NABILA HUDA

Pemenang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-28 menerusi filem Munafik ini juga sudah membuktikan komitmennya setiap kali terikat dengan projek bersama syarikat produksi tempatan tidak pernah berbelah bahagi.

“Kalau ada pihak yang bercakap buruk tentang disiplin kerja sepanjang terbabit dengan produksi, jangan cepat percaya. Cari versi cerita sebenar dan selidik betul-betul supaya tidak timbul salah faham.

“Saya manusia tidak sempurna dan kerap melakukan kesilapan. Saya juga tak pernah lupa mengungkapkan kata maaf kepada orang sekeliling selepas bekerja.

“Biasalah dalam tempoh bekerja, kadangkala kita terlalu beremosi disebabkan faktor penat hingga menimbulkan kelemahan diri. Saya tak akan terasa kalau ada orang bercakap yang saya ini pembawa masalah,” kata Nabila berhubung prinsip kerja yang dipegang selama ini.

Tidak melatah apabila dikatakan menimbulkan masalah sewaktu terbabit dalam drama Dendam Aurora yang diterbitkan syarikat produksi Global Station Sdn. Bhd. (Global Station) yang baru saja selesai tayangannya minggu lalu, Nabila juga terbuka menerima teguran dalam hal tersebut.

Biarpun dia dikatakan punca yang menyebabkan pihak produksi terpaksa merombak skrip gara-gara Nabila bercuti untuk melakukan aktiviti menawan Kem Pangkalan Annapurna (ABC), Gunung Annapurna, Nepal, September lalu namun pelakon ini mengambil pendekatan untuk tidak memanjangkan perkara itu.

“Beginilah, kita pendekkan cerita yang ada. Perkara ini sudah pun berlalu. Saya pula dah pun memberi seluruh komitmen untuk menjayakan Dendam Aurora. Jadi tak ada apa yang perlu diperkatakan lagi,” ujarnya yang kali pertama bekerjasama dengan produksi Global Station.

Menafikan wujud rasa kesal atas apa yang berlaku, bintang filem Rock ini juga tidak pernah berdendam dengan pihak produksi sebaliknya anak legenda rock Amy Search ini lagi berbesar hati jika diberi peluang untuk bekerjasama semula dalam produksi berkenaan pada masa akan datang.