi peminat kesayangannya.

Itu sudah cukup membuktikan betapa utuh kasih dan cinta penyanyi itu terhadap peminat yang sentiasa menyokong. Malah, Siti juga tidak menunjukkan keletihan pada wajah dan tiada keluhan didengari dari mulutnya.

Malam gala dimeriahkan dengan persembahan muzikal oleh setiap kumpulan dan kesemua peserta telah memberikan persembahan terbaik sehingga membuatkan Siti ceria.

Malam paling bermakna itu diakhiri dengan nyanyian oleh Siti Nurhaliza dan persembahan duet bersama ibunya , Siti Salmah Bachik menerusi lagu Bisikan Hati. Hari terakhir dihujani dengan tangisan air mata peminat dan Siti Nurhaliza yang tidak mahu percutian ini berakhir.

Secara keseluruhan, kesetiaan dan kasih sayang peminat terhadap Siti Nurhaliza tiada tandingan. Tiga hari penulis bersama peminat Siti Nurhaliza ini, memang terbukti mereka ini benar-benar Sitizone.

Tiada balasan yang diharapkan, segalanya ikhlas, tulus dari hati peminat yang tidak akan pernah berhenti memberikan cinta kepada penyanyi kesayangan mereka ini.