Sejajar dengan saranan kerajaan mahu melihat kemajuan industri kreatif untuk diangkat hingga ke peringkat global, United Studios Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat KRU Malaysia Sdn. Bhd. telah mengambil inisiatif pertama mereka bagi membaik pulih filem epik tahun 1981, Bukit Kepong arahan Tan Sri Jins Shamsuddin.

Langkah tersebut bertepatan dengan usaha memelihara khazanah seni yang berharga dalam industri seni tanah air selain mempertontonkan kembali bahan sejarah tersebut agar dapat dijadikan rujukan ramai pada masa akan datang.

Proses membaik pulih bahan arkib itu telah dilakukan oleh anak syarikat KRU sendiri iaitu Prodigital Lab Sdn.Bhd. selain mendapat kerjasama pihak Jins Shamsuddin Productions bagi memastikan perjalanan proses tersebut berjalan mengikut apa yang telah dirancang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU, Norman Abdul Halim berkata, filem Bukit Kepong menjalani pelbagai proses transformasi bagi meningkatkan kualiti dalam menghasilkan satu karya seperti baharu. Sudah pasti, proses tersebut agak merumitkan serta memerlukan penelitian yang semaksimum mungkin.

“Filem ini tidak menggunakan teknik CGI dan telah menggunakan teknik yang boleh dikatakan sudah mendahului zaman pada ketika itu. Tapi sayangnya, filem ini tidak dijaga dengan baik.

“Justeru, kami mengambil langkah proaktif bagi menjalankan kerja menaiktarafkan Bukit Kepong kepada versi HD. Kita nak filem-filem sejarah seperti ini menjadi satu bahan yang boleh diguna pakai buat tontonan generasi baharu sebab filem ini masih relevan kerana ia berunsur sejarah,” katanya.

Tambah Norman, Bukit Kepong bukan sahaja dinaik taraf ke kandungan HD, kerja-kerja berat itu telah dipertanggungjawabkan kepada Prodigital Lab dalam memastikan proses penyuntingan berjaya.

“Sebelum ini filem ini berada dalam simpanan Arkib Negara selama 10 tahun. Kami berusaha untuk dapatkan negatif filem ini melalui perbincangan dengan Jins Shamsuddin Productions yang hanya ada satu salinan sahaja kerana kami pasti ia penting kepada umum.

“Bukit Kepong melalui banyak proses seperti mutu audio dipertingkatkan dengan proses adunan semula dari mono ke stereo, suntingan bagi menyelaraskan dengan sebutan audio asal dengan visual serta penambahan kesan khas bunyi.

“Sebab itu juga proses untuk siapkan sepenuhnya filem epik ini mengambil masa selama tiga bulan dengan proses pemulihan filem yang menelan kos sekitar RM100,000.

“Yang pasti, filem ini akan dipasarkan semula di pasaran tempatan dan antarabangsa,”ujarnya yang turut menandatangani perjanjian bagi membaik pulih tiga buah filem klasik lain iaitu Menanti Hari Esok, Esok Masih dan Tiada Esok Bagimu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Prodigital Lab, Archie Nasution diberikan peranan besar dalam mengemudi kerja-kerja penyuntingan.

“Kos dan tempoh proses membaik pulih ini sebenarnya bergantung kepada kondisi filem. Masa pihak kami menerima negatif Bukit Kepong dengan format filem 35mm, kami dapati keadaan filem tersebut tidak berada dalam keadaan baik kerana ia sudah melekat dan tidak boleh di imbas.

“Negatif tersebut dihantar ke makmal bagi member-sihkannya dengan mengguna-kan bahan-bahan kimia dan kami akui proses ini sangat rumit dan ambil masa yang lama,” katanya.

Dalam pada itu, sepanjang tempoh tiga bulan itu juga, salah seorang anak Jins Shamsuddin, Putera Hang Jebat turut bersama-sama melihat proses filem arahan ayahnya itu diberi nafas baru.

“Saya sangat berpuas hati dengan hasil kerja KRU. Filem ini bila sudah dinaik taraf, ia seolah-olah baru menjalani penggambaran semalam.

“Sebelum ini, Norman ada menyuarakan hasrat untuk membuat penyuntingan filem Bukit Kepong kepada saya. Saya ambil inisiatif sendiri dengan bersetuju cadangan tersebut sebab daripada biarkan sahaja filem ini tidak dijaga dengan rapi, lebih baik serahkan kepada KRU untuk dijadikan HD.

“Saya turut memberitahu pada ayah akan perkara ini dan masa itu dia pun tak berapa nak sihat sangat. Jadi saya buat keputusan sendiri dan inilah hasilnya,” kata Jebat.

Filem wajib tonton ini dijangka akan ditayangkan semula menerusi pawagam di seluruh negara pada bulan Ogos ini sempena sambutan bulan kemerdekaan negara.