Bagi Mas Idayu yang sudah tiga tahun menjadi pengkritik untuk program tersebut berkata, apa yang dilakukannya bukan kerana marah tapi dek kerana sayang bakat peserta berkenaan.

Menurut Mas Idayu, umum mengetahui yang dia seorang yang sangat lantang ketika memberi tunjuk ajar dan tujuannya menegur peserta terutama wakil Malaysia semata-mata untuk memastikan mereka menjadi bagus, pandai, kuat mental dan berkongsi pengalaman.

“Bila kita duduk di kerusi enam buah negara, sudah tentulah saya mahu negara Malaysia tampil gah dan bagus.

“Apa yang saya buat sepanjang berada dalam program itu adalah untuk mendidik mereka dan teguran saya ikhlas kerana saya mahu peserta negara setanding dengan negara lain,’ katanya.

Mas Idayu juga berkata, Baby Shima mempunyai pakej lengkap iaitu bakat dan paras rupa yang menawan, namun bintang muda itu perlu dibekalkan ilmu nyanyian.

Bahkan, Mas Idayu optimis, peserta kelahiran Malaysia itu mampu mara ke peringkat akhir jika dia serius dan berusaha keras untuk mengatasi kelemahan diri.

“Sebelum tersingkir, boleh dikatakan setiap malam bila selesai saja program pada pukul 1 pagi, dia akan minta saya ajar untuk persembahan seterusnya. Demi anak Malaysia, saya sanggup bersengkang mata walaupun jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi.

“Setiap hari sebelum saya pergi studio, dia akan datang berjumpa untuk minta pandangan dan tunjuk ajar. Bila setiap hari kami bertemu, perasaan sayang itu timbul seperti anak-anak didik saya sebelum ini,” tegasnya.

Jelas Mas Idayu, apa yang membuatnya terkilan apabila pada malam wild card, persembahan Baby Shima tidak seperti apa yang telah diajarkan, sebab itulah dia hilang sabar dan marah.

“Saya marah bukan nak memalukan dia tapi kerana sayang sebab Baby Shima antara peserta wanita negara yang mempunyai rupa, rajin bertanya dan sebab itu saya mahu pertahan dia hingga ke penghujung program.

“Tapi saya dapat lihat persembahannya pada malam itu tidak ada peningkatan dan orang lain pun nampak. Saya jadi marah begitu kerana saya masih meletakkan harapan padanya, maklumlah apabila hati sudah sayang,” katanya tanpa berselindung.

Baby Shima merupakan peserta Malaysia pertama yang tersingkir dari DAC3 pada 8 November lalu dan diikuti Waniey Nini.

Wakil-wakil lain negara yang masih berjuang dalam DAC3 ialah Azizul Haqim, Darling, Farez Adnan dan One Forteen.

Sepanjang melalui pertandingan tersebut, apa yang dapat dilihat ialah peserta negara tidak menghadapi sebarang tekanan biarpun saingan hebat dari negara lain.

“Saya tengok peserta Malaysia tidak ada tekanan, mereka seronok saja dan masing-masing ada semangat juang yang tinggi terutama peserta lelaki.

“Saya juga yakin salah seorang peserta lelaki negara akan ke peringkat akhir nanti. Sama-samalah kita berdoa agar peserta itu dapat mengangkat nama negara,” ujar Mas Idayu.

Dia yang akan kembali ke tanah air pada Januari ini berkata, kerjaya nyanyiannya di Malaysia masih berjalan seperti biasa selain undangan mengadakan persembahan masih diterima.

“Saya ada hasilkan single tapi hanya untuk di Indonesia bukan untuk Malaysia, pencipta dan komposer senior dari Indonesia, Caca Handika telah menghasilkan lagu berjudul Nafsu yang akan saya perkenal dalam DAC3 nanti, insya-Allah,” katanya mengakhiri perbualan.