Namun yang merisaukan Zarul Husin, dia harus tahu bagaimana untuk mengekalkan momentumnya. Mengakui bukan mudah untuk berada pada tahap sekarang, dia juga sedar sukar untuk kekal bertahan.

Yang menguatkan semangat kentalnya adalah sokongan peminat yang tidak pernah lelah. Bagi lelaki berusia 43 tahun ini, kehidupannya kini tertumpu kepada dunia nyanyian selain lakonan yang baru diceburi.

Cabaran utama vokalis kumpulan Umbrella ini adalah untuk mendapatkan lagu yang benar-benar mampu mencuri hati peminat. Dia sendiri sebenarnya pening kepala untuk mencari komposer dan penulis lirik yang menepati kehendak pendengar.

Mahu tampil dengan single baharu selewat-lewatnya hujung tahun ini, Zarul tidak mahu terikut-ikut trend muzik yang kini lebih cenderung kepada genre ‘jiwang’ 90-an.

“Memang ada perancangan untuk keluarkan single baharu dalam tahun ini juga tetapi yang susahnya adalah mencari lagu yang sesuai. Sebelum ini ada beberapa single tetapi kurang menjadi.

“Bagi saya, tak perlu terikut-ikut trend sebab muzik adalah subjektif. Saya tidak tetapkan sebarang genre untuk lagu baharu kerana terpulang kepada penerimaan masing-masing sebenarnya.

“Buat masa ini ada beberapa lagu namun masih dalam pertimbangan. Lagu baharu ini perlu ada power sedikit untuk saya kekalkan momentum. Kesinambungan kerjaya seni itu yang penting,” katanya.

Mahu tidak mahu, Zarul juga mengakui, peredaran zaman moden yang semakin pesat berkembang membuatkan dia harus lebih peka tentang penggunaan media sosial yang mendekatkan seseorang selebriti dengan peminat.

Bagi anak kelahiran Kelantan ini, seseorang artis tidak kira penyanyi atau pelakon perlu sentiasa menjaga kualiti media-media sosial supaya lebih dekat dan kekal relevan di hati peminat.

“Sekarang jumlah pengikut adalah salah satu ukuran populariti dalam industri seni. Bukan setakat artis malah ada peminat yang pengikutnya lebih ramai daripada sesetengah selebriti.

“Sebagai seorang penyanyi dan pelakon, saya perlu menjaga kualiti media sosial untuk kekal relevan. Bagi saya itu salah satu strategi mendekatkan diri dengan peminat,” katanya.

Dalam pada itu ditanya tentang kelangsungan kerjaya seni kumpulan Umbrella, Zarul berkata, mereka sentiasa terbuka untuk menerima tawaran persembahan dan bersedia untuk tampil dengan album atau single baharu.

“Umbrella masih ada dan bertahan. Cuma masing-masing sibuk dengan kerjaya sendiri. Kalau ada yang sudi untuk menggabungkan kami dalam satu projek istimewa, apa salahnya,” katanya.

Tidak mahu takbur

Enam bulan selepas menamatkan perkhidmatannya sebagai pramugara Malaysia Airlines, Zarul bersyukur rezekinya sentiasa dipermudah Tuhan. Namun dia tidak mahu terlalu takbur dengan kejayaannya sekarang.

Mengakui rezeki dalam dunia seni ada pasang surutnya, dia mahu berfikir panjang dan sentiasa tampil dengan strategi bagi mengekalkan namanya dalam radar seni tempatan.

“Alhamdulillah, sekarang kerjaya berjalan dengan lancar. Ya, saya banyak berlakon namun kerjaya nyanyian masih diteruskan seperti biasa. Terima kasih kepada semua yang memberi peluang.

“Dunia seni ada turun naiknya dan saya sedar tentang kenyataan itu. Cuma seperti yang saya katakan, kita kena pandai menyusun strategi untuk kekal dalam industri yang sentiasa terhidang dengan bakat baharu,” katanya.

Biarpun pada mulanya, dia hanya mahu mencuba nasib dalam dunia lakonan namun rezeki berpihak kepadanya. Namun dia juga harus pertimbangkan kesesuaian watak dan skrip.

Malah peminat juga merupakan pengkritik tetapnya dalam setiap drama yang dilakonkan. Tidak kira komen negatif mahupun positif, dia menerima dengan hati yang terbuka dan cuba memperbaiki kesilapannya.

“Memang banyak tawaran tetapi ada juga yang saya dengan berat hati terpaksa tolak. Saya kena tengok kesesuaian watak juga. Kebanyakan watak yang saya terima sekarang mesti 30 tahun ke atas dan itu sesuai dengan saya.

“Penonton seperti biasalah, kalau peminat mesti mereka puji tetapi ada juga yang menasihatkan saya untuk terus belajar mempelbagaikan teknik lakonan. Kalau yang kecam itu, tak ramailah. Bagi saya, setiap kritikan adalah ruang untuk saya terus belajar. Lagipun saya budak baharu dalam bidang lakonan. Banyak lagi ilmu yang saya perlu terokai dalam seni lakonan,” katanya.